• Dr Mastura Md Yusof

Diet dan Kanser Kolorektal


Kanser kolorektal berlaku disebabkan faktor genetik dan persekitaran. Antara faktor persekitaran adalah diet yang tidak sihat iaitu yang tinggi kalori, berlemak tinggi, sarat dengan daging berproses serta rendah kandungan sayur-sayuran, buah-buahan dan fiber. Misalannya, karsinogen yang dihasilkan dari pemprosesan daging meninggikan risiko kanser usus sekiranya diambil dengan banyak dan pada jangkamasa panjang. Pemahaman ini harus di asingkan dengan pengetahuan mengenai diet apabila anda telah mengidap kanser kolorektal dan menjalani rawatan seperti pembedahan, kimoterapi atau radioterapi. Diet dalam konteks pencegahan dan keperluan setelah mengidap kanser adalah berbeza.

Diet dan nutrisi adalah makanan dan minuman yang diambil bagi memberi tenaga dan nutrien untuk menjaga tahap kesihatan dan pengurusan penyakit. , Lebih penting sewaktu sakit berbanding masa sihat akan pemiilihan pemakanan yang betul kerana ia mempunyai impak positif untuk kesihatan tubuh badan atau kebolehan badan untuk pulih dari penyakit.


Rawatan dan modifikasi pada diet


Selepas pembedahan, usus besar menjadi lebih pendek jadi proses penghadaman mengambil masa untuk kembali normal. Najis akan menjadi lebih lembut atau cair dari biasa kerana usus besar yang sekarang lebih pendek tidak dapat menyerap air.Sesetengah jenis makanan seperti yang tinggi fiber akan menyebabkan najis menjadi lebih lembut atau cirit berlaku. Ada yang menyebabkan kembung atau angin. Bagi yang menggunakan stoma ( colostomy), beg stoma harus ditukar lebih kerap atau angin akan luar memenuhi beg menjadikan anda tidak selesa.



Antara makanan yang mungkin memberi anda masalah adalah:

  • Sayur-sayuran atau buah-buahan berfiber tinggi

  • Dal, kekacang bijirin

  • Sayuran seperti cabbage

  • Minuman berkarbonat atau bergas

  • Makanan tinggi lemak

Setiap pesakit mungkin berbeza jadi anda perlu mencuba atau membuat eksperimen akan makanan apa yang sesuai untuk anda dan cuba mengingatinya atau tuliskan dimana-mana sebagai rekod.


Apa yang boleh kita lakukan untuk mengatasi masalah diet sewaktu rawatan ?

  1. Banyakkan makan makanan yang tinggi kandungan kalori dan protein seperti ikan, daging , susu dan telur bagi membantu penyembuhan dan mengelak jangkitan kuman.

  2. Makan dalam kuantiti sedikit sedikit tetapi selalu.

  3. Kunyah makanan dengan perlahan dalam cebisan makanan yang kecil-kecil

  4. Mulakan dengan kandungan fiber rendah dahulu seperti roti, pasta, biskut, emping jagung dan sayur atau buah yang telah dikupas kulitnya.

  5. Kurangkan kafein dari kopi, teh pekat atau teh hijau buat sementara

  6. Rujuk pada pakar dietetik untuk nasihat pemakanan

Bagaimana pula dengan pesakit tahap 4 atau paliatif?


Apabila kanser tidak dapat dibendung dan menjadi “ advanced” pesakit akan melalui fasa rawatan paliatif dengan objektif utama untuk mengurangkan kesengsaraan pesakit dan menjaga kualiti hidup pesakit dan ahli keluarga. Pada waktu ini, pesakit mengalami masalah- masalah berikut yang akan mengganggu diet mereka:

  1. Kurang selera makan

  2. Deria rasa kurang, lidah terasa pahit

  3. Sakit

  4. Murung

  5. Demam atau mendapat jangkitan

  6. Muntah dan loya

  7. Sembelit atau cirit

  8. Sakit perut atau perut sebu

  9. Tidak berasa lapar atau haus kerana kondisi mereka

Nutrisi pesakit paliatif penting dijaga bagi mengelakkan ‘ cancer cachexia’, walaupun ia singkat. Pesakit masih perlu sokongan dan bantuan keluarga dan pasukan perubatan walaupun tiada rawatan diberikan.


Elakkan cancer cachexia dengan menjaga nutrisi pesakit

Apakah cara-cara bagi membantu pemakanan pesakit paliatif?

1. Galakkan makan apa-apa bentuk makanan yang mereka suka dan boleh dikunyah dan mudah hadam. Contoh diet yang lembut dan dipotong kecil.

2. Ambil diet dengan kuantiti sedikit tetapi kerap iaitu 5-8 kali sehari

3. Olah diet mengikut masalah atau simptom yang dialami pesakit selain penyakit kronik yang dialami pesakit. Contoh tidak pedas bagi yang mengalami cirit atau tidak hanyir atau berbau kurang menyelerakan bagi yang tidak berselera makan, tidak terlalu panas atau terlalu sejuk.

4. Elakkan makanan yang terlalu manis , pedas, masin atau berminyak serta yang mengeluarkan bau yang tajam atau kuat

5. Minum air secukupnya

6. Ambil susu tambahan

8. Berjumpa pakar dietetik untuk nasihat pemakanan

9. Jika sukar minum atau menelan, gunakan straw semasa mengambil diet berbentuk liquid

10. Penggunaan tiub NasoGastrik iaitu tiub makanan yang dimasukkan ke perut melalui rogga hidung boleh membantu mereka yang tidak dapat makan makanan melalui mulut

11. Penggunaan tiub makanan terus pada perut atau usus kecil.

12. Elakkan suplemen selain susu tambahan untuk tidak memburukkan keadaan di saat badan yang lemah.

13. Rawat sakit supaya selera makan tidak terjejas akibat sakit. Ubat tahan sakit yang mudah ditelan, di hadam , suntikan atau jenis tampalan ( subdermal) boleh digunakan.

14. Rawatan sokongan seperti akupunktur, hipnoterapi, berurut boleh dicuba bagi mengurangkan sakit atau menambahkan selera makan.

Dr Mastura Md Yusof

Pakar Onkologi Klinikal


599 views1 comment

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com