• Dr Mastura Md Yusof

Ciri Biologi Kanser Kolorektal Tahap 4


Dalam usaha untuk menambahbaik perawatan bagi kanser ketiga paling kerap berlaku di dunia ini, banyak penyelidikan telah dilakukan ke atas ciri-ciri genetik atau biologi kanser untuk mencari unsur penyebabnya dan cara-cara mengatasinya.

Apakah yang dimaksudkan dengan ciri-ciri genetik atau biologi kanser ini?


Kanser berlaku melalui proses dipanggil karsinogenesis. Karsinogenesis melibatkan beberapa mutasi pada gen yang menggalakkan kanser dan metastases terjadi. Gen yang menggalakkan kanser terjadi dipanggil “oncogene” manakala gen yang cuba menghalang kanser terjadi dipanggil : tumour suppressor genes”.


Sebagai contoh “oncogenes” yang boleh dijumpai pada kanser kolorektal tahap 4 ialah gen-gen KRAS, NRAS, BRAF atau PIK3CA manakala "tumor suppressor genes" pula adalah gen-gen APC, TP53, SMAD4 dan PTEN ( seperti pada gambar di atas)

Kanser kolorektal adalah kanser yang mula-mula dikaji mengenai ciri-ciri genetik pada profil DNA secara mendalam. Terdapat beberapa mutasi gen yang berlaku secara berkait di dalam evolusi kanser. Proses karsinogenesis yang kompleks dan berlaku langkah demi langkah ini dipengaruhi oleh berbagai-bagai faktor.

Apakah kepentingan penemuan ini pada kanser?

Pengetahuan mengenai lanskap profil DNA kanser kolorektal semakin bertambah sejak penyelidik mengkaji aspek gen dan kanser dan ini memberi petunjuk kepada bentuk rawatan, respons pada rawatan dan prognosis kanser seperti disenaraikan di bawah :


  1. Membolehkan klasifikasi kanser kepada jenis-jenis yag berlainan dan menerapkan bentuk rawatan yang lebih “personalized” kepada setiap pesakit, berdasarkan “ kelainan” tersebut. Contoh: Kanser yang disahkan sebagai MSI-H sangat sensitive pada ubat imunoterapi berbanding kimoterapi.

  2. Ujian bagi mengenalpasti lanskap perubahan pada gen boleh dicipta dan rawatan yang mensasarkan mutasi gen ini secara spesifik dapat dilakukan maka pertumbuhan kanser dapat di atasi tanpa mengganggu sel normal yang tidak mempunyai mutasi tersebut. Ini dinamakan pemadanan rawatan menurut mutasi spesifik kanser. Contoh : Kanser yang tidak mempunyai mutasi pada gen RAS dianggarkan akan memberi respons yang baik kepada ubat seperti cetuximab dan panitumumab.

  3. Rawatan yang tidak berkesan atau sesuai sekiranya pesakit tidak mempunyai mutasi berkenaan dapat dielakkan. Contoh Kanser yang mempunyai mutasi pada gen RAS tidak respon pada ubat cetuximab dan panitumumab jadi ia tidak boleh diberikan pada pesakit yang mempunyai mutasi RAS pada kanser mereka.

  4. Prognosis penyakit dikenalpasti dan rawatan yang lebih bersesuaian diberikan Contoh : Mutasi BRAF membawa prognosis yang kurang baik jadi ia dirawat dengan kombinasi ubat dengan lebih agresif.

  5. Penyelidikan atau kajian klinikal spesifik boleh dijalankan berdasarkan kumpulan biologi yang berbeza.


Bagaimana kita menjalankan ujian -ujian mutasi gen ini?

Ujian molekular ini boleh dilakukan ke atas tisu kanser yang diambil semasa biopsi atau pembedahan. Bagi mutasi RAS, ujian darah juga boleh dilakukan, dipanggil liquid biopsy.


Jadi pengetahuan mengenai ciri biologi kanser melalui ujian profil DNA adalah penting di dalam perawatan kanser kolorektal tahap 4. Ini membolehkan rawatan yang sesuai dan mampu memberikan keputusan yang baik dapat dilakukan.


Dr Mastura Md Yusof

Consultant Clinical Oncologist

Pantai Hospital KL & SJMC

Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya



©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com