• Dr Mastura Md Yusof

Kanser Payudara dan Risiko Kanser Berulang

Updated: May 31

Lebih 10 tahun dahulu, salah seorang sahabat kami yang juga rakan sejawatan di bidang onkologi , didiagnos dengan kanser payudara tahap 2b pada usia awal 30an. Belum sampai 2 tahun selepas tamat rawatan kanser, beliau mengalami sakit belakang yang teruk dan mula mengalami kesusutan berat badan. Beliau didapati mengalami kanser berulang (relapse) pada tulang, hati dan paru-paru dan tidak lama selepas itu beliau meninggal dunia meninggalkan dua anak yang masih kecil.

Sebagai sahabat baik kami, pemergian beliau masih dirasai sehingga sekarang. Sebagai pakar onkologi pula, pengalaman ini mengajar kami untuk membantu pesakit kanser payudara memahami penyakit dan risiko mengalami kanser berulang supaya mereka dapat mencegah atau melambatkannya.

Apakah kanser berulang ?

Kanser payudara berulang terjadi sekiranya terdapat beberapa sel kanser yang dapat bergerak ke lokasi lain pada payudara, ke kelenjar limfa atau organ lain dan tidak dimatikan oleh pembedahan, kimoterapi, radioterapi atau hormon. Sel-sel ini kekal hidup dalam keadaan tidak aktif (dormant) iaitu ia tidak membesar atau merebak sehinggalah suatu masa yang sesuai pada masa akan datang. Walau bagaimanapun ada sel kanser yang kekal tidak aktif dan kanser berulang tidak berlaku sama sekali. Mengapa ini berlaku tidak jelas dan masih tidak dapat dipastikan.

Walaupun kanser berulang, itu tidak bermakna anda telah membuat rawatan yang salah pada peringkat awal kanser atau anda tidak menjaga diri dan kesihatan anda sebaik mungkin. Kita akan membincangkan isu ini dengan lebih lanjut di bawah :

Sebaik sahaja diagnosis kanser payudara dibuat, episod “cancer survivorship” iaitu suatu perjalanan panjang bersama kanser akan ditempuhi oleh pesakit-pesakit kanser payudara. Pesakit kanser payudara peringkat awal yang telah menamatkan semua rawatan akan memulakan rawatan susulan (follow up) pula. Pada waktu ini, kanser berada di bawah radar pengesanan secara klinikal, iaitu fasa yang dipanggil “ remission”.

Kebanyakan pesakit merasa gembira dan bersyukur kerana mereka telah berjaya menamatkan rawatan dan berharap kanser tidak akan berulang lagi sampai bila-bila. Mereka yang bekerja akan kembali melakukan tanggungjawab masing-masing di tempat kerja disamping menjalankan rutin harian bersama keluarga.

Ada pesakit yang merasakan ‘remission’ bermaksud kanser sudah tiada di dalam badan atau mereka sudah sembuh atau “ bebas kanser”.

Namun begitu, pesakit tetap akan diberikan temujanji ulangan di klinik untuk pemeriksaan selepas tamat rawatan-rawatan seperti seperti pembedahan kimoterapi dan radioterapi. Ujian mamogram dan ultrasound payudara juga akan dilakukan pada setiap tahun.

Tambahan lagi, mereka yang mempunyai kanser jenis hormon positif akan mengambil pil hormon selama 5-10 tahun sepanjang tempoh “follow up” ini.

Ujian pengimbasan seperti PET scan, CT scan atau ultrasound mungkin dilakukan untuk sesetengah pesakit sebagai usaha untuk mengesan kanser berulang ,lebih awal. Pesakit akan terus dipantau selama mungkin walaupun kekerapan temujanji di klinik hanya sekali atau dua kali setahun.

Mengapa perancangan begini dibuat sewaktu tempoh “ remission”

Ia adalah langkah berjaga-jaga kerana “remission” adalah suatu konsep dimana walaupun saki baki kanser tidak dapat dikesan melalui pemeriksaan klinikal, mammogram atau imbasan scan selepas rawatan selesai, namun potensi untuk segelintir sel kanser terus hidup dan kembali semula pada masa akan datang, masih ada. Ini dipanggil kanser berulang (relapse atau recurrence ).

