• Dr Mastura Md Yusof

Kanser, Covid-19 dan Anda

Updated: May 31


Fig 1. Virus Covid-19









Tahun 2020 bermula dengan episod baru yang tidak terjangka oleh semua. Sejenis virus dari famili Coronavirus iaitu SARS-CoV2 telah disahkan penyebab kepada penyakit berjangkit dipanggil COVID-19. Bermula daripada pertambahan kes pneumonia tidak tipikal di Wuhan China pada akhir Disember 2019, virus COVID-19 dengan pantas merebak keseluruh dunia lalu diisytiharkan sebagai “ a public health emergency” pada Februari 2020 dan dikategorikan “krisis pandemik” oleh WHO pada 12 Mac 2020.


Pandemik Covid-19 menghasilkan krisis perubatan yang serius selain kesan sosial dan ekonomi yang sangat besar di skala antarabangsa. Apa yang ditakutkan adalah jika jumlah pesakit yang dilanda penyakit ini makin bertambah lalu akan menjadi beban kepada sumber atau bajet penjagaan kesihatan negara kita dan secara tidak langsung menjejaskan perawatan dan penjagaan kanser.


Dalam sekelip mata diseluruh dunia, jabatan dan pasukan onkologi terpaksa melakukan perubahan-perubahan drastik bagi menampan impak yang besar ini, antaranya melibatkan pengurangan temujanji pesakit di klinik, mengelakkan rawatan atau prosedur tidak genting dan melakukan telemedicine seboleh mungkin.



Adakah pesakit kanser lebih berisiko mendapat jangkitan COVID-19?


Virus Covid-19 merebak melalui air liur, hingus, cecair dari bersin oleh individu yang terkena jangkitan virus. Sama seperti kanser, pandemik Covid-19 tidak mengenal mangsa. Sesiapa pun boleh dijangkiti tetapi sebenarnya, majoriti dari mereka yang mendapat jangkitan virus Covid-19 mengalami seakan flu biasa dan akan sembuh tanpa apa- apa rawatan spesifik.


Namun begitu, terdapat segelintir pesakit yang berisiko untuk mendapat jangkitan yang lebih teruk malah boleh mengancam nyawa seperti:

  • warga tua

  • mereka yang mempunyai apa-apa penyakit kronik- penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, radang paru-paru kronik dan penyakit imun

  • pengidap kanser


Belum ada rawatan atau vaksin bagi virus Covid-19 buat masa sekarang. Penting untuk pesakit kanser mengambil tahu dan menambah pengetahuan mengenai penyakit ini terutama aspek pencegahan, bagaimana ia merebak dan apakah simptom dan akibat atau impak daripada penyakit ini. Setakat 7 Mei 2020, terdapat 6467 kes dan 107 kematian berlaku di Malaysia akibat jangkitan virus ini. Separuh dari kematian berlaku pada pesakit dilingkungan umur 60 tahun ke atas. Warga tua adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19 kerana faktor umur, penyakit kronik dan apatah lagi jika ada kanser.

Kriteria pesakit kanser yang boleh terdedah kepada risiko jangkitan :


Terdapat 3 jenis kumpulan pesakit kanser yang setiap satunya mempunyai prioriti berbeza;


1. Pesakit baru -disyaki mempunyai kanser dan sedang dalam siasatan atau telah disahkan kanser melalui biopsi tetapi sedang menunggu pelan rawatan seterusnya. Pesakit ini samada pada tahap awal atau metastatik, mempunyai kanser yang masih aktif dan menunggu rawatan samada pembedahan, kimoterapi, radioterapi, imunoterapi, hormon dan lain-lain.

2. Pesakit sedang menjalani rawatan kimoterapi, radioterapi, immunoterapi, terapi ‘targeted’ dan suntikan hormon samada dalam fasa “ neoadjuvan, adjuvan atau metastatik.

3. Pesakit telah tamat rawatan dan mempunyai kanser yang terkawal dalam fasa ‘follow up’ (susulan) termasuk yang masih dalam rawatan oral berisiko rendah seperti ubat hormon tamoxifen atau thyroxine dan pesakit paliatif tanpa rawatan.


