• Dr Mastura Md Yusof

Kanser Payudara di Malaysia dari lensa pakar- pakar onkologi

Updated: May 31


Pengenalan

Kanser payudara sangat digeruni oleh para wanita. Seringkali kita mendengar samada saudara mara, jiran, kawan atau rakan sekerja disekeliling kita yang disahkan mengidap kanser ini. Kanser payudara adalah kanser paling kerap berlaku di Malaysia dengan satu dari setiap tiga pengidap kanser wanita, mengalami kanser payudara.

Kanser payudara dicatat sebagai kanser yang tertinggi di Malaysia dengan kadar 18 peratus dari semua jenis kanser pada tahun 20181. Insiden di kalangan masyarakat Cina mendahului kaum Melayu dan India. Malangnya kesedaran di kalangan masyarakat masih rendah kerana walaupun lebih separuh dari wanita yang di serang kanser payudara masih muda ( <50 tahun), peratus pesakit di diagnos pada tahap kanser yang lewat ( tahap 3 dan 4) masih tinggi. Ini mungkin salah satu punca kanser payudara sebagai penyebab kematian kanser yang tertinggi di kalangan wanita di negara kita.

Namun begitu jika kita mengetahui sebab atau risiko kanser payudara, berusaha mencegahnya dengan gaya hidup sihat, tampil menjalani saringan ultrasound dan mamografi bagi pengesanan awal kanser payudara, mendapatkan pemeriksaan awal dan seterusnya menjalani rawatan yang tepat, kita mungkin mampu untuk mengatasinya. Lebih awal kanser dikesan, lebih tinggi peluang untuk sembuh kerana kita dapat menghalangnya dari merebak lebih jauh di dalam badan dengan rawatan kanser yang paling optima.

Apakah kanser payudara?


Kanser payudara adalah ketumbuhan sel malignan yang tidak terkawal dipayudara.


Terdapat 3 ciri utama kanser payudara:

1. Pertumbuhan sel yang tidak normal di payudara akan membentuk ketumbuhan malignan. Kemudian ianya berkembang melalui proses pembahagian yang tidak terkawal.

2. Sel kanser menyerang tisu-tisu bukan payudara yang berhampiran seperti kelenjar limfa di ketiak.

3. Sel-sel kanser boleh menjadi lebih ganas dan mampu untuk memasuki saluran darah serta sistem limfa untuk menyerang bahagian-bahagian organ lain yang jauh dari payudara. Ini dinamakan proses metastasis.



Kesemua tisu payudara boleh berubah menjadi kanser tetapi lebih 80 % dari kes kanser payudara bermula dari sel-sel dari saluran ductal (ductal carcinoma) dan lobul susu (lobular carcinoma). Selebihnya kanser boleh terjadi dari sel otot dan tisu sokongan payudara (sarkoma), sel kulit (melanoma) dan sel kalenjar limfa (lymphoma) namun jenis ini tidak kerap belaku.

Siapa yang berisiko mendapat kanser payudara?


Kanser payudara boleh terjadi tanpa mengenal usia, bangsa,kedudukan atau status pendidikan kita. Ia boleh juga berlaku pada wanita mengandung dan kaum lelaki. Statistik menganggarkan 1 dari 19 wanita di Malaysia mempunyai risiko mengalaminya pada sepanjang hayat mereka. Secara amnya, penyebab sebenar tidak diketahui. Namun, kajian menunjukkan risiko mendapat kanser payudara adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang mempunyai sejarah kanser dalam keluarga atau terdedah pada faktor-faktor persekitaran atau gaya hidup yang menyumbang kepada risiko kanser payudara. Antaranya seperti :

· usia yang meningkat

· terdedah kepada hormon estrogen yang berpanjangan seperti umur muda ketika mendapat haid pertama ( seawal 9,10 tahun) mengandung anak pertama pada lewat usia (selepas 30an) dan lambat menopos ( > 50 an)

· pernah mengambil terapi hormon dalam jangkamasa yang lama

· terdedah pada bahan kimia atau radiasi

· mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti

· mengambil lemak dan kalori yang tinggi di dalam diet

· bergaya hidup “ sedentery” iaitu kurang cergas atau bersenam

· mengambil arak/ alkohol

· mempunyai sejarah penyakit prakanser payudara seperti `ductal carcinoma in situ’ (DCIS) atau `lobular carcinoma in situ’ (LCIS) dan ‘atypical ductal hyperplasia’

· mempunyai sejarah penyakit kanser payudara di kalangan ahli keluarga atau sejarah penyakit kanser keturunan seperti BRCA ( Breast Cancer Gene) dan lain- lain

Setiap faktor di atas tidak bertindak secara solo tetapi menyumbang ke atas satu sama lain dan mengambil masa yang lama bagi mengubah sel normal pada payudara menjadi kanser. Oleh sebab itu kanser payudara adalah kompleks dan mengubatinya tidak semudah mengubati penyakit seperti luka, asma atau jangkitan kuman.

Apakah gejala atau simptom kanser payudara?

