• Dr Natasha Mohd Hashim

Kanser Kolorektal : Pengenalan, Simptom dan Rawatan

Updated: Jun 16

Kanser kolon ialah merupakan kanser terbanyak direkodkan bagi pesakit kanser lelaki dan kedua terbanyak bagi pesakit kanser wanita di Malaysia.

Kanser kolorektal ialah kanser yang terjadi di sepanjang usus besar, termasuk bahagian rektum. Kanser kolorektal merupakan kanser yang mengakibatkan pelbagai isu kesihatan di seluruh dunia termasuk kadar kematian yang tinggi.

Lebih kurang 15,000 kes kanser kolorektal direkodkan sepanjang tahun 2012-2016 di seluruh Malaysia menjadikannya kanser kedua terbanyak selepas kanser payudara. Kanser kolorektal merupakan kanser terbanyak direkodkan bagi pesakit kanser lelaki dan kedua terbanyak bagi pesakit kanser wanita di Malaysia.

Malangnya, lebih dari separuh daripada kes baru yang dilaporkan adalah di kalangan pesakit tahap 3 dan 4. Ini bermakna, pesakit kanser usus di Malaysia biasanya tampil untuk pemeriksaan doktor agak lewat.


Adalah penting untuk anda mengetahui lokasi kanser di bahagian usus kerana rawatan yang diberikan mungkin berbeza selain prognosis kanser juga mungkin berbeza.

Lebih 50% dari kanser kolorektal berlaku di sebelah kiri usus.


Faktor-Faktor Risiko Kanser Kolon

Kanser kolon (usus besar) sentiasa berkait rapat dengan gaya hidup. Obesiti, kurang aktiviti senaman, penyakit kencing manis, pengambilan makanan daging merah yang diproses ( burger, sosej ), merokok dan pengambilan minuman beralkohol merupakan faktor-faktor penting di dalam risiko mendapat kanser usus.


Pada zaman yang serba maju sekarang, makanan segera merupakan gaya hidup yang diamalkan kerana kesuntukan waktu untuk penyediaan makanan berkhasiat. Akan tetapi makanan proses adalah tidak sihat dan makanan segera/proses dipenuhi dengan pelbagai bahan pengawet dan pewarna yang boleh menjadi pemangkin kepada mutasi sel yang membawa kepada pembentukan kanser.


Pada tahun 2015, World Health Organization's International Agency for Research on Cancer (IARC) telah melaporkan pengambilan daging merah yang diproses menaikkan risiko kanser kolon lebih 20-25% berbanding dengan populasi yang mengambil daging merah yang segar. Pengurangan pengambilan daging merah yang diproses boleh menjadikan kita lebih sihat disamping mengurangkan risiko kanser kolon dikalangan ahli keluarga kita.

Walaubagaimanapun, 5-10% daripada pesakit kanser kolon juga dikaitkan dengan sejarah kanser kolon di kalangan ahli keluarga. Sesetengah pesakit mempunyai mutasi DNA (Familial Adenomatous Polyposis Syndrome, Lynch Syndrome, BRCA) yang diwarisi, menjadikan risiko mereka untuk mendapat kanser kolon lebih tinggi. Mereka juga didiagnos dengan kanser kolon pada umur yang lebih muda dan ramai dikalangan ahli keluarga terdekat juga didiagnos dengan kanser usus atau payudara, pankreas, perut atau kanser organ wanita seperti kanser rahim atau ovari.

Simptom -Simptom Kanser Kolon

Simptom awal kanser usus besar adalah perubahan tabiat pembuangan air besar. Jika pesakit selalunya membuang air besar setiap hari, apabila kanser usus mula membesar, tabiat membuang air besar setiap hari itu mungkin berubah ke pembuangan air besar setiap 2-3 hari. Najis pula kadang kala bercampur dengan darah merah atau menjadi hitam disebabkan oleh najis yang bercampur dengan darah lama. Diameter najis juga boleh menjadi kecil atau nipis disebabkan oleh rongga usus yang menjadi lebih kecil disebabkan kanser.