Jika ia berulang dipayudara asal, ia dikenali sebagai berulang setempat ( local relapse) manakala proses kanser berulang di organ badan lain, ia dipanggil metastases.


Oleh kerana sel kanser tersangat kecil, adalah sukar untuk doktor mengetahui jika ia masih ada atau tidak. Sel kanser payudara juga tidak boleh dikesan melalui ujian darah jadi pada waktu ini, pesakit dinasihatkan mengikuti kaedah dan jadual rawatan susulan yang diberikan oleh doktor.

Walau bagaimanapun, and tidak digalakkan terlalu obses terhadap konsep kanser berulang ini kerana tiada sesiapa tahu samada ia akan berlaku kepada anda atau tidak. Kanser berulang masih mampu dirawat dengan baik jadi peluang untuk mengawal “tsunami” kedua ini masih tinggi. Bidang onkologi dan molecular juga semakin berkembang dan terdapat pelbagai inovasi baru yang bukan sahaja membantu kita mengelakkan kanser berulang malah dapat mengesan kanser berulang lebih awal dengan ‘outcome’ penyakit yang lebih baik.

Bilakah kanser payudara berulang berlaku ?

Risiko kanser berulang biasanya lebih tinggi pada tahun pertama -ketiga sebelum ia menurun. Kadang-kadang risiko berulang meninggi semula lebih kurang pada tahun ke 9-10 dari diagnosis sebelum ia menjadi rendah pada tahun-tahun berikutnya. Risiko ini tidak menjadi sifar tetapi kekal ada untuk jangkamasa bertahun-tahun.

Oleh sebab itu, walaupun tanda-tanda kanser berulang tidak dikesan pada pesakit, doktor biasanya tidak mengisytihar sesorang pesakit sembuh dari kanser tetapi menggunakan istilah “tiada kanser dikesan selepas 5 tahun, 10 tahun” atau “dalam remission selama 5, 10 atau 15 tahun, selepas diagnosis.

Apakah faktor-faktor yang meninggikan risiko kanser berulang pada pesakit kanser payudara?

Setiap pesakit mempunyai ciri-ciri dan 'cancer journey' yang berbeza namun antara faktor-faktor yang telah dikaji meninggikan risiko kanser berulang pada pesakit-pesakit terdahulu adalah seperti disenarai di sini ;


  1. Tahap kanser yang lebih tinggi ketika diagnosis, seperti kanser tahap 3

  2. Saiz kanser yang besar atau merebak ke kulit atau dinding dada

  3. Kanser yang merebak ke kelenjar limfa di ketiak

  4. Pesakit kanser payudara jenis “inflammatory”

  5. Margin positif semasa pembedahan. Ini bermaksud sel-sel kanser ditemui pada bahagian hujung (margin) tisu yang dikeluarkan semasa pembedahan

  6. Jenis kanser hormon negative

  7. Jenis kanser Triple Negative (TNBC)

  8. Jenis kanser HER2 positif

  9. Kanser grade 3

  10. Pesakit yang tidak menerima radioterapi selepas pembedahan lumpektomi

  11. Pesakit yang tidak menghabiskan rawatan

  12. Umur muda

  13. Kanser jenis keturunan seperti BRCA 1 dan 2

  14. Pesakit yang obes atau tinggi BMI

Bagaimana pesakit boleh mengesan tanda-tanda kanser berulang?

Kebanyakan pesakit seakan boleh mengagak kanser mereka berulang kerana mereka dapat mengesan simptom-simptom sebelum mereka berjumpa doktor. Antara simptom yang agak jelas jika kanser berulang berlaku pada tempat asal samada di payudara atau di dinding dada ( selepas mastektomi) adalah seperti :


  • Ketulan keras pada payudara. Kadang-kadang ia berdekatan atau pada parut pembedahan

  • Parut mastektomi menjadi keras

  • Biji atau nodul kecil pada kulit

  • Perubahan pada kulit seperti kemerahan atau seperti ruam

  • Lelehan atau darah keluar dari puting payudara


Jika kanser berulang sekitar payudara seperti pada kelenjar limfa, terdapat pembengkakan kelenjar di ketiak atau pangkal leher. Biasanya ia tidak sakit dan berasa keras seperti biji guli. Kanser yang berulang di organ lain ( metastatik) memberikan spektrum simptom yang agak berbeza bergantung pada organ atau tisu yang terlibat. Ia boleh jadi tidak spesifik seperti kurang selera makan, kurang berat badan atau keletihan atau spesifik seperti batuk berpanjangan untuk rebakan ke paru-paru, sakit pada bahagian tulang atau sakit kepala dan sawan sekiranya kanser merebak ke otak.