Bagi setiap kategori 1-3, pesakit dianggap berprioriti tinggi jika keadaan kanser mengancam nyawa atau keadaan pesakit tidak stabil lalu rawatan serta merta mampu memberikan impak survival yang baik dan menaikkan kualiti hidup pesakit.

Pesakit boleh dikategori pada prioriti sederhana jika penangguhan rawatan selama 6 minggu tidak terlalu memudaratkan pesakit manakala kategori prioriti rendah pula di tujukan buat pesakit yang stabil atau usaha perawatan serta merta tidak memberikan impak yang besar dari segi kualiti hidup dan survival.

Biasanya kumpulan 3 berada pada prioriti rendah.


Fig. 2. Penjarakan 1 meter di klinik onkologi










Walaubagaimanapun, ketiga-tiga kumpulan pesakit berisiko dan mereka harus praktikkan langkah-langkah di bawah bagi melindungi diri masing-masing dan orang lain semasa diluar dan dalam kawasan hospital:


  • · Membasuh tangan dengan sabun menurut kriteria diberikan WHO

  • · Menggunakan pencuci tangan beralkohol

  • · Mengelakkan dari menyentuh muka, mata, mulut

  • · Menjauhi tempat yang sesak dan amalkan penjarakan sosial

  • · Menjauhi ahli keluarga atau individu yang mempunyai simptom Covid-19

  • · Menjauhi ahli keluarga, kawan atau individu yang tinggal di zon merah

  • · Mengkuarantin diri selama 14 hari jika balik dari luar negara atau dikhuatiri sebagai PUI ( Patient Under Investigation) atau SARI(severe acute respiratory infections) atau ILI ( Influenzae-like illness).

  • Memastikan kedudukan sejarak 1 meter dari orang lain setiap masa



Fig 3. Elakkan kawasan sesak seperti Bazaar Ramadan




Pesakit kanser yang sedang dalam rawatan atau baru sahaja habis rawatan dikenalpasti sebagai yang paling berisiko untuk mendapat komplikasi penyakit Covid-19. Ini kerana status kadar imuniti rendah akibat kanser dan rawatan kanser. Penyakit kanser boleh mengganggu fungsi imun badan. Kanser yang tumbuh dan merebak boleh melemahkan imuniti badan dan meninggikan risiko mendapat jangkitan. Rawatan seperti kimoterapi atau imunoterapi juga mampu mengganggu pertahanan badan pesakit. Disamping itu, pesakit berpotensi terdedah kepada jangkitan kerana perjalanan yang kerap ke hospital atau kemasukan ke wad bagi menjalani rawatan.

Kriteria pesakit yang terdedah kepada risiko jangkitan :

  1. Sedang menjalani kimoterapi atau baru menamatkan kimoterapi dalam 3 bulan yang lepas

  2. Sedang menjalani radioterapi radikal dan melibatkan kawasan badan yang besar

  3. Baru melakukan transplan sum-sum tulang atau stem cell dalam 6 bulanyang lepas

  4. Sedang mengambil ubat ‘immunosuppresive”yang merendahkan imuniti diri

  5. Jenis kanser yang merosakkan sistem imun badan -chronic leukaemia, lymphoma dan myeloma

  6. Mengalami kadar darah putih rendah

  7. Mempunya tahap imun rendah yang kronik

  8. Mempunyai simptom-simptom seperti demam, batuk, sakit tekak, susah bernafas, kepenatan, hilang deria bau dan deria rasa


Kementerian Kesihatan dan mana-mana fasiliti swasta belum mengeluarkan garis panduan bagi pengurusan pesakit kanser sepanjang pandemik Covid-19. Namun terdapat beberapa data epidemiologi dan klinikal serta garis panduan dari negara lain yang boleh kita guna pakai. Garis panduan ini boleh membantu anda mendapatkan informasi dan serba sedikit penerangan mengenai rawatan kanser dengan berlatarbelakangkan penyakit Covid-19. Ia boleh juga membantu pakar onkologi dan pasukan masing-masing untuk memberikan pengurusan yang optimum kepada pesakit kanser sementara pandemik ini terus berlaku.


