• Dr Azura Deniel

Kanser Payudara: HER2 Positif

Mungkin ada diantara pesakit kanser payudara yang merasakan istilah HER2, ER, PR terlalu akademik, kompleks atau remeh-temeh. Namun sebenarnya ketiga-tiga faktor inilah yang merupakan nadi utama dalam menentukan perjalanan penyakit dan rawatan kanser payudara, ia seumpama pasport atau ID penyakit. Mari kita mengenali lebih lanjut akan ciri-ciri dan kepentingan HER2 reseptor disini.


Apakah dia reseptor HER2 ?

Reseptor HER2 atau Human Epidermal Growth Factor Receptor-2 receptor ialah sejenis reseptor protin yang terdapat di permukaan sel payudara. Reseptor HER2 ini memainkan peranan penting di dalam pertumbuhan dan kitaran hidup (cell cycle) sel terutamanya sel payudara. Di dalam kitaran hidup sel yang normal, reseptor HER2 berfungsi mengawal pertumbuhan sel (cell growth), pembahagian sel (cell division) dan pemulihan sel (cell repair). Setiap proses ini dikawal dengan rapi supaya pertumbuhan sel berlaku dengan teratur dan seimbang.

Namun, fungsi reseptor HER2 ini boleh terjejas sekiranya berlaku mutasi genetik pada sel. Mutasi bermaksud perubahan pada gen HER2 lalu menyebabkan fungsi atau karakter sel berubah menjadi sel malignan. Mutasi yang selalu berlaku pada kanser payudara menyebabkan jumlah reseptor HER2 di permukaan sel bertambah berkali ganda. Andaikan sel payudara yang normal mempunyai hanya 20,000 reseptor HER2 dipermukaan selnya, jumlah reseptor HER2 boleh berganda (gene amplification) sehingga mencecah 2 juta reseptor di permukaan sel kanser payudara HER2 positif ini.


Perubahan ini menyebabkan pertumbuhan sel tidak terkawal dan penyakit kanser payudara berlaku. Keadaan ini terjadi dalam 20-25% dari keseluruhan kes kanser payudara.


Apakah implikasi kanser payudara yang HER2 positif ?

Status HER2 reseptor adalah sangat penting untuk setiap pesakit kanser payudara. Ia mempunyai implikasi penting untuk rawatan dan prognosis penyakit kanser tersebut. Setiap 1 daripada 5 pesakit kanser payudara adalah positif untuk reseptor HER2.

Mengetahui status reseptor anda termasuk estrogen reseptor (ER), progesteron reseptor (PR) dan HER2 reseptor adalah seumpama pasport untuk penyakit ini. Pesakit boleh mempunyai HER2 positif dan hormon positif atau HER2 positif dan hormon negatif, atau ketiga-tiganya negatif (triple negative).


Kanser payudara jenis HER2 positif merupakan jenis kanser yang sangat agresif. Kemungkinan untuk kanser ini merebak atau berulang kembali adalah lebih tinggi. Ia juga sering berulang dalam jangkamasa pendek setelah pesakit tamat rawatan awal kanser. Ini menyebabkan rawatan untuk kanser HER2 positif kebiasaannya lebih agresif dan memakan masa lebih lama juga.

Rawatan kemoterapi lebih kerap diperlukan untuk kanser payudara HER2 positif walaupun berada pada peringkat awal. Terdapat juga rawatan yang spesifik untuk kanser payudara HER2 positif iaitu rawatan targeted therapy yang menyasarkan reseptor HER2 yang berganda di permukaan sel kanser payudara. Namun, jangan terlalu bimbang akan fenomena ini. Rawatan yang agresif dengan ubat kimoterapi dan inovasi rawatan targeted ini telah banyak meningkatkan prognosis kanser HER2 positif tahap awal dan tahap 4 ke aras yang lebih baik sejak sedekad yang lalu.



Kaedah IHC untuk mengesan HER2 protin


Positif sekiranya didapati IHC 3+


Keputusan IHC 2+ memerlukan pengesahan ujian FISH






Kaedah FISH untuk megesan mutasi gen HER2


Mengesahkan keputusan ujian IHC






Apakah jenis rawatan untuk kanser payudara HER2 positif ?


Rawatan untuk kanser payudara biasanya melibatkan beberapa jenis modaliti termasuk pembedahan, kemoterapi, radioterapi, rawatan hormon dan rawatan terapi sasaran atau targeted therapy. Kombinasi rawatan yang perlu dilalui setiap pesakit bergantung kepada jenis dan peringkat kanser tersebut serta keadaan fizikal dan tahap kesihatan pesakit.


Rawatan targeted untuk kanser payudara HER2 dipanggil rawatan anti-HER2. Ianya bertindak di tahap dalaman sel (molecular level) dimana rawatan ini menyekat pengaktifan reseptor HER2 dan menghentikan pertumbuhan sel kanser yang tidak terkawal. Ianya boleh diberi secara kombinasi bersama kemoterapi ataupun rawatan hormon.


Contoh rawatan terapi sasaran untuk kanser payudara HER2 positif:


     Trastuzumab

     Pertuzumab

     Trastuzumab emtansine

     Lapatinib

     Neratinib


Rawatan terapi sasaran atau rawatan targeted adalah berbeza daripada rawatan kemoterapi. Kemoterapi mematikan sel dengan cara merosakkan DNA sel-sel badan yang sedang membiak, manakala terapi sasaran bertindak secara khusus ke atas sel-sel yang mengalami mutasi HER2 sahaja. Ianya terdiri daripada rawatan menggunakan antibodi (monoclonal antibody) ataupun molekul kecil (small molecule). Rawatan antibodi bertindak untuk menghalang pengaktifan reseptor di permukaan sel di reseptor HER2 manakala molekul kecil bertindak di dalam dalam sel.



Rawatan menggunakan antibodi termasuk trastuzumab, pertuzumab dan trastuzumab emtansine. Cara pemberian ubat-ubatan ini adalah melalui infusi vena seperti rawatan kemoterapi. Walaubagaimanapun, kesan sampingannya berbeza dengan rawatan kemoterapi. Ianya tidak menyebabkan gugur rambut, muntah dan sebagainya. Kesan sampingan rawatan ini agak minima contohnya ruam, cirit birit dan alahan kepada ubat. Untuk rawatan ini, pesakit perlu menjalani pemeriksaan jantung setiap 3 bulan untuk mengelakkan kesan sampingan ke atas fungsi jantung. Biasanya rawatan ini perlu diberi selama 6-12 bulan untuk kanser pada tahap awal, atau selagi penyakit terkawal untuk pesakit tahap 4.


Rawatan molekul kecil pula adalah lapatinib dan neratinib. Ianya berbentuk tablet dan biasanya digabungkan dengan rawatan kemoterapi oral. Ubat lapatinib boleh digabungkan dengan ubat hormon bagi mereka yang mempunyai kanser hormon positif. Terdapat kesan sampingan yang boleh berlaku dengan ubatan ini terutamanya cirit birit. Fungsi jantung juga perlu dipantau untuk rawatan ini.

Rawatan anti-HER2 merupakan kaedah rawatan terkini yang telah menjadi salah satu faktor yang telah mengubah landskap rawatan kanser payudara. Kajian menunjukkan pesakit yang menerima rawatan anti-HER2 mempunyai kadar jangka hayat yang lebih tinggi, termasuk pesakit tahap 4.

675 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com