• Dr. Rohsila Muhamad

RAWATAN INTERVENSI RADIOLOGI BAGI KANSER KOLON DAN METASTASIS

Updated: Jun 22

Kanser kolon mempunyai risiko kanser merebak (metastases) terutama ke hati atau paru-paru. Pesakit masih boleh dirawat dengan rawatan sistemik dan rawatan setempat seperti pembedahan hati, sekiranya bersesuaian seperti di bincangkan di artikel terdahulu di sini.

Pembedahan untuk membuang metastasis pada hati ( liver resection) adalah cara yang terbaik untuk kelansungan hidup pesakit. Proses pemilihan pesakit untuk rawatan pembedahan dilakukan melalui perbincangan yang teliti antara pakar-pakar multidisiplinari yang merawat pesakit bagi menjamin kejayaan pembedahan tersebut.

Gambar di atas menunjukkan tiga ketulan kanser yang telah merebak kehati.


Bagaimana jika pesakit didapati tidak memenuhi kriteria untuk pembedahan hati?


Rawatan kanser setempat (locoregional therapy) tanpa pembedahan adalah antara opsyen yang boleh diberikan pada pesakit. Apakah rawatan ini?


Locoregional therapy ialah rawatan yang diberikan menerusi permukaan kulit dan dikategorikan sebagai berisiko rendah ( minimally invasive). Kaedah ini adalah selamat dan berkesan untuk membunuh dan mengawal pertumbuhan sel kanser dan membantu meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser kolon. Prosedur ini dilakukan oleh Pakar Radiologi Intervensi dan pesakit perlu dirujuk ke Jabatan Radiologi yang mempunyai Pakar Radiologi Intervensi.

Bilangan, saiz dan kedudukan metastases akan dinilai untuk rawatan yang sesuai. Penilaian dilakukan bersama oleh pakar radiologi intervensi, pakar bedah hepatobiliari dan pakar gastroenterologi untuk mendapatkan hasil yang terbaik untuk pesakit.


Antara teknik locoregional therapy sedia ada adalah :


1. Rawatan Ablasi (pembakaran atau pembekuan) kanser setempat menerusi tebukan pada kulit

a)Radiofrequency Ablation (RFA)

b)Microwave Ablation (MWA)

c)Cryotherapy atau cryoablatiom

d)PEI- Teknik ablasi menggunakan alkohol


Kaedah-kaedah ablasi di atas sesuai untuk kanser pada organ seperti hati, limpa, paru-paru dan buah pinggang mengikut kesesuaian tenaga ablasi yang digunakan. Antara sumber tenaga yang biasa digunakan ialah haba dari radiofrekuensi yang tinggi (RFA), haba dari microwave (MWA) dan suhu extrim pembekuan sel (cryoablation). Teknik ablasi kanser menggunakan alkohol (PEI) untuk menghancurkan sel kanser juga digunapakai dalam kes kanser hati tertentu.


2.Rawatan "targeted" melalui salur darah

a) Kemoembolisasi (TACE)

b) Radioembolisasi (SIRT)


Hati yang normal menerima nutrisi daripada dua saluran darah utama iaitu portal vein (75%) dan hepatic artery (25%). Fungsi portal vein yang normal adalah penting untuk mengelakkan kerosakan hati yang teruk sekiranya opsyen rawatan ini dipilih.

Metastasis pada hati pula menerima nutrisi hanya daripada hepatic artery. Rawatan targeted melalui salur hepatic artery dapat merawat metastasis pada hati secara terus dengan berkesan.


Mari kita huraikan setiap prosedur ini dengan lebih teliti.


1. RAWATAN ABLASI


1.1 RFA, MVA dan CRYOTHERAPY


Kaedah RFA dan MWA menyalurkan tenaga haba (lebih kurang 60 'C) kepada sel kanser manakala Cryoablation pula menyalurkan suhu pada bawah takat beku (-40'C) untuk mematikan sel kanser.

Sebelum prosedur, Pakar Radiologi Intervensi akan menilai metastases dari segi saiz, jumlah ,kedalaman posisinya dari kulit, keadaan tisu sekeliling dan keadaan keseluruhan pesakit. Kaedah ini biasanya sesuai untuk bilangan metastases pada hati <5 dan bersaiz antara 3-5 cm.

