• Dr Hayani Abdul Wahid

Diagnosis/ Pengesahan dan Penentuan Tahap Kanser Kolorektal


Artikel sebelum ini telah pun membincangkan bagaimana gejala atau simptom pesakit yang mempunyai kanser kolorektal (klik di sini).

Sekarang kita akan ketahui bersama bagaimana kanser tersebut boleh didiagnos atau disahkan, seterusnya ditentukan tahapnya.


Kita boleh bahagikan kepada 2 senario dimana kanser kolorektal boleh didiagnos.

1. Pesakit tiada gejala dan menjalani saringan kanser kolorektal (screening)

2. Pesakit bergejala dan melakukan pemeriksaan untuk mengesahkan kanser kolorektal



1. Pesakit tiada gejala dan menjalani ujian saringan kanser kolorektal


Penting diingatkan bahawa kaedah ujian saringan atau 'screening' ini sangat digalakkan bagi mereka yang berisiko tinggi seperti lelaki berusia 40 tahun ke atas, merokok, dan mempunyai sejarah kanser kolorektal di dalam keluarga. Bagi masyarakat lain amnya, saringan boleh dilakukan bermula dari umur 50 tahun hinggalah 75 tahun.


Jenis saringan yang boleh dilakukan terbahagi kepada 4 iaitu:

  • pemeriksaan 'darah dalam najis' atau fecal occult blood (FOB)

  • sigmoidoskopi

  • kolonoskopi

  • barium enema.


Ujian FOB melibatkan pemeriksaan sampel najis seseorang di makmal untuk mengesan kehadiran darah pada 1 atau 2 spesimen yang berlainan hari. Kehadiran darah pada najis mungkin disebabkan kehadiran polip atau tumor pada dinding usus besar.

Sekiranya sampel najis positif untuk kejadiran darah, pemeriksaan lanjut seperti kolonoskopi akan dilakukan untuk siasatan dan pengesahan. FOB biasanya disarankan untuk dilakukan pada setiap tahun.


Kolonoskopi adalah prosedur khas bagi memeriksa dinding dalaman usus dengan menggunakan endoskop atau teropong usus. Ia dilakukan oleh pakar bedah atau pakar gastroenterologi dengan bantuan ubat sedatif (pelali). Sebagai persediaan, pesakit harus berpuasa sekurang-kurangnya 6 jam sebelum, mengambil ubat cair najis yang dipreskrip oleh doktor dan seterusnya melalui proses endoskop yang mengambil masa sekitar 1 jam.

Kolonoskopi berpotensi untuk mengesan apa juga ketumbuhan di dalam keseluruhan usus besar termasuklah rektum dan sekiranya ketumbuhan itu kecil, ia boleh terus dibuang pada prosedur yang sama. Bagi kes kanser atau barah, biopsi akan dilakukan dengan mengambil sedikit tisu kanser bagi mengesahkan jenis kanser itu.

Kolonoskopi disarankan untuk diulang setiap 3 tahun sekiranya berisiko tinggi dan setiap 10 tahun bagi yang berisiko rendah.


Sigmoidoskopi jarang dilakukan kerana ia kurang efisien bagi mengesan kanser di keseluruhan kolon manakala barium enema juga tidak popular disebabkan prosedurnya yang lama dan kompleks.



2. Pesakit bergejala dan melakukan pemeriksaan bagi mengesahkan kanser kolorektal


Dalam hal ini, pemeriksaan kolonoskopi akan dilakukan serta merta bagi mengesan lokasi tumor dan seterusnya biopsi akan diambil untuk pengesahan jenis kanser di makmal. Selain daripada itu, ujian genetik khas atau profil DNA bagi kes yang telah merebak yang memerlukan terapi 'targeted' atau imunoterapi boleh dilakukan ke atas tisu tersebut



Penentuan Tahap Kanser Kolorektal (staging)



Setelah biopsi mengesahkan kehadiran sel kanser kolorektal, proses seterusnya adalah untuk menentukan tahap kanser tersebut. Penting untuk melakukan imbasan CT skan bagi memastikan tiada rebakan kanser ke organ berhampiran seperti pundi kencing, organ dalaman wanita seperti vagina dan rahim, kelenjar pelvis, hati , peparu dan tulang. Kebanyakan kanser usus merebak ke kelenjar pelvis, hati dan peparu.



Dalam kes kanser rektum pula, imbasan MRI sangat penting kerana ia memberi informasi yang lebih jelas berkenaan status kanser di pelvis seterusnya membantu pakar pembedahan dalam merancang pembedahan dan samada pesakit memerlukan stoma sementara atau stoma kekal. MRI juga membantu pakar onkologi dalam merancang samada kanser tersebut memerlukan rawatan radioterapi sebelum atau selepas pembedahan. risiko kanser berulang dan prognosis pesakit secara amnya boleh ditentukan sekaligus melalui ujian ini. Bagi kes di mana kanser telah merebak ke hati dan pesakit perlu menjalani rawatan setempat yang mensasarkan tumor pada hati seperti "radiofrequency ablation atau RFA", cryoablation atau 'radiochemoembolisation' , MRI hati boleh membantu pakar radiologi intervensi yang melakukan prosedur-prosedur ini untuk memilih kes yang sesuai.


Jika dilihat pada gambar di atas, tahap kanser adalah seperti kanser payudara di mana, tahap awal 1 dan 2 biasanya hanya melibatkan dinding usus, tahap 3 apabila kelenjar pelvis positif sel kanser dan tahap 4 bilamana organ sekeliling terlibat dengan kanser (4A) atau organ di luar pelvis terlibat dengan kanser (4B) contohnya di hati, peparu atau tulang.


Kesimpulannya, ujian saringan kanser kolorektal seperti kolonoskopi adalah sangat penting bagi mengesan kanser kolorektal tahap awal dan seterusnya dilengkapi dengan ujian imbasan seperti CT skan atau MRI bagi memastikan tiada rebakan kanser luar dari kawasan pelvis sebelum rawatan radikal dan optimal dapat dilakukan.


#kitajagakita

Dr Hayani Abdul Wahid

Mahkota Medical Centre, Melaka


431 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com