Kanser berulang bukan sahaja amat ditakuti oleh pengidap kanser payudara tetapi ia turut menjadi antara sesi konsultasi yang sangat mencabar bagi kami doktor yang merawat anda. Jika diagnosis kanser amat sukar untuk diterima pesakit, apatah lagi jika mereka harus menghadapi kenyataan kanser berulang terutama jika ia merebak ke organ lain. Namun anda jangan merasa takut atau melengahkan berjumpa doktor sekiranya anda syak kanser anda telah berulang. Lebih cepat ia dikesan, lebih baik untuk kesihatan anda.

Bagaimana kita boleh mengurangkan risiko kanser berulang?


Dari segi rawatan, pesakit disarankan untuk melalui kesemua rawatan yang diperlukan berdasarkan jenis dan tahap kanser masing-masing. Ini termasuk terapi hormon bagi kanser hormon positif, kimoterapi, radioterapi, erapi targeted bagi kanser HER2 positif dan ubat kesihatan tulang bagi mencegah kanser berulang di tulang dan mencegah kesan osteoporosis tulang.


Selain daripada itu, pesakit digalakkan untuk:

1. Melakukan pemeriksaan sendiri payudara

2. Menjaga berat dan kandungan lemak di badan

3. Melakukan senaman dan aktif secara fizikal

4. Mengambil diet yang sihat – lebih sayur-sayuran, buah-buahan, diet suku-suku separuh dan mengelakkan alkohol dan merokok

5. Mengikuti pelan rawatan susulan dengan baik


Gambar : Olivia Newton John ialah antara selebriti terkenal yang mengalami kanser berulang apabila kanser payudara beliau merebak ke tulang sacrum pada tahun 2017.


Adakah ujian darah atau cancer marker yang boleh mengesan kanser payudara berulang?

Buat masa ini tiada ujian darah “tumour marker” atau “cancer marker” yang cukup sensitif dan spesifik bagi mengesan kanser berulang. Ujian ini harus dilakukan bersama-sama penemuan klinikal jika perlu dan di lakukan oleh doktor yang merawat pesakit. Jika dilakukan tanpa indikasi, ia boleh mengelirukan pesakit kerana kadarnya di dalam darah mungkin tidak dihasilkan oleh kanser tetapi sebab-sebab lain seperti penyakit endometriosis, mengandung, radang atau merokok manakala kadar yang normal pula tidak bermakna kanser tiada.

Adakah ubat, diet tambahan , suplemen atau amalan pantang tertentu yang boleh dilakukan untuk mengelak kanser berulang?

Tiada data klinikal yang menunjukkan mana-mana jenis diet, suplemen atau pantang yang boleh mengelakkan kanser berulang. Pesakit hanya dinasihatkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, melakukan senaman, berfikiran positif dan mengikut nasihat doktor mengenai pemeriksaan sendiri payudara dan melakukan pelan rawatan susulan. Pesakit juga boleh mengambil inisiatif untuk melakukan kerja amal atau menyertai kumpulan sokongan kanser untuk berkenalan dan melakukan aktiviti-aktiviti yang bagus bersama-sama pesakit kanser lain dan ahli keluarga dan rakan.


Akhir sekali, kami ingin mengesyorkan kepada pesakit supaya menjaga emosi dan kesihatan mental anda. Pesakit boleh berbalik kepada agama atau mempunyai asas spiritual yang kuat untuk membantu kehidupan selepas diagnosis kanser. Fahami yang anda adalah individu utama di dalam pasukan perawatan kanser anda. Bagi prioriti kepada diri dan ‘be kind to yourself always”. Jika emosi anda stabil dan kuat, anda mempunyai tahap fizikal yang baik , berprinsip dan proaktif , sudah pasti anda mempunyai peluang untuk ‘cancer survivorship ‘ yang lebih baik.

Dr Mastura Md Yusof

Pakar Onkologi Klinikal

Pantai Hospital Kuala Lumpur



Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com