• Dr Mastura Md Yusof

Kimoport Sebelum Kimoterapi

Updated: May 31

Kimoport


Rawatan sistemik untuk kanser memerlukan saluran darah yang baik, selamat dan memberi keselesaan buat pesakit. Jika anda perlu menjalani kimoterapi, mungkin anda pernah mendengar doktor atau jururawat mencadangkan anda memasang kimo port ( chemoport atau "port-a-cath") untuk membantu prosedur kimoterapi anda.

Reaksi yang kami biasa lihat dari pesakit adalah “ Apa, masukkan alat ke dalam badan? perlu pembedahan lagi? Tak naklah doktor!”

Mari kita bincangkan apakah kimo port dan kegunaannya pada pesakit kanser yang perlu menjalani kimoterapi.  


Fig 1. Kimoport



Apakah kimoport?


Kimoport adalah sejenis alat seperti disk yang diperbuat dari plastik atau besi, bersaiz sebesar duit 20 sen dan di implan di bawah kulit di bahagian sebelah atas dada, berdekatan dengan tulang selangka ( clavicle). Ia mempunyai tiub panjang tapi kecil dipanggil ‘catheter” yang disambungkan terus ke salur darah utama sebelum sampai ke atas atrium jantung  ( rujuk Fig. 3). Selain didada, kimoport boleh juga di pasang di lengan tetapi permukaan dada adalah yang paling sesuai dan kerap digunakan.


Walaupun dipanggil kimoport ( kimo-untuk kimoterapi), ia adalah alat untuk memudahkan pemberian bukan sahaja kimoterapi tetapi apa-apa rawatan secara intravena (IV) seperti saline, tranfusi darah atau susu nutrisi kerana ia boleh di suntik terus ke kimoport dan mengalir terus ke dalam darah.  Jururawat hanya perlu mencucuk jarum ke permukaan tengah kimoport yang sebesar duit 5 sen, dinamakan septum atau diagram( rujuk gambar 1) . Setiap port mempunyai diafram yang boleh dicucuk sebanyak 1000-2000 kali seumur hidup jadi ia diciptakan tahan lasak dan untuk kegunaan jangkamasa panjang.

Jarum yang digunakan untuk mencucuk kimoport juga istimewa iaitu dipanggi "Huber Needle" yang berbentuk "L" seperti gambar dibawah ( Fig 2)

Fig 2. Huber needle


Apakah kelebihan kimoport?

1. Berasa lebih selesa- saluran IV di tangan atau lengan semasa kimoterapi tidak diperlukan langsung

2. Boleh digunakan un5uk pengambilan darah  bagi ujian makmal sebelum kimoterapi atau untuk indikasi lain

3. Lebih selamat kerana risiko infusi ubat keluar dari saluran darah dan memasuki tisu sekitarnya ( "leak" atau "extravasation") lebih rendah berbanding saluran IV.

4. Rasa sakit sewaktu jarum dicucuk boleh dikurangkan dengan menyapu krim anaestetik setempat seperti lidocaine atau EMLA sebelum jarum dicucuk. Ini berbeza dengan saluran IV kerana salur vena mana yang akan dicucuk setiap kali kimoterapi tidak boleh dipastikan awal.

5. Masa untuk mencari saluran vena dan menyediakan lengan bagi pengaliran kimoterapi dengan selamat dapat dikurangkan.

6. Tiada kesan lebam di tangan atau tanda kegelap-gelapan di lengan dimana salur darah dicucuk.

7. Hanya memerlukan cucukan sekali untuk infusi ubat yang diberikan lebih dari sehari.

8. Pesakit boleh mandi seperti biasa kerana port berada di bawah kulit dan risiko jangkitan kuman adalah rendah.

9. Sesuai untuk pesakit yang takut atau fobia pada jarum.


Siapa yang memerlukan kimoport?


