• Dr Hakim Darail

“Doktor, saya tidak sanggup kehilangan payudara kerana pembedahan...”

Updated: Jun 18

Ini adalah diantara kata-kata yang paling kerap didengar apabila berbincang dengan pesakit kanser payudara. Pembedahan adalah satu perkataan yang digeruni para wanita apabila berbincang mengenai rawatan kanser payudara. Hakikatnya, pembedahan merupakan salah satu daripada komponen utama dalam rawatan kanser payudara.

Kebanyakan wanita yang mengalami penyakit kanser payudara akan menjalani pembedahan sewaktu di dalam rawatan. Terdapat pelbagai jenis pembedahan untuk merawat kanser payudara dan ianya dilakukan mengikut kesesuaian dan faktor tertentu. Teknik pembedahan terkini dan kombinasi rawatan kanser payudara moden telah membolehkan kebanyakan pesakit kanser payudara menjalani pembedahan yang selamat tanpa dibayangi ketakutan kehilangan keseluruhan payudara mereka.

Mengapa pembedahan perlu dilakukan untuk merawat kanser payudara?


Pembedahan adalah satu-satunya rawatan yang boleh menyembuhkan kanser payudara, terutamanya pada peringkat awal. Pembedahan merupakan rawatan setempat yang dilakukan dengan tujuan membuang keseluruhan kanser yang tumbuh di dalam payudara seseorang itu. Untuk memastikan pembedahan benar-benar berkesan, keseluruhan kanser tersebut perlu dibuang bersama satu lapisan tisu payudara yang normal di sekelilingnya. Sebagai contoh, sekiranya saiz kanser tersebut adalah 1 cm, keseluruhan isi yang dibedah, termasuk ketumbuhan kanser tersebut, akan menjadi sekurang-kurangnya 3 cm lebarnya. Ini akan memastikan risiko untuk kanser tumbuh semula menjadi serendah mungkin.

Pembedahan juga perlu dilakukan untuk mengenal pasti sama ada kanser tersebut telah merebak ke kelenjar limfa di ketiak. Ini kerana sel-sel kanser akan mula merebak dari ketumbuhan utama di payudara ke kelenjar limfa di ketiak terlebih dahulu sebelum tiba ke organ-organ lain seperti tulang, paru-paru, hati dan sebagainya. Dengan ini, bukan sahaja kanser tersebut dapat dirawat sepenuhnya, kita juga akan dapat mengenalpasti tahap atau stage sebenar penyakit kanser payudara seseorang wanita itu.


Pembedahan turut dilakukan untuk mengembalikan semula rupa bentuk payudara yang telah terjejas selepas pembedahan membuang kanser dilakukan. Ini boleh dicapai melalui teknik pembedahan rekonstruktif. Sebagai contoh, payudara yang hilang akibat pembedahan mastektomi boleh dibentuk semula menggunakan implant ataupun pemindahan tisu daripada bahagian badan yang bersesuaian. Pembedahan rekonstruktif boleh dilakukan pada masa yang sama selepas mastektomi ataupun berasingan sebagai pembedahan kedua yang dilakukan selepas semua rawatan kanser telah selesai. Pelbagai teknik pembedahan rekonstruktif boleh dilakukan untuk memberikan hasil kosmesis yang terbaik.


Pembedahan juga dilakukan untuk menyelesaikan masalah berkenaan simptom-simptom yang tidak terkawal dikalangan pesakit kanser payudara tahap 4. Contohnya, pembedahan mastektomi boleh dilakukan untuk mengatasi masalah pendarahan dan luka di ketumbuhan payudara yang tidak sembuh sepenuhnya walaupun telah selesai menjalani rawatan kimoterapi.


Adakah saya perlu kehilangan seluruh payudara apabila menjalani rawatan pembedahan untuk penyakit kanser payudara?


