• Dr Mastura Md Yusof

Kanser Payudara Semasa Mengandung


MITOS BERKENAAN RAWATAN KANSER PAYU DARA SEMASA MENGANDUNG

Kanser payu dara adalah kanser yang paling kerap dihidapi oleh wanita di Malaysia dan seluruh dunia.

Kanser payudara boleh berlaku ketika wanita mengandung dan selama setahun selepas bayi dilahirkan . Ini yang dipanggil " cancer in pregnancy" dan paling kerap berlaku kepada pesakit kanser payudara berbanding jenis kanser yang lain. Terdapat pelbagai tanggapan salah mengenai situasi ini dan kita akan mulakan perbincangan dengan contoh kes yang berlaku pada 3 wanita-wanita di bawah:


Puan X, wanita berumur 30 tahun yang sedang mengandung 16 minggu, mendapati ada ketulan di ketiak sebelah kanan sementara puting sebelah kanannya herot (distorted). Dia pergi berjumpa doktor yang menasihatkan yang dia tidak perlu berbuat apa-apa. Ketulan di celah ketiak semakin membesar selepas dua bulan dan dibawah puting kanannya terdapat ketulan baru. Dia di rujuk kepada pakar bedah. Pada masa itu, kanser sudah masuk ke tahap 3.


Puan Y pula mengandung 2 bulan, 4 minggu selepas menjalani pembedahan membuang ketulan kanser payu dara tahap awal. Dia tidak berbincang dengan doktor tentang pilihan rawatan atau mendapatkan pendapat dari doktor yang lain (second opinion). Empat bulan kemudian, setelah habis trimester kedua, dia menghidap kanser berulang (recurrence) pada payu dara yang sama.


Semasa umur 34 tahun dan mengandung anak ketiga, Puan Z dan pakar obstetriknya menganggap kekurangan selera, mual yang berpanjangan, dan berat badan statik adalah kerana dia mengandung. Tiga hari selepas melahirkan anak, dia dikejarkan ke wad kecemasan hospital kerana sakit perut. Ujian menunjukkan dia menghidap kanser payu dara yang telah merebak (advanced stage) ke hati dan kelenjar limfa (lymph nodes).


Walaupun kanser semasa mengandung semakin kerap berlaku, terdapat banyak tanggapan yang kurang tepat mengenainya bukan sahaja di kalangan masyarakat malah dikalangan pengamal perubatan sendiri. Mari kita bincangkan akan beberapa mitos mengenainya di bawah.

MITOS N0.1: JANGAN RISAU KERANA KANSER PAYU DARA JARANG BERLAKU SEMASA MENGANDUNG

Ya, ia jarang berlaku kerana hanya 1 dalam 3000 kes ibu mengandung mengidap kanser payu dara. Tetapi kanser payu dara adalah kanser yang paling kerap dijumpai semasa mengandung.


  • Risiko kanser payu dara meningkat dengan: - meningkatnya umur wanita tersebut - jika ibu atau adik beradik menghidap kanser payu dara - umur semasa mula mendapat haid kurang dari 12 tahun - umur semasa menopos (menopause) lebih 55 tahun - berat badan berlebihan -menggunakan 'hormone replacement therapy' atau sesetengah pil perancang keluarga - pengambilan alkohol


Wanita yang pernah bersalin lebih dari lima kali mengurangkan risiko kanser payu dara sebanyak 50%. Namun trend zaman ini, wanita mengandung pada umur yang lebih tua berbanding dahulu. Bilangan anak pula berkurang dan jangka masa menyusukan anak juga kurang berbanding 20 tahun dahulu.


Ini menyebabkan kanser payu dara semasa mengandung menjadi lebih kerap sehingga sama kadarnya dengan wanita yang tidak mengandung, pada umur yang sama. Kanser kedua paling kerap berlaku semasa mengandung adalah kanser serviks diikuti lymphoma.



MITOS N0. 2: SIMPTOM-SIMPTOM KANSER PAYU DARA ADALAH BERLAINAN UNTUK WANITA MENGANDUNG


Simptomnya adalah sama seperti wanita tidak mengandung. Simptom yang paling kerap adalah ketulan di payu dara yang tidak sakit. Simptom yang lain adalah ketulan di celah ketiak, lelehan di puting, puting berubah bentuk, kulit berubah seperti kulit buah oren, atau keradangan payu dara (inflammation). Setiap pesakit yang mempunyai simptom tersebut harus segera berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan sepenuhnya. Kita tidak mahu diagnosis dicapai lewat kerana diagnosis awal pada tahap kanser yang awal mempunyai peluang sembuh yang tinggi. Jika diagnosis lambat, prognosis atau kebarangkalian pesakit sembuh menjadi kurang baik.


Kajian menunjukkan kebanyakan pesakit yang mendapat kanser payu dara semasa

mengandung, mendapat diagnosis yang lewat kerana kesukaran untuk memeriksa payu dara. Ketulan payu dara disalah anggap sebagai " saluran susu tersumbat". Kesedaran dikalangan mayarakat umum juga rendah.

Perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah untuk wanita pergi berjumpa pakar bedah payudara dan mendapatkan pemeriksaan menyeluruh supaya kanser dapat dikesan pada peringkat awal.


