• Dr Mastura Md Yusof

Keletihan Melampau dari Perspektif Pesakit Kanser Payudara

Updated: May 31


Dr, mengapa saya selalu merasa letih? Mengapa saya masih berasa letih yang kronik, walaupun rawatan kemoterapi dah lama habis?

Ini adalah aduan/keluhan pesakit yang selalu kami dengar di klinik. Bagi doktor dan staf yang merawat pesakit kanser, aduan keletihan melampau berkaitan kanser harus diberikan kredit yang sebaiknya. Jika kita faham akan kesan psikososial dan kesan-kesan lain keletihan melampau maka rawatan yang optimum kepada pesakit kanser boleh diberikan.

“Mentang-mentang payudara bukan organ yang sepenting mata atau kaki, mereka selalu terlupa yang kami juga ‘cancer survivors'. Rakan sekerja tidak boleh expect kami sesihat mereka!”.

Kebanyakan ketua atau pengurus bahagian samada agensi kerajaan atau swasta tidak memahami situasi ‘a new normal’ bagi pekerja wanita mereka yang mengidap kanser. Bagi kanser payudara, majoriti pesakit- pesakit kanser di Malaysia terdiri dari wanita berumur 40-50an jadi mereka masih muda. Mereka perlu menjalani pelbagai jenis rawatan kanser seperti pembedahan, kimoterapi, ubat anti HER2 , hormon dan radioterapi. Bagi yang ada pekerjaan, sebaik rawatan kimoterapi tamat mereka akan kembali bekerja dengan tubuh dan minda yang baru - a new normal. Tanggungjawab lain kepada suami dan keluarga, perlu juga dibutuhkan seperti biasa. Gejala keletihan melampau dan kronik ini selalu tidak berapa dipedulikan oleh suami, keluarga, rakan sekerja di ofis atau doktor yang merawat sekalipun!. Ia selalu terjadi dan adalah masalah yang 'real'. Ia digambarkan seperti rasa letih, lemah dan kekurangan tenaga yang agak lebih daripada biasa. 90% pesakit yang dirawat dengan radioterapi dan 80% yang dirawat dengan kemoterapi mengalaminya. In fact, ia adalah kesan sampingan yang paling kerap dialami pesakit kanser, samada akibat kanser itu sendiri atau kesan daripada rawatan kanser.

Ia berbeza dengan rasa penat yang dialami oleh orang yang sihat. Keletihan mereka boleh diatasi dengan rehat atau tidur yang cukup. Gejala keletihan melampau ini boleh dialami oleh pesakit selama berbulan-bulan, bahkan bertahun-tahun selepas selesai rawatan. Ia menyebabkan tekanan psikologi dan kesan negatif kepada kualiti hidup pesakit termasuklah keyakinan diri, interaksi sosial dan keintiman dengan pasangan. Keletihan melampau merupakan sesuatu yang cukup berbeza. Ia sangat melemahkan tubuh badan. Ketika badan cuba pulih semula selepas melakukan semua kerja rumah dan urusan keluarga atau duti di ofis, tulang dan badan mula terasa sakit, kepala terasa berat dan di dalam fikiran cuma mahu baring untuk masa yang lama.


Keletihan melampau ini tak dapat di elakkan atau diletakkan di luar kotak fikiran. Keadaan ini biasanya berlarutan, ia sangat melemahkan walau banyak mana masa rehat yang anda berikan kepada tubuh. Di samping itu, ia menambah pada beban kewangan dengan menjejaskan tanggungjawab kerja pesakit atau menghadkan kemampuan pesakit untuk bekerja. Ia juga mengganggu dinamik keluarga kerana ahli keluarga yang lain perlu menyusun jadual mereka untuk memberi penjagaan tambahan kepada pesakit yang terjejas akibat dari gejala ini. Akibat keletihan melampau, seseorang hampir wajib berbaring dan berehat sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu tengah hari, hanya untuk menyimpan bekalan tenaga untuk kemudian hari.

Soalan -soalan ini telah ditanyakan kepada 2 pesakit kanser payudara, Puan Hasnita dan Puan K. Mari kita ikuti perbualan pejuang -pejuang kanser ini di bawah:

S1. Puan ada mengalami keletihan melampau. Boleh ceritakan serba sedikit?

Puan Hasnita : Ya, saya ada masalah tu. Keletihan melampau berkaitan kanser ini adalah benar. Ia bukan dibuat-buat untuk menagih simpati. Selepas kanser di diagnos, saya buat pembedahan membuang tumor pada payudara dan kelenjar di ketiak. Selepas pembedahan, saya berasa sihat. Keletihan melampau datang selepas saya tamat sesi kimoterapi.

S2. Adakah pasangan atau penjaga sedar tentang masalah ini?

Puan K: Biasanya, mereka tak sedar pun akan kepenatan biasa yang kita alami, apatah lagi keletihan melampau. Bagi saya, kepenatan melampau ini masuk kategori letih yang luar biasa. Ramai bekas pesakit kanser yang telah lalui radioterapi dan kemoterapi pun ada masalah ni tapi macamana nak buat orang faham yang keletihan melampau ini memang betul- betul terjadi? Puan Hasnita : Saya bernasib baik kerana keluarga dan kawan-kawan rapat sedar tentang keletihan melampau ni dan saya mendapat banyak bantuan daripada mereka. Jaga anak-anak, belikan groceries dan order makanan untuk saya jadi saya boleh berehat. Tapi orang dan mata yang melihat dari luar hanya nampak saya pada hari yang saya ‘sihat’. Oleh kerana kita boleh keluar, ketawa dan tidak hanya berehat di atas katil, mereka merasakan kita baik-baik sahaja dan kita tidak penat, apa lagi letih melampau. Fikiran yang ini yang harus di ubah.