Seperti yang telah disebut di atas, kanser perlu dibuang bersama satu lapisan isi payudara normal disekelilingnya. Oleh itu, pembedahan untuk merawat kanser payudara boleh dilakukan seperti berikut:

Pelbagai teknik pembedahan breast conserving surgery

Breast conserving surgery di mana hanya isi payudara yang mengandungi kanser dibuang, dan sebahagian besar payudara pesakit tersebut dapat dikekalkan. Pembedahan in sesuai dilakukan ke atas pesakit kanser payudara peringkat awal di mana saiz kanser masih kecil berbanding dengan saiz payudara pesakit. Satu lagi faktor penting adalah tiada unsur-unsur kanser multifocal iaitu terdapat beberapa ketulan kanser di dalam payudara pesakit. Pembedahan breast conserving surgery perlu disusuli dengan rawatan radioterapi. Keberkesanan kombinasi rawatan ini terbukti setara dengan pembedahan mastektomi.



Parut selepas pembedahan mastektomi

Mastektomi pula adalah suatu pembedahan di mana kanser tersebut dibuang bersama keseluruhan payudara di sebelah yang sama. Seluruh isi payudara, sebahagian besar kulit payudara, keseluruhan bahagian puting dan areola akan dibedah. Otot dada (pectoralis major) dan tulang rusuk tidak diganggu sekiranya kanser tersebut tidak melibatkan bahagian tersebut. Apabila luka telah dijahit rapat, bahagian dada di mana mastektomi dilakukan akan menjadi rata dan akan kelihatan satu garisan parut yang tegak dan melintang di situ.


Rawatan pembedahan untuk kanser payudara tidak semestinya menyebabkan seseorang wanita perlu kehilangan keseluruhan payudaranya. Faktor-faktor yang menentukan pesakit perlu menjalani pembedahan mastektomi termasuk saiz kanser yang besar, jenis kanser multifocal/multicentric, lokasi kanser di payudara tersebut dan saiz payudara pesakit yang agak kecil berbanding saiz kanser. Selain daripada itu, mastektomi juga perlu dilakukan sekiranya pesakit tidak boleh menjalani rawatan radioterapi di atas sebab-sebab tertentu, sebagai contoh pesakit yang mempunyai kanser hereditari dan sekiranya pesakit sendiri memilih untuk menjalani mastektomi.


Mengapakah pembedahan kelenjar limfa di ketiak perlu dilakukan?


Satu lagi aspek rawatan pembedahan untuk merawat kanser payudara adalah pemeriksaan kelenjar limfa di ketiak bagi memastikan kanser sudah merebak ke sana atau belum.

Kelenjar limfa di ketiak

Biasanya ini dilakukan menggunakan kaedah sentinel lymph node biopsy. Melalui teknik ini doktor akan menggunakan suntikan radioisotop dan dye biru di sekitar ketumbuhan kanser payudara tersebut dan mengenal pasti kelenjar limfa pertama di ketiak (sentinel lymph node) di mana sel kanser mungkin telah merebak. Dengan menggunakan peralatan khas, satu pembedahan kecil untuk mengeluarkan kelenjar sentinel lymph node tersebut tanpa menggangu keseluruhan ketiak pesakit. Sekiranya kelenjar sentinel itu positif untuk sel kanser, pembedahan axillary clearance akan dilakukan untuk mengeluarkan keseluruhan kelenjar limfa di ketiak. Sekiranya biopsi kelenjar sentinel tersebut negatif, tiada pembedahan lanjutan perlu dilakukan. Ini dapat mengurangkan risiko berlaku bengkakan di lengan (limfedema), dan kekejangan bahu yang lebih kerap berlaku selepas pesakit menjalani pembedahan axillary clearance.


Axillary clearance pula adalah suatu pembedahan yang dilakukan untuk mengeluarkan keseluruhan isi lemak dan kelenjar limfa di ketiak pesakit kanser payudara. Pembedahan ini dilakukan sekiranya pesakit didapati mempunyai tanda-tanda kanser telah merebak ke kelenjar limfa di ketiak selepas pemeriksaan fizikal, ultrasound ataupun CT scan dilakukan. Ia juga kadangkala dilakukan selepas menerima keputusan positif daripada pembedahan sentinel lymph node biopsy.


