• Dr Hayani Abdul Wahid

JENIS-JENIS KANSER PAYUDARA

Updated: May 9


Ramai yang menyangka semua kanser payudara adalah sama dan perlu rawatan yang sama. Sebenarnya kanser payudara boleh kita kategorikan kepada 2 jenis yang utama iaitu:


Non Invasif Kanser (Bukan kanser invasif )


Ia terdiri dari ductal carcinoma in situ (DCIS) yang berasal dari duct/ saluran payudara dan lobular carcinoma in situ (LCIS) yang berasal dari lobul payudara.

Non invasif kanser payudara

Dianggarkan 30% kanser payudara adalah dari jenis noninvasif. Kedua-dua DCIS dan LCIS ini biasanya tidak mengganas dan tidak merebak luar dari payudara. Non invasif kanser ini boleh sembuh hanya dengan kaedah pembedahan. Prognosis kanser tidak invasif juga amat baik. Namun demikian mereka juga boleh berubah dan menjadi punca terjadinya kanser invasif maka pantauan yang berterusan adalah perlu bagi semua kes kanser payudara tidak invasif yang telah sembuh selepas pembedahan.



Kanser Invasif


Jenis ini terdiri daripada "invasive ductal carcinoma" (IDC)yang berasal dari duct/saluran payudara dan "invasive lobular carcinoma" (ILC) yang berasal dari lobul payudara. Sila perhatikan gambar di bawah untuk perbezaan antara duct/saluran dan lobul.

70 peratus kanser payudara adalah terdiri dari jenis invasif dan sememangnya invasif kanser ini adalah ganas dan perlu dirawat dengan segera dan secara menyeluruh.

Terkini, mengenalpasti ciri ciri mikro dan menentukan jenis invasif kanser payudara ini adalah tugas penting pakar onkologi kerana ia memberi impak yang tinggi kepada corak rawatan yang akan diberikan dan juga prognosis pesakit.


Berdasarkan ciri-ciri di atas, invasif kanser payudara kini terbahagi kepada 3 kumpulan:

1. Hormon positif sekiranya terdapat expresi reseptor hormon estrogen dan progestron pada sel kanser payudara


2. HER 2 amplified sekiranya terdapat expresi protin HER 2 berlipat kali ganda disebabkan mutasi pada gen HER 2 pada sel kanser


3. Triple negative breast cancer (TNBC) sekiranya tiada expresi ketiga-tiga reseptor (estrogen, progestron dan HER 2) pada sel kanser.



Berdasarkan kajian terperinci, hormon positif kanser payudara mempunyai prognosis yang terbaik diikuti oleh her 2 positif kanser payudara. Triple negatif kanser payudara atau TNBC adalah kanser payudara yang paling agresif dan mempunyai prognosis yang paling rendah dibandingkan dengan jenis kanser payudara yang lain.


Terdapat juga sekumpulan kecil jenis invasif kanser payudara yang istimewa seperti mucinous, papillary, tubular dan medullary di mana mereka tidak ganas dan mempunyai prognosis yang baik secara keseluruhannya. Kumpulan kanser ini kebiasaannya tidak memerlukan rawatan kemoterapi dan hanya dirawat dengan kaedah pembedahan dan radioterapi sahaja.

Apabila anda didiagnosis dengan kanser payudara, anda haruslah memastikan jenis kanser payudara anda samaada ianya hormon positif, HER2 positif atau triple negatif kerana sifat ketiga-tiga kanser ini adalah berbeza dan rawatannya juga berbeza. Rawatan dan prognosis untuk setiap jenis kanser tersebut akan diperincikan lagi di ruangan lain di blog ini. Selamat membaca!!


699 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com