• Dr Azali HY

Kanser Kolorektal dan Stoma

Updated: Jun 16

Anda perlu menjalani pembedahan kanser usus. Pakar Bedah Usus memberitahu anda mengenai kemungkinan perlunya stoma. Anda tidak faham apa yang dimaksudkan dengan stoma?


Pembuangan kotoran secara normalnya adalah melalui anus. Stoma adalah suatu bukaan saluran usus yang diletakkan pada permukaan abdomen badan.

Dengan adanya stoma, kotoran akan dipintas keluar melalui saluran usus yang diletakkan pada permukaan dinding abdomen badan, jadi kotoran tidak akan keluar melalui anus.

Stoma boleh ditempatkan kebiasaannya pada bahagian kiri atau kanan bawah permukaan abdomen badan bergantung kepada jenis pembedahan yang dilakukan. (Rujuk Gambarajah 1 dan 2)


Gambarajah 1: Jenis -jenis stoma.


Gambarajah 2: Lokasi stoma yang boleh di letakkan pada permukaan abdomen


Pembentukan stoma biasanya melibatkan pembedahan kanser pada bahagian rektum atau apabila pembedahan yang perlu dilakukan pada kolon atau rektum itu samada secara elektif/berjadual atau kecemasan seperti apabila terdapat penyumbatan usus yang serius ( severe intestinal obstruction). Jadi bukan semua pesakit kanser kolorektal memerlukan stoma.

Pengetahuan lebih lanjut mengenai pembedahan kanser kolorektal boleh di baca di sini.


Jika stoma diperlukan, adakah untuk sementara waktu atau kekal selama lamanya?


Ada beberapa keadaan di mana stoma akan dibentuk dan keperluan stoma ini adalah berbeza seperti dihuraikan di bawah:

1.Jika pembedahan bagi kanser rektum dilakukan secara elektif ( dirancang atau dijadualkan) dan kanser tidak melibatkan otot sfinkter yang mengawal pembuangan kotoran, penyambungan bahagian usus setelah kanser dibuang, secara umumnya boleh dilakukan. Namun,stoma pada bahagian kanan abdomen akan dibuat (ilestomy) selepas penyambungan ini, bertujuan untuk merehatkan bahagian penyambungan usus sehingga ia sembuh sepenuhnya. Pembedahan sebegini memerlukan stoma sementara sahaja. Stoma akan ditutup/diterbalikkan (reversal) pada keadaan asal apabila bahagian penyambungan telah sembuh. (rujuk Gambarajah 3: Ileostomy).


2. Jika kanser rektum berada dekat dengan otot sfinkter yang mengawal pengeluaran najis dan berpotensi untuk penyambungan, rawatan awal seperti radioterapi dan kemoterapi mungkin diperlukan terlebih dahulu untuk mengecutkan kanser rektum supaya penyambungan dapat dilakukan dengan selamat dan stoma sementara sahaja diperlukan.(Gambarajah 3: Ileostomy)


Gambarajah 3: Ileostomy

3. Jika kanser di rektum telah melibatkan otot-otot sfinkter yang mengawal pembuangan najis, maka otot-otot sfinkter pada anus perlu dibuang secara menyeluruh sewaktu pembedahan maka penyambungan usus tidak dapat dilakukan dan stoma kekal perlu dilakukan pada sebelah kiri dan ia bersifat kekal untuk selama-lamanya.( rujuk Gambarajah 4: Sigmoid colostomy)

Gambarajah 4: Sigmoid colostomy


4. Dalam situasi kecemasan seperti usus tersumbat yang akut (acute) atau pesakit dalam keadaan kritikal, pembedahan kecemasan untuk melegakan penyumbatan dengan membentuk stoma akan dilakukan supaya komplikasi daripadanya dapat dicegah atau keadaan pesakit dapat distabilkan dahulu. Stoma biasanya akan dibentuk pada bahagian kiri abdomen untuk sementara, Apabila keadaan pesakit telah stabil, pesakit akan diperiksa secara menyeluruh untuk pembedahan lanjutan bergantung kepada tahap kanser dan kesihatan pesakit. Sekiranya keadaan pesakit baik, stoma tersebut akan ditutup dan sekiranya keadaan kanser terus merebak, stoma tersebut akan dikekalkan.

(Rujuk Gambarajah 5: Hartmann’s procedure dan Gambarajah 6: Sigmoid Colostomy)


Gambarajah 5 : Hartmann's procedure.



Gambarajah 6: Sigmoid colostomy


Anda takut dan bimbang sekiranya stoma perlu dilakukan.

Anda tidak tahu cara penjagaannya.


Kebanyakan pesakit mempunyai perasaan bimbang dan takut untuk menjalani pembedahan, terutama berkaitan stoma. Terdapat banyak stigma terhadap stoma. Anda perlu melawan perasaan risau ini.

Kebiasaannya pesakit akan diberi informasi dan kaunseling secara menyeluruh tentang stoma sebelum pembedahan dijalankan. Ini penting supaya pesakit dapat bersedia dari segi mental dan fizikal dan dapat melawan perasaan bimbang dengan stoma.

Pakar Bedah serta jururawat akan sentiasa memberi sokongan dan tunjuk ajar mengenai cara-cara penjagaan stoma sebelum dan selepas pembedahan kepada anda dan keluarga. Anda tidak perlu berasa keseorangan.

Bagi pesakit yang telah pulang ke rumah, jururawat terlatih dalam penjagaan stoma boleh membuat lawatan ke rumah jika perlu. Dengan ini sokongan yang diberikan adalah berterusan sehinggalah pesakit benar-benar dapat menjaga stoma dengan baik dan secara kendiri.


Tips-Tips Penjagaan Stoma

  • Kekuatan mental dan fizikal adalah sangat penting. Anda perlu sentiasa berfikiran positif. Anda boleh menjalani kehidupan dan melakukan aktiviti-aktiviti disukai bersama stoma.

  • Anda perlu mengetahui apakah peralatan stoma yang diperlukan serta cara penjagaan yang betul untuk mengelakkan komplikasi stoma.

  • Amalkan cara pemakanan sihat dan seimbang untuk mengekalkan tahap nutrisi kesihatan pada keadaan yang baik.

  • Pakai pakaian yang bersesuaian dan tidak terlalu ketat supaya tiada tekanan pada atau tidak mengganggu keadaan stoma.

  • Bagi pesakit yang beragama Islam, solat mereka adalah sah berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam kali ke 79, yang memutuskan hukum ibadah bagi pesakit yang menggunakan beg stoma dikategorikan sebagai masalah darurat dan tidak dianggap menanggung najis. Jadi pesakit boleh solat seperti biasa walaupun semasa mereka sembahyang keluar najis atau air kencing ke dalam beg stoma mereka,”.

  • Jika ada sebarang keraguan dan kesulitan, anda dinasihatkan sentiasa berhubung dengan doktor yang merawat dan jururawat stoma yang terlibat, supaya sebarang masaalah dapat diselesaikan.

Dr Azali Hafiz Yafee Bin Amar

Pakar Bedah Perunding Am dan Kolorektal

Mahkota Medical Centre Melaka

491 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com