• Dr Nur Adilah bt Sulaiman

Gangguan Emosi dan Kanser

Updated: Jun 16

Menerima diagnosis kanser adalah sememangnya sesuatu yang menakutkan. Kanser menyerang sesiapa saja tanpa mengira status, umur, bangsa atau tahap pendidikan seseorang. Hidup selepas menerima diagnosis kanser mungkin tidak lagi sama seperti dulu. Kanser bukan saja boleh mengganggu emosi pesakit kanser itu sendiri, malahan turut menjejaskan ahli keluarga dan penjaga mereka. Ia turut memberi kesan kepada fungsi harian termasuk pekerjaan, hubungan sesama individu dan aktiviti sosial. Jadi, tidak memeranjatkan apabila kajian mendapati ramai pesakit kanser mengalami berbagai gangguan emosi. Satu kajian di Malaysia menunjukkan kadar prevalen ‘depression’ (kemurungan) di kalangan penghidap kanser payudara di Malaysia ialah 22% manakala 31.7% pula mengalami ‘anxiety’ (gangguan kebimbangan).


Stress dan gangguan emosi seperti kemurungan juga boleh mengganggu proses pemulihan dan rawatan kanser secara tidak langsung. Bila berada dalam keadaan murung dan tertekan, sistem imunisasi badan kita boleh menjadi semakin lemah. Oleh itu, amatlah penting bagi pejuang-pejuang kanser untuk turut memberikan perhatian pada kesihatan mental masing-masing.


Apa perbezaan antara gangguan emosi normal dan gangguan kemurungan dan kegelisahan


Sepanjang tempoh siasatan, diagnosis dan rawatan kanser, berbagai perubahan emosi boleh di alami oleh pesakit kanser. Dari masa ke semasa, adalah normal sekiranya anda berasa sedih, bimbang, takut atau marah untuk seketika. Ini adalah reaksi yang biasa dan memang dijangkakan perasaan ini akan turun naik sepanjang berbagai peringkat perjuangan anda dengan kanser. Berikanlah masa pada diri sendiri untuk bertenang dan perlahan-lahan menerima perubahan yang bakal anda alami. Namun begitu, sekiranya gangguan emosi yang anda alami menjadi semakin teruk dan berpanjangan sehingga mengganggu fungsi dan aktiviti harian anda, anda perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut dari ahli professional.




Apakah gangguan kemurungan dan kegelisahan?


Kemurungan atau ‘depression’


Kemurungan atau ‘depression’ merujuk kepada satu keadaan di mana seseorang individu itu mengalami perasaan sedih yang berpanjangan dan lebih dari biasa, yang seterusnya mengganggu fungsi harian.


Ciri utama ‘depression’ ialah kesedihan yang teruk secara berterusan ataupun hilang minat untuk menjalankan aktiviti yang disukai sebelum ini untuk tempoh sekurang-kurangnya 2 minggu. Simptom lain yang biasanya turut dialami ialah perubahan selera makan dan juga berat badan, gangguan tidur (sukar tidur atau tidur lebih dari biasa), keletihan dan sukar untuk memberi tumpuan. Seseorang yang mengalami penyakit kemurungan juga mungkin mempunyai perasaan bersalah yang keterlaluan ataupun merasakan diri tidak berguna. Idea atau keinginan tentang mati ataupun bunuh diri pula mungkin akan mula muncul dengan kerap.


Kadang-kadang sesetengah simptom penyakit kemurungan ini bertindih dengan simptom penyakit kanser itu sendiri ataupun kesan sampingan dari ujian atau rawatan yang dijalani seperti keletihan, sukar tidur dan hilang selera makan. Oleh itu, penilaian dari ahli professional adalah diperlukan untuk diagnosis dan rawatan lanjut. Jangan risau untuk berbincang dengan doktor anda akan gejala-gejala ini supaya rujukan ke ahli professional dapat dilakukan bagi membantu anda.


