• Dr Hayani Abdul Wahid

Kanser: Boleh Puasa ke??

Updated: Jun 2


Alhamdulillah, sekarang kita sedang berada di bulan barakah Bulan Ramadhan yang mulia. Ramai yang teruja untuk berpuasa pada bulan ini tetapi bagaimanakan pesakit kanser kita di Malaysia ini. Di sini, kita akan berbincang berkenaan dengan topik puasa di kalangan pesakit kanser.

Secara amnya semua masyarakat Islam tahu bahawa puasa itu adalah wajib bagi mereka yang memenuhi syarat-syaratnya. Adakah pesakit kanser penuhi syarat-syarat berpuasa dan apa yang menghalang mereka dari berpuasa?. Dari kaca mata pakar onkologi, terdapat beberapa kategori puasa di kalangan pesakit kanser:


1. Boleh berpuasa

Bagi pesakit kanser yang sudah sembuh sepenuhnya, sudah tamat rawatan kanser atau hanya menjalani rawatan adjuvan hormon seperti tamoxifen atau letrozole dan terapi targeted seperti trastuzumab atau trastuzumab-pertuzumab untuk kanser payudara, mereka boleh berpuasa. Ini adalah kerana kedua-dua rawatan tersebut tidak toksik dan tidak memudaratkan kesihatan walaupun ketika berpuasa.

Begitu juga dengan pesakit yang menjalani rawatan radioterapi adjuvan seperti radioterapi untuk kanser payudara , mereka boleh berpuasa kerana kesan sampingan radioterapi adalah minimum.


2. Tidak digalakkan berpuasa

Bagi pesakit kanser tahap 4 yang sedang menjalani rawatan hormon atau terapi targeted seperti di kategori 1, golongan ini tidak digalakkan berpuasa. Ini adalah kerana kebanyakan pesakit kanser tahap 4 mempunyai pelbagai gejala yang disebabkan oleh kanser mereka contohnya sakit tulang, kurang selera makan, masalah pernafasan atau masalah am seperti loya dan kelesuan yang kronik. Oleh yang demikian, walaupun hanya diberikan rawatan paliatif dengan ubatan hormon atau terapi targeted, keadaan mereka biasanya uzur dan ini memberi impak negatif dan boleh merosot sekiranya mereka berpuasa.

Pesakit yang menjalani rawatan radioterapi adjuvan selama 5-7 minggu seperti kanser rektum, serviks, rahim, kepala dan leher atau prostat juga tidak disarankan untuk berpuasa kerana rawatan radioterapi tersebut mempunyai pelbagai kesan sampingan akut seperti kembung, loya, muntah, cirit-birit dan kelesuan. Kesan sampingan tersebut boleh memudaratkan kesihatan mereka yang berpuasa sekiranya tidak dirawat dengan serta-merta.


3. Tidak dibenarkan berpuasa

Pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi biasanya tidak dibenarkan untuk berpuasa kerana secara khususnya kesan sampingan kemoterapi seperti loya, muntah, kurang selera makan, dan kelesuan akan mengakibatkan tahap kesihatan pesakit menurun. Selain itu pesakit kanser perlu mengekalkan pengambilan air yang secukupnya sepanjang tempoh kemoterapi untuk mengurangkan kesan sampingan seperti pening, mulut kering,sakit tekak dan risiko demam. Di sini, berpuasa bukan sahaja memudaratkan kesihatan pesakit kanser malah boleh menyebabkan komplikasi lain yang boleh membawa maut.


Kesimpulannya, puasa itu adalah wajib bagi mereka yang tiada keuzuran untuk melakukannya dan bagi pesakit kanser, mereka perlulah berbincang dengan doktor yang merawat mereka samada mereka boleh atau tidak untuk berpuasa semasa menjalani rawatan kanser. Yang boleh berpuasa teruskan berpuasa dan digalakkan bersahur agar mendapat tenaga untuk berpuasa.

Yang tidak boleh berpuasa, boleh membayar fidyah sekiranya memang tidak boleh menggantikan puasa mereka atau qada'kan puasa mereka setelah tamat rawatan kanser bagi yang mereka yang mampu. Firman Allah di dalam Al Quran (2:286) : Allah tidak membebani kamu melainkan apa yang terdaya oleh kamu".






483 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com