Sesetengah pesakit juga terpaksa meneran dengan kuat untuk membuang air besar dan seringkali berasa tidak puas walaupun selepas membuang air besar. Disebabkan oleh kerapnya seseorang pesakt harus meneran, biasanya buasir akan terjadi disebabkan tekanan yang diberi kepada lapisan usus dan salur darah. Oleh itu, pesakit seringkali mengadu symptom “buasir” apabila berjumpa doktor dan akan dirawat dengan ubatan sahaja. Ini menjadikan kanser semakin membesar tanpa disedari. Oleh itu, amat penting itu menceritakan tabiat pembuangan air besar kepada doktor yang merawat.

Apabila sel-sel kanser menjadi lebih besar sehingga menutup rongga usus, usus akan tersumbat dan pesakit akan mengalami sakit perut. Sakit perut ini terlalu kuat sehingga pesakit boleh terguling di dalam kesakitan dan sakit ini akan diiringi oleh muntah kerana makanan yang tidak boleh turun ke saluran usus. Jika ini terjadi, pembedahan kecemasan harus dilakukan untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Pembedahan adalah untuk membuang ketumbuhan kanser atau untuk melakukan pembedahan pintasan/lencongan untuk membolehkan najis dan angin dikeluarkan melalui beg (stoma).

Simptom yang biasa juga dialami kurang selera makan dan penurunan berat badan mendadak, keletihan disebabkan kurang darah merah (pendarahan kanser biasanya berlaku tanpa pesakit sedari), pucat dan perut kembung. Akan tetapi, simptom-simptom tersebut adalah simptom-simptom ringan yang amat jarang pesakit titikberatkan. Apabila pesakit mula merasai bahawa simptom-simptom tersebut mengganggu kehidupan sehariannya, barulah pesakit akan mula membuat pemeriksaan doktor.

Simptom-simptom lain yang memberi petunjuk bahawa kanser mungkin sudah tersebar adalah jaundis (mata dan kulit bertukar ke warna kuning), perut kembung, sakit tulang, sakit abdomen sebelah kanan, sukar bernafas dan sakit kepala.

Ada juga pesakit yang tidak mengalami gejala serius dan hanya mendapat tahu mengenai penyakit ini melalui pemeriksaan berkala.

Adalah dinasihatkan untuk anda sentiasa melakukan pemeriksaan berkala untuk memastikan tahap kesihatan anda berada di dalam tahap optimum. Jika kanser dikesan di peringkat awal (tahap 1 dan 2), berkemungkinan besar rawatan yang dicadangkan juga tidaklah terlalu agresif dan peluang untuk sembuh sepenuhnya juga lebih baik.



Rawatan bagi kanser kolorektal


Pembedahan adalah rawatan utama kanser kolorektal tahap awal. Jenis pembedahan bergantung pada tahap dan lokasi kanser pada usus seperti pembuangan polip, pembedahan kolektomi atau pembentukan stoma.

Kanser tahap 1 hanya dirawat dengan pembedahan sahaja.

Kimoterapi diberikan untuk mematikan sel kanser di badan, selepas pembedahan. Terdapat pelbagai jenis kimoterapi untuk kanser kolorektal yang boleh diberikan melalui saluran vena atau jenis pil . Kimoterapi adjuvan diberikan sebelum atau selepas pembedahan, kepada sesetengah pesakit tahap 2 dan hampir kesemua sradengan objektif untuk kanser sembuh. Kimoterapi boleh diberikan bersama-sama radioterapi untuk kanser rektum manakala bagi kanser tahap 4 ia boleh diberikan dengan ubat terapi “targeted”.

Radioterapi adalah rawatan setempat bagi kanser rektum yang berisiko tinggi untuk berulang.ia boleh diberikan pada pesakit tahap 2 dan 3 sebagai terapi selepas pembedahan atau sebelum pembedahan.

Rawatan bagi kanser tahap 4 telah berubah ke opsyen yang lebih banyak dan baik.

Kesemua topik di atas akan dibincangkan di dalam artikel selanjut nya.


Dr Natasha Mohd Hashim

Pakar Onkologi KPJ Johor

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com