Bukan semua pesakit memerlukan kimoport dan bukan semua pesakit dicadangkan memasang kimoport. Perlu atau tidak bergantung kepada beberapa faktor:


1. Jenis ubat kimoterapi yang kaustik pada saluran vena memerlukan kimoport

2. Jenis regimen kimoterapi yang memerlukan “ infusor pump”.

3. Jenis kimoterapi yang boleh diberikan dirumah – penggunaan kimoport lebih selamat berbanding saluran IV yang lebih mudah tercabut, terutama ketika tidur.

4. Jenis regimen kimoterapi yang diberikan banyak atau kerap kali – lebih dari 6 kitaran ubat atau kimoterapi diberikan setiap minggu.

5. Pesakit mempunya salur darah yang terlalu kecil dan sukar di akses.

6. Pesakit perlu menjalani kimoterapi sekali lagi selepas kanser berulang dan trauma dengan jarum atau salur intravena.

7. Pesakit paliatif yang memerlukan infusi sokongan seperti saline, nutrisi dirumah

8. Pesakit pediatrik

9. Pesakit yang sangat takut pada jarum


Berbincanglah dengan pakar onkologi anda mengenai kimoport untuk memastikan jika anda memerlukannya. Keperluan setiap pesakit berbeza.


Bagaimana cara memasukkan kimoport?


Kimoport dimasukkan melalui pembedahan kecil di atas dada. Biasanya ia dimasukkan oleh pakar bedah, pakar bedah vaskular atau pakar radiologi intervensional. Prosedur pemasangan tidak mengambil masa lama dan biasanya pesakit tidak perlu dimasukkan ke wad.

Terdapat pelbagai cara memasukkannya:


1. Dimasukkan sewaktu pembedahan utama dilakukan. Contoh sewaktu pembedahan mastektomi, kimoport juga dipasang sementara pesakit di bawah anaestesia.

2. Sebagai prosedur individu di bawah anestesia

3. Sebagai prosedur rawatan harian


Disk port selalunya di pasang di dada walaupun ada juga kimoport di pasang dibahagian atas lengan pesakit. Sewaktu pemasangan kimoport, doktor akan membuat ‘incision” kecil lebih kurang 1-2 inci di atas dada untuk memasukkan disk port. Saluran catheter dari kimoport disk di bawah kulit di unjurkan ke pangkal leher dan dicucukkan pada salur vena dan disalurkan terus ke atas jantung.  XRAY dada akan dilakukan selepas kimoport selesai dipasang bagi memeriksa posisi catheter.

Yang pentng port dipasang dibawah anaestesia setempat atau penuh dan dibawah kondisi steril jadi anda tidak merasa sakit dan risiko mendapat jangkitan sangat rendah. Setiap pesakit mempunyai parut pada dada dan kadang -kadang terasa ngilu di situ.Pesakit mungkin mengelak dari melakukan aktiviti fizikal melibatkan dada dan tangan di belah kimoport dipasang.

Apa beza kimoport dan PICC?


Mungkin ada yang pernah mendengar tentang line PICC terutama pesakit pediatrik atau hematologi. PICC bermaksud ‘"peripherally inserted central catheter." Ia adalah suatu saluran atau catheter pada saluran vena besar di tangan yang dimasukkan untuk suatu jangkamasa pendek, contohnya antara 6 – 12 minggu. Ia tidak boleh disimpan lama seperti kimoport.

Fig 3. Bagaimana chemoport digunakan


Adakah memasang kimoport boleh menghasilkan apa-apa komplikasi?


Kadar komplikasi dari pemasangan dan pemakaian kimoport adalah rendah. Selalunya ia berhubungkait dengan pendarahan, perubahan posisi catheter, pneumotoraks dan jangkitan kuman.  Jika komplikasi yang serius terjadi seperti bisul, darah beku atau jangkitan dalam darah (sepsis)  kimoport itu harus dikeluarkan. Sepsis adalah rebakan jangkitan kuman di dalam darah ke seluruh badan yang serius dan boleh membahayakan nyawa.