MITOS N0 3: MERBAHAYA KEPADA BAYI JIKA MEMBUAT SCAN ATAU UJIAN SEMASA MENGANDUNG


Semasa mengandung, bayi menjalani tiga fasa pertumbuhan: 1) Implantasi - melekat pada dinding rahim dari permulaan 'conception'-2 minggu 2) Organogenesis - pembentukkan organ, dari 2-12 minggu 3) Pembesaran - 12 hingga 40 minggu

Risiko untuk bayi hanya pada fasa (1) dan (2)


Ultrasound adalah selamat pada sepanjang tempoh mengandung kerana ia tidak mempunyai radiasi.

Tru-cut atau "excision biopsy" (secebis tisu atau isi diambil dari ketulan yang disyaki kanser) adalah selamat dijalankan semasa mengandung dan membantu doktor membuat diagnosis yang tepat.

X-ray atau mammogram mungkin sukar untuk dikaji kerana payu dara semasa mengandung adalah agak tepu (dense). Ia boleh dilakukan dengan menggunakan shield (penghadang x-ray) pada bahagian perut untuk mengelak bayi terkena radiasi.

CT scan hanya boleh dilakukan selepas bersalin.


MITOS N0 4: RAWATAN KANSER AKAN MENYEBABKAN KEGUGURAN

Agak menggembirakan yang kini terdapat rawatan berdasarkan kajian saintifik di mana kanser boleh dirawat sehingga sembuh. Semasa mengandung, tujuan rawatan adalah untuk mengawal kanser, mengelakkan kanser dari merebak, dan mengelakkan kesan sampingan yang tidak baik ke atas bayi.

Ini melibatkan rawatan dari pelbagai displin (multidsciplinary approach), yang melibatkan pakar bedah payu dara, pakar onkologi, pakar obstetrik, pakar paediatrik neonatal (bayi), pakar bius dan lain-lain lagi. Kumpulan doktor pakar akan menentukan rawatan yang terbaik untuk ibu dan bayi.

Rawatan yang dipilih adalah berdasarkan tahap kanser dan berapa lama wanita tersebut mengandung ( trimester).

Ia terdiri dari:

- Pembedahan/surgeri - Kemoterapi (chemotherapy) - Rawatan lain - contohnya rawatan sokongan kesan sampingan dan lain-lain.


Biasanya ubat hormon atau ubat anti HER2 seperti trastuzumab tidak diberi semasa mengandung. Ubat menghentikan susu juga diberikan kerana pesakit tidak boleh menyusu badan jika sedang menjalani kimoterapi.


MITOS N0.5: KEMOTERAPI MENJADIKAN PROSES BERSALIN LEBIH SUSAH DAN MENYEBABKAN BAYI MENDAPAT KANSER


Setiap rawatan akan dirancang dengan rapi oelh kumpulan pakar yang merawat. Biasanya kemoterapi akan diberhentikan tiga minggu sebelum wanita tersebut dijangka melahirkan anaknya.

Cara melahirkan bergantung kepada setiap kes dan bayi tidak akan mendapat sel kanser dari ibunya melalui proses kelahiran.


MITOS N0.6: RAWATAN KANSER SEMASA MENGANDUNG MENGAKIBATKAN KEMURUNGAN SELEPAS BERSALIN


Kadar kemurungan selepas bersalin (post-natal depression) bagi wanita normal adalah 10%. Buat masa ini tidak ada kajian menunjukkan kadar kemurungan selepas bersalin lebih tinggi di kalangan pesakit yang menjalani rawatan kanser.


MITOS N0.7: IBU MENGANDUNG YANG MENGHIDAP KANSER PAYU DARA AKAN MENURUNKAN RISIKO TERSEBUT KEPADA BAYINYA


Salah satu risiko kanser payu dara adalah mutasi gen BRCA1 dan BRCA2. Mutasi ini hanya berlaku dalam 5-10% kes kanser payudara. Ibu yang tiada gen tersebut tidak boleh menurunkan kanser payudaranya kepada bayi.


Mari kita lihat apa yang berlaku kepada ketiga-tiga wanita yang disebut pada permulaan artikel ini.

Puan X di rawat dengan 3 pusingan (cycle) kemoterapi yang diberhentikan semasa masuk minggu 32 mengandung. Dia melahirkan bayi yang sihat secara Caesarean section (pembedahan) yang dilakukan sekaligus dengan mastektomi (pembedahan buang payu dara) dan pembuangan kelenjar limfa yang terlibat. Dia menyambung kemoterapi selepas bersalin diikuti radioterapi dan sekarang masih dipantau (follow up).


Puan Y juga dibedah (mastektomi) diikuti 3 pusingan kemoterapi yang dihentikan semasa 34 minggu mengandung. Dia melahirkan bayi yang sihat secara normal dan menyambung kemoterapi 3 minggu selepas bersalin, diikuti radioterapi, rawatan hormon dan sekarang dipantau (follow up).


Puan Z bermula dengan kemoterapi tetapi kerana kansernya pada tahap yang lewat dan telah tersebar, rawatan tidak berhasil dan dia meninggal 4 bulan kemudian.


Artikel ni diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2014 dan kemudian diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Medical Mythbusters Malaysia pada tahun 2016. Terima kasih diucapkan pada team di Medical Mythbusters Malaysia dan Dr Caryn Chan dan Miss Mohana atas sumbangan kepada artikel.


DR MASTURA MD YUSOF CONSULTANT ONCOLOGIST



Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya


320 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com