• Rose TNBC survivor

Jangan sesekali mengalah sebelum kalah..

Hari ini di dalam ruangan Bicara Pejuang, saya ingin kongsikan pengalaman saya sebagai Pejuang Kanser Payudara.


Kanser adalah salah satu penyakit yang kritikal. Jika sudah disahkan menghidap satu penyakit yang kritikal, persepsi kita tentang kehidupan akan berubah secara total. Kita akan melihat hari-hari yang ada sebagai satu hadiah dan sebuah anugerah dari Allah. Perancangan juga lebih terhad kepada jangkamasa pendek. Perancangan jangka panjang juga dibuat tetapi lebih berfokus kepada sesiapa yang akan melaksanakannya nanti selepas kita tiada. Kita merasakan Allah terlalu dekat dengan kita dan tiap-tiap doa dan sujud kita penuh bererti dan minta dimakbulkan. Keikhlasan dan keyakinan kita pada Pencipta lebih tinggi. Hikmah ini yang tak dapat kita rasa di saat-saat kita sihat sebelum ini.

Selain dari membaca al Quran, saya banyak membaca buku-buku motivasi dan majalah-majalah ilmiah, kerana saya yakin kekuatan emosi sangat penting untuk membantu kita kekal positif dalam melawan penyakit ini.

Saya disahkan menghidap kanser payudara kanan jenis tripel negatif (Triple Negative Breast Cancer, TNBC) semasa umur saya 36 tahun iaitu pada Oktober 2012. Dari situ bermulalah episod perjuangan demi perjuangan saya untuk hidup sihat. Saya bersyukur kerana kanser payudara saya dapat dikesan di peringkat awal. Urusan pembedahan, radioterapi dan kemoterapi berjalan lancar. Sokongan keluarga, kumpulan perawat dan kawan-kawan sangat membantu sepanjang proses rawatan dan kesembuhan. Sebagai kakitangan kerajaan, saya telah mengambil cuti sakit kerana kanser untuk tempoh satu tahun.


Saya telah disahkan sihat dan dapat kembali bekerja pada November 2013. Rutin kerja saya lakukan seperti biasa, beban tugas juga diringankan kerana kesan-kesan rawatan sedikit menggangu kelancaran saya untuk melakukan tugas-tugas berat. Oleh kerana jenis kanser saya adalah jenis TNBC, hospital merupakan rumah kedua bagi saya. Selepas pembedahan, radioterapi dan kemoterapi tamat, tiada ubat yang dibekalkan untuk mengawal keaktifan sel kanser jadi saya perlu melakukan pemeriksaan berkala di hospital secara kerap. Selain dari pemeriksaan doktor, setiap bulan saya pasti membuat pemeriksaan sendiri payudara mengikut yang diterangkan oleh doktor.


Semakin hari, kesan-kesan rawatan semakin berkurangan dan tubuh badan saya kembali aktif dan saya tidak menolak apa-apa tanggungjawab kerja yang diberikan kepada saya. Saya juga berpeluang menikmati kenaikan pangkat secara ‘fast track’ pada tahun 2014 dan mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2016. Syukur alhamdulillah.


Pada penghujung tahun 2016, saya mengalami demam ringan yang berulang. Perkara ini telah saya maklumkan kepada doktor onkologi di klinik pakar tetapi pemeriksaan darah dan ujian mammogram tidak menunjukkan sebarang tanda kanser saya berulang. Pada Mac 2017, hasil dari pemeriksaan sendiri payudara secara berkala, saya mengesan ketulan kecil yang lembut di payudara kanan iaitu di bahagian yang sama kanser saya dikesan pada tahun 2012.


Saya maklumkan kepada doktor namun ujian darah dan ujian mammogram masih tiada mengesahkan ianya tanda kanser berulang. Pada awal Mei 2017, hasil ujian CT scan menunjukkan bahawa ketulan kecil di payudara kanan saya itu agak meragukan dan satu ujian biopsi berpandukan ultrasound telah dilakukan. Keputusan biopsi yang diterima 2 minggu selepas itu mengesahkan kanser saya berulang dengan jenis yang sama iaitu TNBC. Atas saranan doktor saya telah melakukan ujian PET Scan bagi meninjau bahagian lain badan samada mempunyai rebakan kanser atau tidak. Keputusan PET Scan menunjukkan bahawa kanser saya telah merebak ke bahagian kelenjar di ketiak sebelah kiri iaitu berlawanan dengan kanser berulang di payudara kanan. Sel kanser pada payudara kanan saya membesar dengan cepat dan sangat menyakitkan kerana sel telah menekan tisu payudara dan dinding dada saya.