Kadang-kadang berlaku masalah ia tak dapat diguna seperti tiada "back flow" atau tersumbat. Jururawat sudah dilatih untuk tidak memaksa ubat kedalam port. Ini kerana dikhuatiri akan berlaku komplikasi seperti extravasation, embolism atau catheter pecah. Jangan risau kerana masalah-masalah ini tidak kerap berlaku dan pemantauan oleh pakar onkologi dan jururawat yang berpengalaman boleh mengatasi kebanyakan masalah seperti ini daripada terjadi.



Figure 4. Kimoport dikeluarkan setelah ia bengkok dan patah atau" fractured"



Fig 5. kawasan kimoport kelihatan kemerahan akibat radang dan jangkitan


Flushing kimoport


Selepas kimoterapi tamat, ada kimoport yang perlu ‘chemoport flushing” bagi memastikan ia kekal berfungsi. Ia boleh dilakukan mengikut jenis port dengan kebiasaannya antara 3 atau 6 bulan sekali dan maklumat ini boleh didapatkan dari doktor atau ahli pasukan yang merawat anda. Dalam proses ini, sedikit air saline atau saline berheparin disalurkan kedalam port buat seketika dan ini boleh dilakukan di pusat rawatan harian dan tidak memakan masa yang panjang.  Kimoport boleh dikeluarkan selepas beberapa tahun tamat kimoterapi seandainya ia tidak diperlukan lagi.


rengsa pada kulit sekitar kimoport

Apakah symptom-simptom jika kimoport bermasalah?


Kadang-kadang walaupun pesakit menjaga diri dan kimoport dengan sangat baik, masih terdapat beberapa masalah pada port. Jangan risau akan perkara ini dan seboleh-bolehnya jangan bertangguh berjumpa doktor sekiranya mana-mana ini berlaku :


1. Kawasan sekeliling kimoport kemerahan, terasa panas  dan bengkak.

2. Terasa sakit pada port

3. Pendarahan dari port atau kawasa sekelilingnya

4. Kimoport kelihatan terkeluar dari kulit

5. Kawasan sekeliling port seperti terbakar

6. Badan dan kepala terasa ringan atau “light headed/ dizzy”

7. Dada terasa berdebar-debar ( palpitation)

8. Demam berpanjangan tanpa diketahui puncanya



Fig 6. XRAY menunjukkan bahagian catheter kimoport yang tersepit ( kinked)


Adakah kimoport harus dibuang selepas kimoterapi?


Kimoport boleh disimpan bertahun-tahun selagi chemoport flushing dijalankan dan pesakit selesa dengannya. Namun ia boleh dibuang selepas kimoterapi tamat bergantung pada indikasinya. Ia dibuang malalui pembedahan kecil dibawah pengaruh anestesia. Ada pesakit yang mahu menyimpannya untuk beberapa tahun dan ada juga yang tidak suka untuk dicucuk di tangan lagi pada masa akan datang dan membuat keputusan menyimpannya selama-lamanya. Ianya terpulang kepada pesakit untuk membuat keputusan samada mahu menyimpan atau membawa kimoport keluar dari badan.


Adakah kimoport mengganggu tugas dan kehidupan seharian?


Pada mula-mula dipasang mungkin terdapat perasaan tidak selesa tapi lama kelamaan kebanyakan pesakit akan biasakan diri dan tidak terganggu akan kehadiran kimoport didada mereka. Oleh kerana ia dibawah kulit mereka boleh mandi, berenang, bersukan dan lakukan apa-apa jua yang dihajati. Ia tidak menggangu selera makan, tidur, aktiviti seks atau memandu. Ada yang mengatakan kimoport mengingatkan mereka kepada kaser namun majoriti pesakit dapat hidup bersama kimoport seperti biasa.



Gambar hiasan : Ms. Kyrzayda Rodriguez seorang fashion blogger yang terkenal memakai kimoport di dada kiri semasa menjalani rawatan kanser perut beliau.


Dr. Mastura Md Yusof Consultant Clinical Oncologist

PHKL & SJMC



Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya

863 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com

Info Kanser dan Kesihatan