• Dr Natasha Mohd Hashim

KANSER PAYUDARA HORMON POSITIF

Updated: May 3


Di dalam ruangan ini kita akan membincangkan mengenai kanser payudara hormon positif. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jenis kanser anda, sila ke sini.

Kanser payudara dikategorikan sebagai positif jika reseptor estrogen dan progesterone (hormon wanita) dapat dibuktikan berada pada permukaan sel-sel kanser. Laporan reseptor ini boleh didapati daripada laporan patologi pembedahan atau laporan biopsi tisu kanser payudara.


Sel-sel badan menerima pelbagai signal sebelum ia membahagi kepada dua sel baru sewaktu proses pertumbuhan. Salah satu signal ini adalah hormon estrogen. Reseptor estrogen pada sel-sel kanser ini bertindak sebagai penerima signal daripada hormon estrogen untuk terus membahagi dan membiak. Sebaik sahaja hormon estrogen ini bergabung dengan reseptor, maka signal untuk membahagi akan disampaikan pada DNA dan pembahagian sel akan berlaku. Untuk kanser sel, pertumbuhan sel menjadi tidak terkawal dan ketumbuhan ini kita namakan sebagai kanser. Kanser akan terus membesar dan boleh merebak ke kelenjar, paru-paru, tulang, hati, dsb. Sila rujuk gambar disebelah.


Kebanyakan pesakit kanser payudara bercirikan hormon positif, 2 dari 3 daripada keseluruhan kes kanser payudara adalah hormon positif. Lebih ramai yang mempunyai ciri hormon positif tergolong di dalam golongan lebih berusia (>50 tahun). Walaubagaimanapun, wanita yang berusia lebih muda juga boleh mengidap kanser jenis ini, seperti di negara kita yang mempunyai lebih ramai pengidap kanser payudara yang berusia muda berbanding di negara Barat.

Salah satu rawatan utama untuk pesakit golongan hormon positif ini ialah rawatan hormon. Rawatan ini akan memanipulasi kebergantungan sel kanser kepada signal hormon samaada dengan menghalang hormon daripada bergabung dengan reseptor, atau dengan mengurangkan produksi hormon (estrogen) di dalam badan seseorang wanita itu. Dalam kata lain, reseptor estrogen dan progesteron adalah sasaran ( target) bagi rawatan hormon. Sebab itulah pesakit yang tidak mempunyai kanser jenis hormon positif tidak perlu mengambil terapi hormon.


Contoh ubat-ubat hormon yang biasa diguna pakai di klinik onkologi







Tamoxifen

Tamoxifen ialah sejenis ubat tablet menghalang hormon estrogen daripada bergabung dengan reseptor pada sel kanser. Ia sesuai untuk wanita menopaus dan wanita yang belum menopaus


Letrozole / anastrozole / exemestane

Menghalang penghasilan hormon estrogen daripada tindakan enzim ‘aromatase” pada lemak, hati dan dan kelenjar adrenal. Ini juga adalah ubat tablet namun ia hanya sesuai untuk wanita yang telah menopaus.

Goserelin / Leuprorelin

Menghalang penghasilan hormon estrogen dan progestron dengan bertindak di kelenjar pituitari. Hasilnya pengeluaran estrogen daripada ovari (kilang telur) akan terhenti. Rawatan ini ialah suntikan yang diberi di bawah kulit. Hanya diberi untuk wanita sebelum menopaus. Pemberian ubat ini menjadikan wanita mencapai menopaus dan seterusnya mengawal pertumbuhan sel kanser.


Fulvestrant

Rawatan ini adalah rawatan yang merosakkan atau menghapuskan reseptor estrogen.

Ia berbentuk suntikan yang diberi di pinggul ( intramuscular) setiap sebulan sekali dan hanya diberi untuk wanita yang telah menopaus dan mempunyai kanser payudara tahap empat.


Terdapat pelbagai cara lain yang boleh digunakan untuk menghalang signal-signal untuk pertumbuhan kanser sel yang berteraskan prinsip memanipulasi hormon. Contohnya rawatan mensasarkan signal-signal berkaitan dengan fungsi hormon di dalam proses pertumbuhan sel seperti kitaran pertumbuhan sel ( cell cycle). Rawatan-rawatan ini biasanya dicadangkan untuk pesakit kanser tahap 4 di mana sel-sel kanser merebak dengan lebih ganas dan sukar dikawal.

Adakah pesakit kanser payudara hormon positif hanya perlukan hormon dan tidak perlukan kemoterapi?

Ini merupakan soalan lazim di klinik kami. Wanita yang mempunyai kanser payudara hormon positif di peringkat awal selalu beranggapan ubat makan hormon sahaja sudah memadai manakala manakala pesakit tahap 4 pula beranggapan yang semua pesakit kanser payudara hormon positif tahap 4 memerlukan kimoterapi dahulu. Ada pesakit menyangka status menopaus bermaksud tiada hormon di badan lalu tidak memerlukan terapi hormone. Setiap pesakit mempunyai keperluan dan indikasi yang berbeza. Akan tetapi, doktor pakar akan mencadangkan juga rawatan-rawatan lain seperti kemoterapi di dalam situasi-situasi berikut, mengikut keperluan :


1. Saiz kanser lebih besar

2. Kanser yang sudah merebak ke kelenjar limfa

3. Kanser yang didapati sudah merebak ke salur darah

4. Grade kanser yang tinggi ( sila rujuk di sini )

5. Umur pesakit yang muda

6. Untuk mengecilkan saiz kanser dengan lebih cepat agar pembedahan dapat dilakukan segera

7. Untuk pesakit tahap 4, apabila sel-sel kanser penyebab masalah seperti kesukaran bernafas, sakit tulang dsb





653 views1 comment

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com