Anxiety Disorder (Gangguan Kebimbangan)


Anxiety Disorder (Gangguan Kebimbangan) pula ialah sekumpulan penyakit di mana seseorang individu itu mengalami kegelisahan yang melampau dan lebih dari kebiasaan yang mengganggu fungsi harian mereka. Antara penyakit yang mungkin dialami oleh penghidap kanser di bawah kumpulan besar penyakit kegelisahan ialah ‘Generalized Anxiety Disorder’ (Gangguan Kebimbangan Umum) dan ‘Panic Attack’ (Serangan Panik).


‘Panic attack’ ialah episod ketakutan melampau yang berlaku tiba-tiba, disertai dengan simptom fizikal dan kognitif. Anda mungkin jadi berdebar-debar, berpeluh-peluh, menggeletar, berasa sukar bernafas atau tercekik. Selain itu,anda boleh juga mengalami sakit dada, loya, pening seperti mahu pitam, badan berasa panas sejuk dan kebas. Ketika mengalami serangan panik ini, anda mungkin menjadi sangat takut akan hilang kawalan, takut akan mati dan berasa seolah-olah terpisah dari realiti atau diri.


‘Generalized anxiety disorder’ pula ialah kebimbangan tentang isu harian yang melampau dan sukar untuk dikawal. Gejala yang biasanya dialami termasuklah resah gelisah, cepat letih, sukar untuk fokus, mudah marah, gangguan tidur dan juga ketegangan otot.


Apa yang boleh anda lakukan?


1. Dapatkan maklumat yang betul dari pakar berkenaan diagnosis anda dan rawatan


Adalah sesuatu yang normal untuk kita berasa takut apabila berdepan dengan perkara yang baru dan perubahan yang kita tidak pasti. Tapi lama kelamaan apabila kita sudah kenal dan tahu siapa sebenarnya ‘musuh’ kita, maka lebih mudah untuk kita membuat persediaan untuk berjuang. Jadi, dapatkanlah sebanyak mungkin maklumat dari doktor yang merawat anda tentang penyakit kanser yang anda alami dan sebaiknya, libatkan juga pasangan atau ahli keluarga terdekat dalam perbincangan bersama doktor.


Fahami sedalam mungkin tentang diagnosis anda dan pilihan rawatan yang ada serta suarakanlah apa-apa jua kebimbangan dan persoalan yang timbul. Saya percaya doktor yang merawat anda sentiasa bersedia untuk meneliti apa-apa masalah dan menjawab persoalan yang dikemukakan. Terdapat banyak mitos berkenaan kanser dan juga kaedah rawatan alternatif yang sebenarnya tidak terbukti berkesan jadi anda perlu berhati-hati apabila mendapatkan maklumat dari individu selain dari doktor yang merawat anda.


2. Dapatkan sokongan dari ahli keluarga dan kawan-kawan

Sebagai manusia biasa, kita memerlukan sokongan sosial dan interaksi dengan orang lain dalam kehidupan seharian. Namun begitu, ada yang mula mengasingkan diri dari keluarga dan kawan-kawan apabila menerima diagnosis kanser kerana malu dan mungkin merahsiakan diagnosis kerana berasa takut akan menjadi beban kepada ahli keluarga.


Sebenarnya sokongan dari ahli keluarga dan kawan-kawan yang positif boleh membantu anda dalam perjuangan ini. Anda tidak keseorangan. Carilah kawan-kawan yang boleh menceriakan anda dan sertailah kumpulan-kumpulan sokongan yang ada untuk berkongsi perasaan sebaik mungkin. Cuba semampu mungkin untuk meneruskan aktiviti yang anda gemari dan penuhi masa anda dengan aktiviti berfaedah bersama kawan-kawan dan keluarga. Anda juga boleh menghubungi Befrienders di talian 03-79568145/8144 untuk bercakap dengan sukarelawan terlatih bagi mendapatkan perkhidmatan sokongan emosi.