Bilakah masa yang sesuai untuk menjalani pembedahan?


Kebiasaannya, pembedahan adalah modaliti pertama yang dicadangkan dalam algoritma rawatan kanser payudara. Ini adalah keputusan yang terbaik untuk merawat kebanyakan kanser payudara peringkat awal. Namun begitu, untuk beberapa situasi tertentu, pembedahan boleh ditunda sehingga selepas rawatan neoadjuvan menggunakan kemoterapi, rawatan hormon atau targeted therapy selesai. Kebiasaanya situasi ini berlaku kepada pesakit kanser payudara tahap 3 – 4 dimana kanser telah terlalu besar atau jenis biologi kanser yang agresif dan memulakan rawatan dengan kimoterapi atau targeted therapy akan memberikan kesan yang lebih baik berbanding melakukan pembedahan terlebih dahulu.


Mungkinkah timbul apa-apa masalah atau komplikasi selepas pembedahan dilakukan?


Secara amnya pembedahan untuk merawat kanser payudara mempunyai risiko komplikasi serius yang agak rendah. Antara masalah yang boleh timbul selepas pembedahan adalah pendarahan di luka, seroma iaitu pengumpulan cecair di bawah luka, rasa sakit atau sengal-sengal di sepanjang luka, dada dan bahu pesakit, dan risiko jangkitan di luka pembedahan. Kebiasaannya, sekiranya berlaku, masalah tersebut akan dapat diatasi dengan mudah.


Antara isu utama yang sering ditimbulkan, terutamanya selepas menjalani pembedahan mastektomi, adalah kehilangan sebelah payudara yang menyebabkan pelbagai masalah dari segi fizikal, penampilan kewanitaan dan emosi. Apabila sebelah dada wanita itu kosong, timbul ketidak seimbangan antara sebelah kiri dan kanan. Keseimbangan ketika berdiri boleh terganggu; tetapi isu yang paling ketara adalah penampilan apabila wanita tersebut mengenakan pakaian, di mana sebelah dadanya akan kelihatan “kosong”. Isu kehilangan sifat kewanitaan yang sempurna ini kadang-kala menimbulkan gangguan emosi kepada pesakit kanser payudara dan memerlukan rawatan sokongan dan kaunseling yang berterusan. Nasihat dan bimbingan mengenai penggunaan prostesis di dalam bra, pemilihan pakaian yang bersesuaian dan menjalani pembedahan rekonstruktif boleh membantu mengatasi masalah ini.


Wanita yang telah menjalani pembedahan axillary clearance pula mengalami risiko bengkak di lengan, atau lebih dikenali dengan nama lymphoedema. Masalah ini boleh menyebabkan rasa sakit dan ketegangan di lengan menyukarkan untuk dia menggunakan tangan tersebut. Oleh kerana itu, sekiranya sesuai dengan tahap penyakit, pembedahan sentinel lymph node biopsy boleh mengurangkan risiko lymphoedema.


Kesimpulannya, tidak dapat dinafikan bahawa pembedahan akan sentiasa menimbulkan kesan yang mendalam kepada setiap pesakit kanser payudara. Namun, ianya adalah satu pengorbanan yang perlu dilakukan dalam usaha untuk menyembuhkan penyakit kanser payudara. Mengambil kira faktor ini, falsafah teknik pembedahan kanser payudara terkini turut menjurus ke arah memastikan setiap kanser dibuang sepenuhnya dan pada masa yang sama mengekalkan rupa bentuk asal payudara dengan sebaik mungkin. Ini bertujuan mengatasi impak psikologi dan emosi yang timbul akibat pembedahan itu sendiri, lantas mendorong lebih ramai pesakit kanser payudara menerima hakikat pembedahan perlu dilakukan.  


“Kalau begitu doktor, bila boleh kita lakukan pembedahan ini?”



0 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com