• Rnafahmi

Kelangsungan kehidupan setelah bergelar pesakit KANSER...


Antara simpati dan cabaran serta pertimbangan masyarakat secara amnya..

Yang dicari adalah nikmat bernafas untuk meneruskan hidup

Setuju atau tidak, ianya realiti bagi mana mana “cancer fighter” atau “cancer survivor” di dalam meniti arus fasa kehidupan selepas diagnosis dan melalui rawatan.

Perjuangan tidak terhenti malah perlu diteruskan…menghadapi cabaran di luar yg serba-serbi dengan pelbagai rencah karenah kehidupan manusia.

Ada yang kurang bernasib baik, ditinggalkan insan tersayang sewaktu sedang terlantar. Ada juga yang hilang pekerjaan atau sumber mata pencarian. Ada yang tersedar akan erti budi keluarga dan rakan sewaktu mengharungi hari-hari yang mendatang. Wang ringgit dan harta bukan segalanya pada waktu ini. Yang berkemampuan tetapi menjalaninya dengan jiwa sunyi pun tiada gunanya. Semua ada senarionya masing masing tetapi yang paling berharga di saat ini adalah "nikmat bernafas untuk meneruskan hidup ". Inilah yang diharap-harapkan oleh kita semua…

Semua adalah pejuang sebenarnya

Sekejap atau lama, ada rakan yang berjuang sehingga ke akhirnya namun takdir jua penentu segalanya…mereka akan tetap dikenang sebagai seorang “cancer fighter” selama- lamanya…manakala bagi mereka yang masih bertahan, masih berjuang dan berjaya menamatkan fasa rawatan maka teruskan momentum kelangsungan kehidupan dengan semangat perjuangan.

Usah terhenti proses atau prosedur pemantauan oleh pakar yang merawat , teruskan dan berdoa untuk berterusan menikmati kemanisan hidup…nikmat terus bernafas itu amat bermakna walaupun ada di kalangan “cancer fighter” yang terpaksa mengorbankan anggota badan  demi kelangsungan hidup ..itulah namanya pengorbanan , demi diri dan orang tersayang yang masih mengharapkan kita ada di sisi ..

Kukuhkan ilmu pengetahuan mengenai penyakit

Penerimaan dan pemahaman tentang kanser amat kurang di kalangan masyarakat sekeliling. Kebiasaannya mereka yang terbabit dengan kita, pesakit kanser, mungkin memahami istilah " bangkit dari sengsara".

Informasi yang tepat mengenai penyakit ini terungkai dari diri pesakit, penjaga atau ahli keluarga dan rakan seperjuangan kanser disamping semua informasi ilmiah dari pakar perubatan yang memahami keadaannya dan berilmu serta berpengalaman dalam perawatannya.

Mereka yang tidak melaluinya mungkin tidak akan mengerti dan tidak mengambil pusing mengenai perkara tersebut…sehinggalah diri sendiri atau ahli keluarga terdekat dihinggapi kanser, barulah mereka terdedah, tersedar dan ter-ambil berat mengenainya ..

Kehidupan pesakit apabila beralih dari fasa "cancer fighter" ke "cancer survivor" sebenarnya amat penting ..bekas pesakit memang perlukan sokongan dan dorongan yang padu dari sekeliling..momentum semangat dan kehidupan tanpa stress atau tekanan tinggi sememangnya perlu ..ia nampak mudah namun bagi seorang yang telah berjaya dalam perjuangan, bangkit dari keadaan terlantar, sudah pasti merasa ada sedikit goyah dalam menempuh kehidupan masyarakat yang normal. Biasanya cancer fighter dan survivors lebih ceria bercerita bersama rakan senasib kerana mereka lebih memahami dugaan dan kekurangan yang timbul setelah rawatan.

Mereka membina keyakinan diri dari dorongan rakan senasib , ahli keluarga dan segelintir individu sihat yang memahami.

Adalah sangat digalakkan untuk kita melibatkan diri secara aktif dengan aktiviti yang positif. Ini adalah satu cara memulihkan keyakinan, semangat dan terapi yangg baik untuk hilangkan stress dan kemurungan dikalangan pesakit.

Perlu diingatkan, dengan menghindari stress, sel sel kanser mungkin tidak dapat mengambil kesempatan jika kita tidak mengubah cara kita berhadapan dengan situasi kehidupan yang kurang positif. Penat fizikal boleh dirawat dengan berehat tetapi penat mental serta emosi, ubatnya sukar didapati.

Ini kerana penat mental serta emosi melibatkan perihal dalaman, membabitkan rasa yang terpaksa disimpan kerana mahu menjaga hati orang lain.

Jika anda seorang pesakit kanser , berwaspadalah kerana ini menambahkan keberangkalian kanser relaps- stres akan meransang sel-sel kanser untuk kembali berputik ‼️..

Status Bebas Kanser

Fasa peralihan kehidupan dari status "fighter" ke "survivor" memang memerlukan sokongan moral dikalangan masyarakat sekeliling, sebelum anda mendapat status "bebas kanser" dari pakar yang merawat. Ada pesakit memilih kehidupan yang lebih santai dengan tidak meneruskan kerjaya selepas sakit. Ada yang memilih kembali ke alam pekerjaan dan melaksanakan kerja hakiki demi kelansungan hidup.