Ketiga-tiga kaedah ini boleh dilakukan sebagai rawatan pesakit luar (harian) atau pesakit dimasukkan ke wad terlebih dahulu atau selepas prosedur. Ia biasanya dijalankan di Bilik Radiologi atau di Dewan Bedah, sekiranya perlu. Prosedur dibantu oleh pengimejan dengan ultrasound atau CT scan untuk mendapatkan kedudukan kanser yang perlu diablasi dari permukaan kulit pesakit serta memantau pergerakan jarum ablasi semasa prosedur. Selepas ubat pelali setempat diberikan, jarum ablasi dicucuk melalui kulit sehingga hujungnya berada di dalam ketulan kanser. Seterusnya jarum akan disambungkan dengan sumber tenaga daripada tiga mesin yang berbeza untuk RFA, MWA dan Cryoablation (rujuk gambarajah di bawah).




Proses ‘pembakaran’ atau 'pembekuan’ sel kanser ini dilakukan selama 10- 12 minit. Teknologi ini dicipta untuk memusnahkan kanser dalam radius 3-5 cm dari hujung jarum bagi memastikan kejayaan rawatan serta tisu organ di sekitarnya selamat dari kesan rawatan.


Jarum ablasi (RFA probe) dicucuk ke ke dalam kanser pada hati. Tenaga haba (radiofrequency heat) dikeluarkan dari hujung jarum untuk 'membakar' sel kanser secara setempat.







Rawatan ablasi yang berjaya adalah seperti dalam gambar di sebelah di mana tiada kesan lebihan kanser yang tinggal di kawasan rawatan.






Hanya satu atau dua metastases sahaja dapat dirawat pada setiap sesi ablasi. Ini untuk mengelakkan risiko seperti pendarahan dalaman atau kerosakan tisu normal di sekelilingnya. Ultrasound atau CT scan akan diulang untuk melihat kesan rawatan 4-6 minggu setelah selesai rawatan tersebut.


1.2 RAWATAN ALKOHOL (PEI)


"Percutaneous ethanol injection (PEI) " menggunakan cecair 99% alcohol yang disuntik menerusi kulit terus ke dalam ketulan kanser. Alkohol membunuh sel kanser dengan memusnahkan protein dalam sel. Rawatan ini boleh dilakukan berulang kali sekiranya kedudukan kanser dapat dikesan dengan ultrasound atau CT scan. Namun ia boleh memberikan kesan sampingan termasuk sakit, jangkitan kuman dan gangguan fungsi hati.

2. RAWATAN TARGETED MELALUI SALUR DARAH


2.1 KEMO-EMBOLISASI (TACE)


Rawatan ini dilakukan oleh pakar Radiologi Intervensi dengan menggabungkan teknik angiografi dan embolisasi ubat melalui salur darah spesifik ke lokasi kanser yang disasarkan.


Transarterial embolization (TAE) merujuk kepada rawatan kanser hati primer atau hepatoma. yang menggunakan prinsip rawatan yang sama dengan rawatan untuk metastasis dihati.


TACE ialah singkatan kepada transarterial chemoembolization yang menyalurkan ubat kimoterapi kepada kanser yang dirawat (targeted chemotherapy). Ubat kimoterapi ini (doxorubicin, mitomycin, irinotecan) tidak sama dengan ubat yang diberikan secara intravenous. Ubat ini diserapkan ke dalam ratusan butiran embolisasi (pada saiz 70 -150 micrometer) pada dos tinggi, untuk dihantar ke sel kanser melalui saluran darah.

Pakar radiologi intervensi menyalurkan kateter melalui cucukan pada salur darah di kelengkang ( femoral) hingga sampai ke saluran darah hati (hepatic artery) dan seterusnya ke cabang saluran darah yang memberi nutrisi kepada kanser tersebut. Butiran embolisasi yang telah diserapkan dengan ubat kimoterapi disuntik melalui kateter tersebut dan di lepaskan ke dalam sel-sel kanser pada hati secara terus ( direct).




TACE menyebabkan kanser mati melalui dua cara:

1. Butiran embolisasi masuk kedalam sel kanser untuk membunuh sel kanser pada kadar berterusan selama 24 jam (slow release) pada dos yang tinggi secara efektif (cytotoxic effect).


2. Butiran embolisasi akan kekal di dalam salur darah dan menyebabkan salur darah tersumbat seterusnya menghalang nutrisi sampai kepada kanser yang dirawat tadi (ischaemic effect).


Gambar angiografi di bawah menunjukkan cabang salur arteri hepatik yang memberi nutrisi kepada kanser di hati (kiri). Setelah embolisasi berlaku, cabang salur darah tadi telah tersumbat; maka tiada lagi aliran darah dan nutrisi akan sampai ke kawasan kanser yang dirawat tadi.


