• Dr Hayani Abdul Wahid

Kanser di Malaysia

Updated: May 18

Ramai yang takut apabila seseorang bercakap mengenai kanser. Ada yang pernah didiagnos kanser, ahli keluarga maut dengan kanser dan ada yang masih hidup tetapi masih belum sembuh sepenuhnya dengan kanser. Betulkah kanser meragut nyawa semua penghidapnya?

Kita jangan takut dengan semua mitos kanser, kita jangan takut hanya kerana seorang ahli keluarga terkena atau maut kerana kanser. Hal ini kerana kita semua berisiko untuk mendapat kanser seperti kita juga berisiko untuk mendapat penyakit diabetes, darah tinggi atau masalah kolesterol yang tinggi. Pokoknya kalau kita semua berisiko, apakah yang perlu kita lakukan untuk mengurangkan risiko tersebut atau bolehkah kita hilangkan risiko kanser sepenuhnya. Ini yang perlu kita lakukan: ambil tahu tentang risiko kanser secara amnya, prihatin dengan tahap kesihatan masing masing, amalkan pemakanan sihat dan seimbang, bersenam dan kurangkan stress di dalam urusan harian. Tidak cukup dengan itu semua, kita juga patut mengambil langkah aktif untuk melakukan ujian saringan kesihatan seperti mamogram, pap smear, kolonoskopi atau pemeriksaan kesihatan berkala bagi memastikan tahap kesihatan kita adalah yang terbaik dan tiada tanda-tanda awal kanser akan terjadi.


Statistik Kanser di Malaysia

Ok, jom kita lihat statistik kanser di Malaysia ketika ini.

Statistik kanser di Malaysia berdasarkan Kanser Registri 2012-2016 menunjukkan seramai 115238 orang disahkan mengidap kanser dalam tempoh tersebut. Insiden kanser telah meningkat sedikit di kalangan wanita tetapi menurun sedikit di kalangan lelaki Malaysia. Lebih ramai etnik Melayu yang didiagnos dengan kanser, sebaliknya insiden kanser didapati menurun di kalangan masyarakat Cina dan India.

Kanser payudara adalah yang tertinggi diikuti rapat oleh kanser kolorektal dan kanser peparu (lihat rajah di atas). Selain dari kanser payudara, jangan kita lupa kanser serviks, rahim, ovari, peparu, limfoma dan thyroid yang agak tinggi juga statistiknya di kalangan wanita Malaysia (lihat rajah di bawah).

Menariknya di kalangan lelaki pula, kanser kolorektal adalah yang paling utama diikuti dengan kanser peparu, prostat, limfoma dan nasofarink. Secara total lebih 55 peratus kanser dicatatkan di kalangan wanita berbanding lelaki dan ini disebabkan tingginya peratusan yang didiagnos dengan kanser payudara.



Risiko - risiko Kanser

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang akan terjadinya kanser.



Faktor gaya hidup dan persekitaran adalah punca utama terjadinya kanser di kalangan kita. Hanya 5-10 peratus sahaja kanser yang disebabkan faktor genetik di mana pembawa gen tersebut akan mendapat kanser pada usia yang tertentu.

Faktor gaya hidup dan persekitaran yang meningkatkan risiko terjadinya kanser termasuklah diet yang tidak seimbang seperti pengambilan lemak yang berlebihan, kurang serat, merokok,berat badan berlebihan atau obesiti, pengambilan alkohol dan terdedah dengan jangkitan kuman seperti Human Papilloma atau Hepatitis di dalam aktiviti seksual atau aktiviti harian.

Kanser yang disebabkan oleh genetik pula adalah seperti kanser testis, kanser thyroid, multiple myeloma dan melanoma sejenis kanser kulit di mana terdapat genetik yang bermasalah sejak lahir dan sel-sel berkembang biak dengan cepat di awal usia menyebabkan terjadinya kanser.