Pembedahan segera dilakukan dan keputusan menunjukkan bahawa kanser saya sangat agresif. Setelah pelbagai cadangan rawatan di berikan oleh beberapa orang doktor pakar onkologi dengan peluang sembuh yang agak tipis, saya bersetuju untuk menjalani rawatan dengan menyertai satu kajian klinikal ubat imunoterapi baru dan kimoterapi yang dikhaskan untuk pesakit TNBC metastatik di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Pelbagai proses saringan dilakukan dan saya telah memulakan rawatan pada 6 September 2017. Pada saat ini, ujian CT Scan sebelum rawatan bermula menunjukkan kanser saya telah merebak ke beberapa tempat yang lain.

Rawatan untuk kajian klinikal yang saya jalani memerlukan saya berulang alik ke Kuala Lumpur dari Johor Baharu hampir setiap minggu. Banyak pengorbanan yang perlu saya dan keluarga lakukan seperti dari segi wang ringgit, cuti tanpa gaji suami, anak-anak yang tinggal dan perlu menguruskan diri sendiri atau dengan bantuan adik beradik. Kesan-kesan rawatan kemoterapi yang sangat menyakitkan juga menuntut kesabaran dan kecekalan. Setelah 13 kitaran rawatan iaitu 26 kali rawatan kemoterapi dan imunoterapi , saya bersyukur kerana lebih 55% kanser saya mengecut dan hilang, Cuma kelenjar di bawah ketiak kiri yang semakin membesar dan mengganggu fungsi tangan saya untuk bergerak. Saya memilih untuk berhenti dari meneruskan rawatan kajian dan memilih untuk membuat pembedahan membuang kelenjar-kelenjar sebelah kiri.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, sel kanser yang aktif di kelenjar kiri berjaya dibuang dan saya kembali bertugas pada November 2018. Akibat dari kekangan demi kekangan yang mungkin dipengaruhi kanser dan kesan sampingan rawatan, saya memohon bertukar mengajar di sekolah berhampiran dengan rumah saya dan menjalani hidup secara sihat dan aktif.

Petua yang selalu saya amalkan adalah jauhi tekanan , sentiasa berfikiran positif serta berlapang dada. Selain itu berusahalah membantu mempermudahkan urusan orang lain dan berkongsi manfaat walau sekecil-kecil perkara. Yakinlah orang-orang yang diuji ini sentiasa dalam pandangan Allah.

Setelah hampir 2 tahun selesai rawatan, keputusan PET Scan menunjukkan tiada tanda-tanda kanser yang aktif. Walaupun begitu kesan-kesan jangka panjang rawatan tetap saya rasakan sehingga kini seperti cepat letih, sakit sendi-sendi dan cepat lupa.

Nasihat saya kepada wanita-wanita semua, buatlah pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan, sekiranya ada apa-apa yang mencurigakan, sila berjumpa dengan doktor dengan segera.

Buat pemeriksaan lanjut di hospital dan sekiranya disahkan kanser teruskan dengan rawatan hospital. Jangan dengar cakap-cakap orang berkaitan dengan rawatan alternatif yang tiada hujung pangkal, apalagi makanan-makanan tambahan yang kononnya boleh meyembuhkan kanser.

Kanser payudara boleh dirawat dengan pembedahan, kemoterapi dan radioterapi jika dikesan diperingkat awal. Peluang untuk sembuh itu sangat tinggi. Jangan sesekali mengalah sebelum berjuang dan jangan sesekali mati sebelum ajal.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kenangan, kasih sayang, pengorbanan dan budi baik semua yg terlibat secara langsung dan tidak langsung di sepanjang proses rawatan saya dari 2012 sehingga kini… Doakan saya moga terus sihat dan dapat membantu orang lain serta dapat sama-sama membesarkan anak-anak saya…aamiin.. #kitapastimenang


1,270 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com