Berbeza dengan kaedah rawatan kimoterapi melalui saluran vena, dos ubat yang sampai ke sel kanser melalui saluran arteri adalah tinggi secara terus.


Kesan kemoterapi keseluruhan seperti rambut gugur, ulser mulut atau kuku yang lebam jarang berlaku kepada pesakit kerana ubat kimoterapi dihantar hanya pada kanser yang dirawat sahaja. Namun, kesan sampingan yang ringan seperti loya, muntah, letih dan ganguan fungsi hati yang minima boleh berlaku. Kaedah TACE juga dapat merawat lebih dari satu ketumbuhan hati pada masa yang sama sekiranya fungsi hati pesakit dalam keadaan yang baik.

2.2 RAWATAN RADIO-EMBOLISASI (SIRT)

SIRT adalah singkatan untuk selective internal radiation therapy iaitu rawatan radiasi setempat dengan menyalurkan radioaktif berlabel microspheres (SIR-Spheres® Y-90 resin microspheres) melalui salur darah terus kepada metastases. Yttrium-90 ialah bahan radioaktif yang digunakan dan ianya mampu menyebarkan kuasa radiasi yang tinggi kepada sel kanser. Pemilihan pesakit yang sesuai amat diperlukan; kerana kaedah ini amat terhad malah kos rawatan juga agak tinggi. Rawatan ini memerlukan peringkat penyediaan angiografi yang teliti sebelum diikuti oleh rawatan radioembolisasi kanser 2 minggu berikutnya.


Pada peringkat penyediaan, pakar radiologi intervensi melakukan prosedur angiografi untuk memeriksa setiap saluran arteri ke hati(hepatic artery angiogram). Melalui arteri femoral di kelangkang, kateter disalurkan ke arteri hepatik untuk mendapatkan gambaran cabangan arteri hepatik secara keseluruhan Seterusnya, cabang saluran darah ke kawasan kanser akan dikenalpasti (selective hepatic angiogram). Sebarang cabang saluran darah yang memberi nutrisi ke bahagian lain selain kanser perlu ditutup (embolized). Pesakit juga dihantar untuk menjalani SPECT CT scan bagi mengesan kedudukan radioactive tracer tersebut. Prosedur ini penting untuk memastikan radioembolisasi tidak merosakkan organ normal yang lain seperti paru-paru dan usus.


Selepas 2 minggu, prosedur radioembolisasi akan dijalankan. Proses memasukkan salur kateter diulang and cabang saluran arteri kepada kanser dikenalpasti semula. Seterusnya radioaktif berlabel microspheres (SIR-Spheres® Y-90 resin microspheres) disuntik terus ke dalam kanser. Microspheres yang halus ini (saiz 20 hingga 60 micron) mampu mengalir hingga ke hujung salur darah untuk membawa bahan radioaktif Y-90 secara maxima ke dalam kanser. Radiasi setempat ini akan berlansung selama 14 hari selepas prosedur. Aktiviti radiasi dan ischaemia akan menyebabkan kanser mati. Radioembolisasi ini dijalankan dengan teliti supaya microspheres yang disuntik tidak merebak ke bahagian lain dan memusnahkan sel normal.  





Gambarajah di atas menunjukkan salur kateter yang disalurkan ke dalam salur darah ke hati (hepatic artery) dan seterusnya ke cabang salur darah kedua yang memberi nutrisi kepada kanser itu. Apabila microspheres yang membawa Yttrium-90 disebarkan ke dalam kanser itu, dia mula membebaskan radiasi yang membunuh sel kanser di dalamnya.


PENGIMEJAN SUSULAN SELEPAS RAWATAN


Pengimejan susulan selepas rawatan ablasi atau TACE disarankan antara 4 hingga 6 minggu selepas rawatan pertama sekiranya rawatan ulangan telah dirancang. Selalunya ultrasound atau CT scan dijalankan selepas 3 bulan untuk melihat kesan rawatan atau memantau pertumbuhan semula sel kanser pada kawasan yang dirawat. Kaedah MRI juga ada digunakan untuk tujuan yang sama. Pilihan kaedah pengimejan bergantung kepada keseluruhan kemajuan klinikal pesakit setelah dibincangkan oleh pasukan pakar perawat.



Dr. Rohsila Muhamad

Pakar Interventional Radiology,

Mahkota Medical Center, Melaka.





407 views2 comments

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com