Bagaimana kita mencegah jangkitan di Klinik dan Fasiliti Onkologi?

Kerjasama antara pesakit, keluarga pesakit, masyarakat dan pasukan perubatan dalam menangani masalah pandemik ini adalah kunci untuk kita mengatasinya. Mungkin terdapat variasi dalam langkah-langkah pencegahan di setiap fasiliti onkologi tetapi asasnya adalah seperti berikut:


  1. Jika anda hanya menjalani rawatan susulan setelah tamat rawatan kanser, anda boleh menangguhkan temujanji sekurang-kurangnya 3-6 bulan atau lebih. Hubungi klinik untuk memastikan tarikh temujanji baru.

  2. Anda harus mengisi borang deklarasi pada entri hospital atau klinik dengan betul tanpa menyorokkan apa-apa maklumat.

  3. Pesakit tidak dibenarkan membawa lebih dari seorang peneman semasa datang ke klinik, wad atau pusat rawatan harian (daycare) kecuali kes tertentu seperti pesakit memerlukan bantuan pergerakan dan sebagainya

  4. Pesakit dan peneman diwajibkan memakai topeng muka di semua fasiliti hospital termasuk kafe, surau dan lain-lain.

  5. Pesakit boleh memakai PPE sendiri disekitar kawasan hospital

  6. Pesakit paliatif tidak digalakkan datang ke klinik dan wajar untuk melakukan konsultasi melalui talian jika perlu berbincang dengan doktor.

  7. Pembedahan yang tidak berkaitan secara langsung dengan kanser boleh ditangguhkan ke masa lain kelak.

  8. Pesakit yang mempunyai sejarah ‘ close contact’ dengan pesakit positif Covid -19 atau baru pulang dari luar negara atau seorang PUI, tidak dibernarkan datang ke klinik onkologi. Mereka boleh menghubungi staf untuk membuat temujanji baru selepas disahkan bebas/selamat dari risiko dan telah melakukan penjarakan minimum selama 14 hari.

  9. Pesakit yang mempunyai simptom seperti demam, batuk, selsema atau cirit dilarang datang ke klinik onkologi tetapi harus bertemu dengan doktor di komuniti atau di Jabatan Kecemasan hospital yang mana triaging akan dilakukan.

  10. Pesakit yang didapati demam atau mempunyai simtom respiratori pada saringan suhu badan di entri hospitak atau di klinik harus pergi ke Jabatan Kecemasan hospital yang mana triaging akan dilakukan.

  11. Pesakit boleh mengurangkan masa di hospital dengan melakukan ujian darah di klinik swasta terdekat dengan rumah dan bawa keputusannya ke hospital.

  12. Pesakit yang didapati positif Covid-19 harus menangguhkan rawatan kanser sehingga sudah benar-benar sembuh. Rawatan Covid-19 hanya dilakukan di hospital-hospital yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

  13. Pesakit yang demam atau mempunyai simptom respiratori tidak dibenarkan meneruskan rawatan seperti kimoterapi atau radioterapi.

  14. Pesakit yang perlu menjalani pembedahan atau prosedur di dewan bedah atau dewan bedah kecil perlu menjalani ujian saringan Covid-19 terdahulu dan hanya menjalani prosedur itu setelah disahkan negatif.

  15. Pesakit boleh membuat konsultasi melalui telefon atau videocall (teleconsultation) bergantung pada pasukan yang merawat masing-masing.

  16. Ubat terapi hormon mungkin akan dipos atau kurier ke rumah pesakit.


Fig 4. Saringan Covid-19 di hospital - foto kredit : Dr. Haris Abdul Rahman


Apakah jenis rawatan kanser yang harus diteruskan sewaktu pandemik Covid-19?


Walaupun jangkitan virus ini digeruni, kanser juga boleh membahayakan nyawa pesakit jika ia tidak dirawat atau dikawal sebaik mungkin. Pakar Onkologi bersama-sama pakar yang lain dan pasukan rawatan akan menimbangkan dengan teliti akan keperluan rawatan kanser diteruskan buat seseorang pesakit.

Anda boleh mendapatkan penerangan dari pasukan perawat sebelum membuat keputusan mengenai pengurusan kanser anda.