Pada masa yang sama, berhati-hati dan jauhi individu yang mungkin memberikan maklumat yang salah atau cuma mahu mengambil kesempatan ke atas anda dan rakan-rakan seperjuangan.


3. Berhenti bertanya kenapa atau mencari salah siapa dan sebaliknya mula fokus kepada perkara yang dapat anda kawal


Tidak dinafikan, sekali-sekala akan timbul pertanyaan, kenapa aku? Apakah salah aku? Namun begitu, soalan-soalan sebegini sebenarnya tidak membantu anda untuk terus fokus dalam perjuangan menentang kanser. Besar kemungkinan, anda tidak akan menemui apa-apa jawapan kepada persoalan anda dan sebaliknya persoalan-persoalan ini akan membuatkan anda terus berasa lebih sedih dan bimbang. Anda tidak dapat mengubah apa-apa yang telah berlaku pada masa lepas, namun anda masih dapat serba sedikit cuba mengawal apa yang bakal berlaku pada masa hadapan dengan membuat keputusan yang betul sekarang.


4. Bina kekuatan spiritual


Kadangkala, kita mungkin menjadi putus asa dan merasakan tidak ada sesiapa yang mampu untuk menolong kita didunia ini. Namun begitu, janganlah kita lupa adanya Tuhan yang Maha Berkuasa dan sebenarnya, ‘magik’ itu tidak mustahil dengan kuasaNya. Jadi usahlah kita berputus harap pada Tuhan dan gunakanlah peluang yang masih ada untuk mendekatkan diri padaNya.


5. Dapatkan khidmat nasihat dan rawatan dari pakar kesihatan mental


Sekiranya gangguan yang dialami mula menyebabkan anda berasa seolah-olah tidak ada harapan lagi dan tidak bersemangat untuk meneruskan hidup, janganlah berasa malu untuk mendapatkan rawatan dari ahli professional di dalam bidang kesihatan mental. Maklumkan perasaan yang dialami kepada doktor yang merawat dan seterusnya rujukan kepada pakar Psikiatri atau pakar Psikologi Klinikal boleh dibuat. Pakar kesihatan mental dapat membantu anda dari segi sokongan psikologi melalui rawatan psikoterapi ataupun ubat-ubatan sekiranya diperlukan. Rawatan yang diberikan boleh membantu mengawal simptom kemurungan atau kegelisahan yang dialami dan dapat memudahkan anda untuk menjalani aktiviti harian dengan lebih bersemangat. Sedikit sebanyak anda mungkin berasa lebih bertenaga dan bermotivasi untuk terus berjuang sekiranya dapat tidur dengan lebih baik, kurang berasa bimbang, lebih tenang dan fokus.



Harus ditekankan yang kesediaan menerima rawatan kesihatan mental bukanlah tanda bahawa anda orang yang lemah tetapi sebaliknya, rawatan ini bertindak sebagai ‘senjata’ untuk anda berjuang melawan kanser dengan lebih kuat. Jadi izinkan kami untuk membantu anda.


Tidak dinafikan jalan yang terpaksa anda lalui bukanlah jalan yang mudah, tetapi ingatlah anda tidak bersendirian dan tidak mustahil, perjalanan ini akan membuatkan anda menjadi seorang individu yang lebih kuat, matang dan positif di penghujungnya. Teruskanlah berusaha dan seterusnya bertawakkal. Kami doakan hanya yang terbaik untuk anda.



Dr Nur Adilah bt Sulaiman

Pakar Psikiatri (Visiting)

Columbia Asia Hospital Bintulu

Rujukan :

Hassan MR, Shah SA, Ghazi HF, Mohd Mujar NM, Samsuri MF, Baharom N. Anxiety and Depression among Breast Cancer Patients in an Urban Setting in Malaysia. Asian Pac J Cancer Prev. 2015;16(9):4031–5.

1,509 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com