Majoriti pesakit mempunyai simtom seperti ketulan di payudara atau di ketiak. Ada yang proaktif dan terus berjumpa doktor tetapi ada yang bertangguh kerana memikirkan ia tidak serius, merasa takut atau tidak memperdulikannya kerana terlalu sibuk dengan urusan lain. Kerapkali pesakit tidak dapat membezakan perubahan pada payudara ketika haid atau sewaktu mengandung dan menyusu anak. Antara gejala yang boleh dialami adalah seperti berikut:

1. Ketulan atau benjolan di payudara

Lebih 60 peratus wanita yang dikesan mengidap kanser payudara mendapati gejala ketulan di payudara (breast lump). Lazimnya ketulan ini tidak berasa sakit dan berstruktur keras apabila dipegang, jadi kita janganlah beranggapan bahawa ketulan kanser seharusnya terasa sakit. Lebih penting adalah sekiranya saiz benjolan masih kecil, (<2 cm), kanser masih di peringkat awal dan peluang sembuh dengan rawatan adalah sangat tinggi iaitu melebihi 85 peratus dalam 5 tahun.3

2. Keluar cairan/lelehan luarbiasa atau darah daripada puting.

3. Perubahan pada struktur kulit seperti kulit limau/kemerahan atau ulser

4. Perubahan pada puting- membesar, termasuk ke dalam atau berubah warna

5. Perubahan pada saiz payudara

6. Benjolan di ketiak- ini memberi petanda bahawa kanser sudah mula merebak di dalam badan dan tahap kanser tersebut menjadi lebih tinggi.

Simptom rebakan kanser ke organ lain seperti kurang selera makan, kurang berat badan tanpa sebab, masalah batuk dan pernafasan, kembung dan bengkak di perut atau sakit di bahagian belakang, pening, sawan dan lain-lain.

Kesimpulannya, setiap individu yang mempunyai mana-mana gejala seperti di atas harus bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut dengan segera.

Bagaimana kanser payudara disahkan?

Secara amnya, setelah informasi mengenai faktor atau risiko bagi kanser payudara diambil oleh doktor, proses pengesahan kanser payudara akan diteruskan dengan 3 langkah berikut ( triple assessment) ;

1. Pemeriksaan klinikal

2. Mammogram dan/atau ultrasound payudara

3. Biopsi

Pemeriksaan klinikal penting untuk mengesan ketulan, ciri-ciri dan lokasi kanser bagi tujuan siasatan selanjutnya, membuat perancangan pembedahan dan juga untuk menganalisa risiko rawatan yang akan disarankan. Pemeriksaan anggota badan yang lain juga dilakukan untuk mengesan jika kanser telah merebak.

Mamogram dan ultrasound pula bertujuan untuk menganalisa keseluruhan payudara (kanan dan kiri) untuk memastikan samada terdapat satu atau beberapa lokasi ketumbuhan dan membantu pakar bedah dalam merancang biopsi dan jenis pembedahan yang sesuai. Terdapat berbagai mesin mammogram dengan teknik terbaru sekarang yang dapat dilakukan dengan cepat tanpa sakit.




Biopsi adalah prosedur mengambil secebis tisu dari ketulan bagi diujikaji di makmal patologi untuk memastikan jenis kanser di payudara dan selanjutnya untuk mengesahkan ciri-ciri kanser payudara tersebut berdasarkan status reseptor estrogen (ER) dan progesterone (PR) serta Human Epidermal Receptor 2 (HER2). Maklumat ini harus diketahui dengan segera untuk memastikan samada pesakit mempunyai jenis kanser yang baik atau lebih agresif.




Setiap pesakit mungkin mempunyai ketulan yang hampir sama namun setiap kanser adalah berbeza jadi wanita dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat dari pakar akan langkah-langkah yang diperlukan dan mengelak dari mendengar saranan dari sumber yang tidak pasti/sahih.

Apakah ER PR dan HER2 pada kanser payudara?

Pertumbuhan payudara wanita dipengaruhi oleh hormon wanita iaitu estrogen, progesteron dan faktor lain seperti ransangan protein Human Epidermal Receptor 2 (HER2).

Ujian untuk mengenalpasti kehadiran atau ketiadaan mana-mana reseptor estrogen( ER), progesteron (PR) dan HER2 pada sel kanser ini membolehkan kita :

· mengklasifikasikan jenis kanser melalui perbezaan karakter

· memberi prognosis penyakit

· memberi rawatan hormon hanya pada mereka yang disahkan reseptor positif sahaja

Sebagai contoh jenis kanser payudara ER atau PR positif diberikan pil hormon manakala kanser HER2 positif dirawat dengan ubat anti-HER2 seperti trastuzumab bagi mengawal atau menghalang kanser berulang.

Walaupun kanser payudara dipengaruhi oleh hormon wanita, sekitar 15-20% dari pesakit tidak mempunyai reseptor ER, PR atau HER2. Jenis kanser ini dipanggil “triple negative breast cancer” atau TNBC. Pesakit TNBC dirawat dengan pembedahan radioterapi dan kimoterapi namun mereka tidak boleh mengambil pil hormon atau ubat untuk kanser HER2 positif kerana ia tidak akan berkesan ke atas kanser mereka.

Informasi mengenai jenis kanser juga boleh mempengaruhi sekuens rawatan. Sebagai contoh kajian menunjukkan mereka yang mempunyai kanser TNBC atau HER2 positif disarankan untuk mendapat rawatan awal kemoterapi atau ‘targeted therapy” sebelum pembedahan dijalankan bagi mendapatkan kadar kesembuhan yang paling optima.

Rujukan:


1. Malaysia National Cancer Registry 2018

2. CPG of Management of Breast Cancer (3rd Edition)

3. Malaysian study on Cancer survival 2018

4. ESMO guidelines on Breast Cancer Management

5. NCCN practice guidelines for Breast cancer


Dr Mastura Md Yusof

Dr Hayani Abd Wahid

Dr Natasha Mohd Hashim

Dr Azura Deniel


Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com