S3: Kenapa masalah keletihan melampau ini tak dipedulikan oleh masyarakat?

Puan K: Saya fikir salah satu sebab adalah kerana pesakit terus menerus menangani segala kerja atau melunaskan semua perkara, walaupun mereka sangat letih dan tidak mampu. Pasti ramai breast cancer survivors bersetuju dengan saya mengenai perkara ini. Ada pesakit yang perlu menjalani rawatan lebih daripada sekali dalam hidup mereka kerana cancer relapse. Puan Hasnita : Saya fikir ia sebab kita suka bersangka baik, sering menggambarkan diri kita yang positif. Orang suka beri komen: "you look good" dan "Kamu tak nampak macam sakit". Hanya kami sahaja yang tau bagaimana kadang2 kami menyembunyikan keletihan melampau yang dialami.

S4: Bagaimana keletihan melampau ini mempengaruhi kehidupan harian?

Puan K: Ubat-ubatan kanser memang ada yang melemahkan kita kerana ‘kekuatan’ dan ketoksikannya. Apabila seseorang merasa letih melampau, kita tak dapat beri tumpuan sepenuhnya kepada sesuatu tugasan. Kadang – kadang rasa keliru, panik dan cemas tak semena-mena. Bila buat salah, harga diri terus rasa jatuh menjunam. Ini yang mengakibatkan tekanan semakin bertambah dan ini melelahkan tubuh, fikiran dan jiwa. Bagi yang bekerja jika tak dapat ‘perform’ ada yang berfikir untuk menghentikan rawatan sama sekali. Puan Hasnita: Selepas habis rawatan kemoterapi dan radioterapi, keletihan melampau tidak akan hilang serta merta. Walaubagaimanapun, keadaan akan bertambah baik dari hari ke hari. Saya mula bekerja selepas 3 minggu selesai rawatan kimoterapi dan radioterapi. Walaupun saya tidak memandu ke tempat kerja, saya sangat letih selepas bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang. Waktu kerja biasa sahaja bagi yang sihat tapi saya mengambil masa 2 minggu untuk membiasakan diri dengan rutin harian.

S5: Apakah nasihat anda kepada pesakit kanser lain untuk membantu mereka menghadapi keletihan melampau berkaitan kanser?

Puan K: Kanser ini seolah sebuah ‘beg besar' yang kita kena bawa, sepanjang masa. Keletihan melampau yang ditambah dengan tekanan boleh menambah kemungkinan kanser berulang. Selalunya pesakit kanser mengetepikan keperluan dirinya untuk memenuhi keperluan orang lain terlebih dahulu. Sangat mudah untuk membuat kenyataan: "Jika letih, berehat sahajalah!". Tiap- tiap bekas pesakit kanser tahu ia lebih daripada itu. Penerimaan masyarakat terhadap apa yang sebenarnya berlaku, adalah sangat diperlukan. Puan Hasnita : Salah satu faktor yang paling penting ialah memastikan kita makan makanan yang seimbang. Faktor lain adalah mesti sudikan diri menerima apa-apa jenis bantuan yang ditawarkan, kerana ia sangat membantu. Saya sangat bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang menjaga anak-anak ketika saya sedang menjalani rawatan. Dapatkan pembantu untuk membantu kerja rumah atau menyediakan makanan. Let go of some rigid routines yang membebankan. Untuk bekerja semula, berbincanglah dengan syarikat anda bekerja, mengenai expectations ketika balik bekerja. Biarkan mereka tahu bahawa walau telah habis rawatan, badan mungkin belum sihat sepenuhnya dan ada juga kesan sampingan daripada rawatan yang masih berlarutan. Anda perlu memberi lebih masa untuk kembali sihat dan bekerja seperti dahulu.



Nota.

Artikel asal di dalam bahasa inggeris telah di keluarkan oleh akhbar The Star sempena sambutan Wolrd Cancer Day pada tahun 2018. Ia boleh di lihat pada link ini: https://www.thestar.com.my/lifestyle/family/2018/02/21/this-fatigue-lasts-long-after-cancer-treatment-is-done .


Kami ingin mengucapakan setinggi -tinggi penghargaan buat Puan Hasnita, Mrs K dan keluarga atas kesudian menyumbang kepada artikel ini. Mari kita sama-sama doakan semoga roh arwah Puan Hasnita dicucuri rahmat dan semoga usaha beliau dan Puan K untuk memperkasakan semangat pejuang kanser lain memperolehi kerberkatan. Ucapan terima kasih juga kepada seorang lagi pejuang kanser, Puan Fadhilah Idris atas pertolongan bagi mengalih bahasa artikel ini. DR MASTURA MD YUSOF

PAKAR ONKOLOGI KLINIKAL

PANTAI HOSPITAL KUALA LUMPUR



Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya

1,424 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com