• Norshariza Jamhuri, SME Dietetik Onkologi

Diet: Kesan sampingan dan cara atasinya

Bolehkah modifikasi pada diet mengatasi kesan-kesan sampingan rawatan dan penyakit?

Rawatan kanser mungkin menyebabkan kesan sampingan seperti loya, muntah, cirit birit, sembelit, ulser mulut, dehidrasi,  kurang selera makan, perubahan deria rasa dan bau serta lemah sistem imun badan. Kesemua simptom ini dikenali sebagai ‘nutrition impact symptoms’. Ia menyebabkan pengambilan makanan harian pesakit terjejas. Tahap kesihatan pesakit akan merosot apabila tidak mampu untuk mengambil tenaga yang mencukupi untuk keperluan tubuh.


Apakah langkah-langkah yang boleh diambil pesakit kanser bagi mengurangkan kesan-kesan simptom yang dialami ini lalu pengambilan makanan harian dapat dipertingkatkan?

Prinsip yang pertama, anda perlu memastikan pengambilan makanan anda dalam kuantiti yang sedikit tetapi lebih kerap. Simptom-simptom yang dinyatakan di atas, secara automatik akan menyebabkan anda tidak dapat mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak dalam sesuatu masa. Apabila mengalami cirit-birit, pesakit takut hendak makan kerana akan kerap ke tandas. Pesakit yang makan dalam kuantiti yang banyak akan terus rasa loya dan muntah dan mungkin juga akan ada terus hilang selera makan apabila melihat makanan yang dihidangkan atas pinggan kelihatan terlalu banyak. Sekiranya anda makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap; anda boleh berhenti sebelum rasa loya dan muntah, mungkin juga makanan yang sedikit tidak akan menyebabkan anda cirit-birit dengan teruk atau juga dapat mempengaruhi minda anda untuk makan makanan yang dihidangkan dengan lebih baik tanpa merasakan bebanan kerana makanan yang sedikit lebih mudah dihabiskan.

Prinsip yang kedua, pastikan anda mengambil air yang mencukupi,  sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Air yang hilang dari tubuh akibat daripada dehidrasi, muntah atau cirit-birit, perlu diganti sepenuhnya agar tubuh dapat beroperasi dengan baik. Tidak kisah air berwarna atau air tanpa warna, yang penting dah dimasak dan selamat untuk diambil. Ingat! Pesakit kanser mempunyai sistem imun yang lemah ketika rawatan, jadi sebarang sumber air yang tidak dimasak adalah tidak dibenarkan sama sekali kerana dikhuatiri akan menyebabkan risiko jangkitan kuman atau bakteria. Jangan bimbang jika anda kerap ke tandas untuk membuang air kecil selepas meminum air dengan banyak kerana keadaan itu adalah normal. Jus buah-buahan segar atau susu boleh diambil oleh mereka yang mendapati pengambilan makanan mereka berkurangan daripada biasa . Jus-jus buah-buahan dan susu dapat memberi tambahan tenaga yang diperlukan oleh tubuh. Jus-jus buah-buahan yang rasanya masam (buah-buahan sitrus) seperti jus oren, lemonade, epal hijau atau anggur dapat membantu mereka mengatasi rasa loya dan meningkatkan selera makan.


Prinsip terakhir, pastikan anda memilih makanan atau minuman dengan kandungan tenaga dan protein yang tinggi (high calories and protein density).  Makanan yang dikategorikan mempunyai kandungan tenaga dan protein yang tinggi, biasanya mempunyai nilai tenaga dan protein yang tinggi dalam kuantiti yang kecil. Antara makanan yang dikategorikan sebagai makanan tinggi tenaga dan protein adalah kek, aiskrim, dessert, pastri, milkshake dan sebagainya.


Sebagai kesimpulan, dalam penjagaan pesakit kanser dari sudut diet, adalah amat penting untuk memastikan anda semua mendapat tenaga dan protein yang mencukupi dari diet harian anda. Jangan takut untuk mengambil makanan atau minuman yang manis atau berlemak ketika anda mengalami kesan sampingan rawatan kerana makanan dan minuman ini dapat menambahkan tenaga yang diperlukan oleh tubuh anda pada waktu anda tidak dapat mengambil makanan lain dengan baik. Tubuh yang sihat terhasil daripada pengambilan tenaga yang memenuhi keperluan harian dan amat diperlukan untuk menempuh sesi rawatan kanser yang telah dirancang.


Oleh:

Norshariza Jamhuri,

Pegawai Dietetik U52 (KUP-SME)

Subject Matter Expert (SME)

Pakar Dietetik Onkologi



©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com