• Norshariza Jamhuri, SME Dietetik Onkologi

Gula dan kanser: Boleh atau tidak?

Bolehkah pesakit kanser mengambil gula?

Kalau anda membuat carian di internet, pasti akan terjumpa artikel yang menceritakan bagaimana gula boleh menyebabkan kanser atau pesakit dilarang mengambil gula kerana gula akan menyebabkan kanser semakin teruk. Melalui pengalaman kami di Jabatan Dietetik, kebanyakan pesakit kanser akan mengelakkan pengambilan gula atau apa sahaja makanan manis kerana takut pengambilan gula akan menyebabkan kanser agresif atau merebak.

Untuk informasi anda, fakta ini kurang tepat dan merupakan mitos makanan bagi pesakit kanser. Tidak benar sama sekali gula menyebabkan kanser kerana jika ia benar sudah tentu semua manusia di dunia akan mendapat kanser kerana gula asas tenaga dan terdapat di dalam pemakanan kita sejak kecil.

Mari kita fahamkan apa itu gula.

Dari aspek sains, gula adalah karbohidrat. Gula atau karbohidrat terdiri daripada 2 kumpulan utama iaitu gula kompleks dan gula ringkas. Gula kompleks merangkumi makanan seperti nasi, tepung, mi, bihun, kuey teow, roti dan biskut. Gula kompleks perlu dicernakan dahulu oleh badan bagi memberikan sumber tenaga yang diperlukan oleh tubuh. Gula ringkas terdiri daripada susu (laktosa), buah-buahan dan fiber (fruktosa) dan juga pelbagai jenis gula (glukosa). Gula ringkas menyerap terus ke dalam badan selepas dimakan dan menjadi penjana sumber tenaga segera dalam menjalani aktiviti harian. Sumber tenaga yang tidak digunakan akan disimpan dalam bentuk gula simpanan seperti glikogen, di badan. Setiap anggota badan kita memerlukan gula untuk berfungsi dengan baik seperti berfikir, bernafas, berjalan dan sebagainya.

Apa yang terjadi apabila badan tidak mendapat tenaga yang mencukupi?

Seperti kereta yang kehabisan minyak, ia akan tersadai di tepi jalan, begitu juga dengan tubuh badan kita- tanpa tenaga atau gula yang mencukupi, badan akan beroperasi pada kadar yang sangat minimum. Lebih-lebih lagi, kadar metabolisme badan pesakit kanser akan menjadi lebih tinggi daripada mereka yang sihat kerana tubuh mereka perlu bekerja lebih untuk melawan sel-sel kanser dalam badan atau mengatasi kesan sampingan rawatan.

Sel-sel badan yang sihat merupakan dinding kekuatan badan jadi mereka perlukan jumlah tenaga yang mencukupi. Berlainan dengan sel normal, walaupun tenaga yang diperolehi badan tidak mencukupi, sel-sel kanser ini seperti parasit, masih mampu untuk berkembang biak tanpa tenaga dan semakin bertambah berbanding sel-sel sihat. Pesakit kanser akan menjadi semakin lemah dan tidak berdaya mengakibatkan tubuh tidak dapat menampung kesan rawatan yang dijalani. Kesimpulannya, gula diperlukan untuk membekalkan tenaga yang mencukupi untuk memastikan tubuh dapat melawan penyakit dan menerima rawatan pada tahap yang optimum.

Tidak salah untuk mengambil gula kerana ia diperlukan sebagai sumber tenaga. Jangan anda elakkan terus pengambilan gula tidak kiralah dalam bentuk kompleks ataupun ringkas. Kekurangan pengambilan tenaga akan menyebabkan berlakunya kekurangan nutrisi (malnutrisi). Perlu diketahui bahawa hampir 20% daripada kematian pesakit kanser berpunca dari keadaan malnutrisi dan bukan disebabkan oleh penyakit kanser itu sendiri.

Melainkan anda mempunyai penyakit tidak berjangkit lain seperti kencing manis, jantung dan darah tinggi, tiada sebab untuk anda tidak mengambil sumber karbohidrat atau gula dalam pemakanan harian anda. Rujuk pada yang pakar bagi sebarang kemusykilan mengenai gula.

Akhir sekali ingin ditekankan sekali lagi iaitu gula bukan penyebab kanser. Gula mampu memberikan anda tenaga yang mencukupi asalkan anda tidak mengambilnya secara berlebihan.

Oleh:

Norshariza Jamhuri,

Pegawai Dietetik U52 (KUP-SME)

Subject Matter Expert (SME)

Pakar Dietetik Onkologi



©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com