Di sini akan timbul secara sedar atau tidak sedar, beberapa cabaran dan kesulitan akibat kesan rawatan kanser jangkamasa panjang ..salah satunya adalah masalah "kimobrain" iaitu  keupayaan berfikir yang lemah untuk mendapat dan membuat keputusan dengan cepat. Kita mudah terlupa perkara kerja yang sebelum ini menjadi rutin. Tambahan lagi ada yang mendapat kerisauan berlebihan , tekanan dan kemurungan mengenai kekurangan tersebut.

Otak dan daya ingatan perlu diasah kembali supaya lebih jitu. Bagi kerja kerja pejabat , seeloknya kita bersedia dengan pen dan buku nota untuk membuat catatan, agar kita tidak terlepas perkara perkara penting di dalam tugasan

Bagi diri saya sendiri pula (bekerja sebagai pemandu) , masalah kimobrain ini amat amat mengganggu di dalam urusan kerja hakiki sehingga menimbulkan rasa stres yang melampau dan kurang berkeyakinan untuk melaksanakan tugas tersebut. Majoriti survivors menyembunyikan kekurangan ini kerana tidak mahu hilang kepercayaan majikan dan mahukan orang sekeliling memandang kita kembali normal dan cerdas seperti rakan sekerja yang lain. Lebih teruk bila pendedahan tentang "kanser" dan akibat rawatan kanser dikalangan majikan dan rakan sekerja agak kurang. Ini merupakan cabaran besar untuk pesakit yang berusaha untuk menjalani kehidupan tanpa stres.

Beriadah dan lakukan aktiviti positif

Cara meleraikan tekanan tersebut adalah dengan beriadah (sebelum atau selepas waktu kerja ), melakukan aktiviti luaran yang positif di hujung minggu bersama keluarga atau rakan. Namun timbul pula persoalan bila ada penilai luar (orang yang tidak memahami kehidupan "fighter" atau "survivor" ) yang beranggapan kita hebat di luar sahaja tapi lesu di alam pekerjaan…kehidupan luar ini dilakukan demi membina semangat. Ia terapi yang paling berkesan untuk jiwa pesakit jadi jangan hiraukan kata-kata penilai luar ini. Bukan anugerah pekerja cemerlang yang kita “target” kan dalam pekerjaan tapi lebih ke arah "menikmati kehidupan". Tiada siapa yang merasai sengsara terlantar bertahun-tahun melainkan kita jadi hanya kita yang mampu buat yang terbaik untuk kehidupan kita seterusnya.

Kita perlu terus bina keyakinan dan semangat dan sokong satu sama lain. Carilah mereka yang positif untuk berdamping ..andaikata kita terlantar lagi untuk kali ke 2 , ke 3 dan seterusnya, insyaallah cukup bekalan jiwa untuk kita hadapi impak kanser dan rawatan seterusnya .

Kongsikan masalah dengan majikan jika perlu

Cari kesempatan untuk bercerita dengan majikan mengenai kekurangan yang dihidapi. Bersedia untuk menghasilkan laporan rawatan jika diminta dan berdoalah agar urusan pekerjaan kita dipermudahkan. Usah difikirkan tanggapan rakan sekerja yang tidak memahami tetapi cuba fokus pada tanggungjawab kita. Walau bagaimanapun perlu ada sedikit sifat pentingkan diri di dalam urusan kerja kita. Bukan bermaksud mengelak dari kerja tapi perlunya kita menghindarkan diri dari terbelenggu dengan konflik kehidupan negatif yang akhirnya memakan diri. Ingatkan semula sewaktu kita terlantar sakit, siapa yang paling ambil berat mengenai kita…hati mereka lah yang sepatutnya kita utamakan .. 

Lari dari realiti bukan penyelesaian masalah pesakit , yang paling utama adalah membina kekuatan dan semangat dalam diri untuk menghadapi masyarakat yang tidak peka akan masalah pesakit kanser. Usah harapkan simpati tetapi kita berhak menceritakan kekurangan kita pada mereka bila terdesak supaya tidak menimbulkan konflik pada kehidupan kita seterusnya.

Hindari stress. Ianya perlu untuk anda sebagai cancer fighters dan survivors untuk terus mendapat layanan seadilnya.

Akhir kata ,sedikit pesanan dari diri saya sendiri untuk rakan seperjuangan yang sedang dilanda keresahan tentang nasib diri..🤧

Got cancer?

Tenang itu lebih baik..

Kita sebagai pesakit boleh dan digalakkan mencuri semangat dari rakan seperjuangan yang sudah kembali kuat. Namun kita mungkin tidak mampu untuk menyamai nasibnya , jadi apa yang kita patut buat adalah positif untuk diri sendiri di dalam setiap rawatan yang dilalui, walaupun ianya amat perit !!

“Be a real cancer fighter”

Berjuanglah untuk insan tersayang , redha dengan ketentuan takdir dan terus memohon doa agar dipermudahkan rawatan dan kesembuhan.

🔸Waktu rawatan kita mesti fokus 100%

Waktu terluang sementara menunggu rawatan kita boleh pergi riadah untuk kestabilan mental, supaya tidak murung dan sentiasa happy ..ianya lebih baik daripada kamu terlantar sepi merantapi nasib ..ianya tidak membantu pun untuk proses pemulihan jika berterusan mengeluh ..sebaliknya kamu menyiksa jiwa dan raga kamu sendiri ..ingat tu … 

Biar air mata tumpah beberapa kali pun asalkan ia mampu melegakan hati yang keresahan ..bertindak bijak untuk meneruskan rawatan ..ayuh!! Jangan bertangguh ..

#RAJANOORAHMADFAHMI

#aku,dia&cancer

#bangkitDariSengsara

#cancerColorectalStage3Rectum

#2016-2020

2,247 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com