Garis panduan am rawatan pesakit yang tidak dijangkiti virus Covid-19:


Setiap perbincangan dibuat di dalam konteks multidisiplinari dan aspek-aspek dibincangkan termasuk jenis dan tahap kanser, rawatan ‘curative atau paliatif, prognosis penyakit, umur dan tahap fizikal pesakit, penyakit kronik sedia ada pada pesakit, pilihan pesakit sendiri dan modul rawatan dan apa-apa kekangan fasiliti dan pasukan yang menjalankan rawatan tersebut. Risiko mendapat jangkitan Covid-19 juga diambilkira di dalam perbincangan ini.


· Antara contoh modifikasi pada rawatan:


1. Ujian saringan untuk mengesan kanser pada peringkat awal ditangguhkan. Ini termasuk mammogram, ultrasound payudara, kolonoskopi atau pap smear.


2. Vaksinasi pencegahan kanser seperti HPV ditangguhkan.


3. Pembedahan bagi kanser atau kondisi pre-kanser berisiko rendah contohnya DCIS,

LCIS, atypical ductal hyperplasia atau polip ditangguhkan.


4. Rawatan radioterapi atau radioiodin bagi kanser peringkat awal ditangguhkan. Contoh kanser prostat tahap 1 , kanser thyroid atau jenis lymphoma yang berisiko rendah.


5. Rawatan ‘curative’ diberikan prioriti berbanding rawatan paliatif.


6. Rawatan sokongan atau paliatif dipendekkan durasinya atau ditangguhkan dahulu.


7. Beberapa rawatan ‘ maintenance” dipendekkan atau pesakit diberikan cuti dari rawatan.


8. Pemberian kimoterapi ‘ neoadjuvan” iaitu sebelum pembedahan akan ditawarkan untuk menangguhkan pembedahan ke suatu masa kelak.


9. Rawatan radioterapi atau radioiodin bagi kanser peringkat awal ditangguh.


10. Ubat kimoterapi oral ( tablet) yang sesuai ditawarkan bagi menggantikan ubat intravena. sebagai contoh ubat 5FU ditukar ke capecitabine bagi kanser usus atau regimen kimoterapi ditukar kepada kurang kerap (contoh ubat paclitaxel untuk kanser ovari diberi 3 minggu sekali dan bukan seminggu sekali).


11. Rawatan radioterapi dimodifikasi seperti penggunaan "fraction" yang pendek atau aplikasi SBRT( Stereotactic Body Radiotherapy) bagi mengurangkan jumlah lawatan ke hospital.


12. Konsultasi melalui telefon atau videocall bagi pengurusan ubatan dan kesan sampingan ubat, bergantung pada pasukan yang merawat.


13. Ubat terapi hormon masih disambung tetapi ubat dipos atau kurier ke rumah pesakit.


14. Ujian darah atau pengimejan dilakukan di fasiliti terdekat dengan kediaman pesakit.


15. Semua akitiviti kumpulan sokongan pesakit dilakukan melalui talian


15. Sekiranya pesakit menghubungi atau dikesan mempunyai demam- pesakit tidak boleh diperiksa di klinik atau wad atau pusat rawatan harian onkologi dan diarahkan untuk pergi ke fasiliti yang ditetapkan oleh hospital atau Kementerian Kesihatan.


16. Aktiviti 'clinical trial" yang tidak genting ditangguhkan.

WHO atau World Health Organization sedang memantau dan menjalankan tanggungjawabnya untuk cuba mengawal pandemik ini. Terdapat banyak kajian klinikal yang telah dijalankan dipersada antarabangsa untuk menemukan rawatan da vaksin bagi penyakit ini. Terdapat banyak sumber-sumber bacaan di media dan jurnal perubatan yang boleh kita akses secara terbuka di internet.

Diharapkan pesakit kanser dapat bersabar dan bekerjasama dengan usaha kerajaan dan pasukan perubatan dalam menangani masalah primer ini.

Rujukan:


ESMO Guidelines - Cancer Patient Management During COVID-19 Pandemic


Dr Mastura Md Yusof

Consultant Clinical Oncologist

PHKL & SJMC



Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com