Proses Terjadinya Kanser

Kebanyakan kanser sporadik yang terjadi adalah disebabkan faktor gaya hidup atau persekitaran yang kronik seperti yang disebutkan di atas. Sel-sel di dalam badan kita asalnya dikurniakan oleh Allah sistem yang lengkap di mana ia akan mengimbangkan kadar sel baru yang tumbuh dengan sel mati.

Namun demikian risiko -risiko kanser menyebabkan terjadinya mutasi yang berpanjangan di dalam sel, lemahnya imun sistem dan seterusnya mendorong berlakunya pertumbuhan dan pembiakan sel yang tidak normal. Proses ini biasanya memakan waktu yang lama 10-15 tahun sebelum sel kanser terjadi. Sel-sel kanser ini seterusnya akan merebak melalui kalenjar limpa dan salur darah dan seterusnya bermaharajalela di seluruh tubuh.


Pengimejan Kanser

Apabila seseorang didiagnos mengidap kanser, adalah sangat penting untuk mengetahui apakah kanser beliau telah merebak ke organ lain di dalam badan, dalam erti kata lain apakah tahap kanser beliau.

Terdapat pelbagai cara dan ujian yang akan disarankan oleh doktor anda untuk menentukan tahap kanser tersebut. Secara amnya, kanser memang suka merebak ke paru-paru dan hati maka ujian yang paling mudah bagi kanser tahap awal adalah Xray peparu dan Ultrasound hati.

Namun demikian apabila risiko kanser merebak adalah tinggi pada seseorang itu, maka ujian imbasan CT atau CT skan adalah lebih baik untuk melihat perkembangan kanser beliau.


Sesetengah kanser seperti kanser serviks dan kanser rektum memerlukan MRI bagi menentukan tahap kanser awal dan juga untuk membantu perancangan rawatan yang lebih optima.

Kanser tahap awal yang memerlukan pembedahan radikal seperti kanser peparu atau kanser esofagus perlu kepada ujian PET CT skan bagi memastikan tahap kanser mereka sebelum pembedahan. Begitu juga kanser limfoma dan Gastrointestinal Stromal tumour yang memerlukan PET CT skan bagi memantau respon rawatan kemoterapi atau targeted terapi yang akan dijalankan.


Penentuan Tahap Kanser

Ok setelah kita fahami cara kanser membiak dan seterusnya pengimejan kanser, baru boleh kita tentukan tahap kanser seseorang itu. Ada kanser yang ditentukan tahapnya secara klinikal sekiranya kanser tersebut tidak dibedah, tetapi kebanyakan kanser yang telah dibedah, tahap kanser mereka adalah lebih tepat berdasarkan detail spesimen dari pembedahan yang telah dijalankan. Lebih membimbangkan kita sekarang adalah kerana 63.7 peratus kanser di Malaysia dikesan pada tahap yang serius (tahap 3 & 4) di mana peluang untuk sembuh dengan rawatan adalah sangat rendah dibandingkan jika kanser dikesan pada tahap awal.


Tahap kanser secara khususnya dibahagikan kepada 4:

Tahap 1 : saiz kanser kecil dan tidak merebak langsung

Tahap 2: saiz kanser kecil atau sedikit besar, terdapat sedikit rebakan di kalenjar limfa yang berdekatan

Tahap 3: saiz kanser kecil atau besar tetapi terdapat banyak kalenjar yang telah dimasuki sel kanser

Tahap 4: terdapat kanser di organ luar daripada tisu asal kanser (imej CT skan atau PET kan positif menunjukkan kanser), tidak bergantung dengan saiz atau jumlah kalenjar limfa yang terlibat.


Kesimpulannya, banyak ilmu tentang kanser yang kita kena pelajari dan fahami supaya kita lebih prihatin dengan diri kita dan dapat membantu ahli keluarga kita, orang yang kita sayang serta masyarakat di luar untuk bersama-sama mencegah kanser.


#kitajagakita






©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com