• Norshariza Jamhuri, SME Dietetik Onkologi

Diet dan kanser: FAQ

Perlukah Pesakit Kanser Mengamalkan Pantang pada Pemakanan

Antara dilema terbesar pesakit kanser adalah makanan apakah yang perlu diamalkan atau dielakkan sejak mendapat kanser, terutama semasa menerima rawatan kanser. Internet, sahabat handai dan ahli keluarga biasanya menjadi sumber rujukan utama bagi mendapatkan maklumat dan nasihat.

Bagaimana jika informasi yang diberikan tidak tepat atau salah? Bolehkah ia memudaratkan kesihatan pesakit?


Informasi yang salah atau tidak tepat boleh mempengaruhi tabiat dan pola pengambilan makanan pesakit kerana pesakit kanser mudah tertekan akibat keadaan kesihatan mereka yang tidak stabil lalu kemerosotan status nutrisi secara keseluruhan akan berlaku. Sudah tentu tahap nutrisi yang kurang baik boleh menyebabkan gangguan terhadap rawatan yang diterima, seperti pembedahan, kimoterapi atau radioterapi. Ini menyumbang kepada kualiti hidup dan tahap kesihatan yang merosot dalam jangka masa panjang. Anda harus faham yang pengambilan makanan yang mencukupi dan seimbang sangat penting bagi setiap pesakit kanser dalam mencapai tahap kesihatan yang optimum.

Sebenarnya perlukah pesakit kanser pantang makan?


Tak Perlu. Yang lebih penting sebenarnya adalah pesakit kanser perlu makan! Bukan elakkan makanan tertentu atau hanya makan makanan tertentu. Prinsipnya adalah makan secara seimbang dan sihat.

Apa yang dimaksudkan dengan makan secara seimbang?


Seimbang bermaksud anda makan makanan yang mengandungi semua sumber karbohidrat, protein, vitamin, mineral dan lemak. Sumber karbohidrat terdiri dari 2 jenis yang utama iaitu karbohidrat kompleks dan ringkas. Karbohidrat kompleks berbentuk bijirin seperti nasi, sayuran berkanji seperti ubi kentang, mi, bihun, roti dan biskut manakala karbohidrat ringkas terdiri daripada buah-buahan, susu dan pelbagai jenis gula termasuk madu. Protein merupakan makanan dari sumber haiwan seperti ayam, ikan, makanan laut, kambing atau lembu. Vitamin dan mineral pula mudah di dapati dari sayuran hijau dan buah-buahan. Manakala sumber lemak adalah dari penggunaan pelbagai jenis minyak dan juga mentega.


Kesemua jenis nutrien ini perlu diambil dalam kadar berpatutan bagi membekalkan tenaga yang diperlukan oleh tubuh badan dalam menjalani aktiviti harian. Tiada nutrien yang boleh diabaikan dalam diet harian walaupun di kalangan mereka yang sihat kerana setiap sumber tersebut mempunyai fungsi khusus yang diperlukan oleh badan.


Berapa banyak yang perlu diambil setiap hari?

Pernah tak anda dengar ayat ‘Suku Suku Separuh”? Pengambilan makanan anda boleh berpandukan kepada saranan ini. Di bawah ini terdapat rajah pinggan yang menunjukkan konsep ‘Suku Suku Separuh’ untuk dirujuk dan diamalkan. Namun, bagi pesakit yang mengalami kesan sampingan rawatan kanser seperti cirit-birit, gastrik atau pedih perut terdapat beberapa langkah penambahbaikan dalam pengambilan makanan yang perlu dilaksanakan bagi mengurangkannya tetapi jangan sekali-kali mengabaikan pengambilan makanan secara seimbang dan sihat.


Oleh:


Norshariza Jamhuri,

Pegawai Dietetik U52 (KUP-SME)

Subject Matter Expert (SME)

Pakar Dietetik Onkologi

1,982 views1 comment

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com