• Dr Mastura Md Yusof

Kimoterapi Untuk Kanser Kolorektal Tahap 2 & 3


Kanser pada usus besar yang telah dikeluarkan

Apabila luka pembedahan telah pulih, anda akan berjumpa dengan pakar onkologi. Konsultasi ini penting untuk anda fahami akan pilihan rawatan dan berbincang mengenai kanser, prognosis dan apakah rawatan sistemik yang perlu dilakukan. Sudah tentu terdapat pelbagai perkara yang dibimbangkan termasuk samada luka telah benar-benar pulih, perlukah kimoterapi dan samada boleh tahan dengan kesan sampingan dan sebagainya. Semua isu ini boleh dibincangkan dengan pakar onkologi anda. Ia bukan suatu keputusan yang mudah diambil. Semestinya pakar onkologi juga tidak akan menawarkan kimoterapi seandainya tiada indikasi yang kukuh. Ambil masa yang cukup untuk memahami dan membuat keputusan terbaik untuk diri anda.


Bukan semua dinasihatkan menjalani kimoterapi. Kanser kolorektal tahap satu tidak memerlukan kimoterapi adjuvan. Pembedahan dan rawatan susulan sahaja sudah memadai. Ada dikalangan pesakit tahap 2 yang dilarang mengambil kimoterapi.

Kita akan rungkaikan semua kumpulan rawatan ini satu persatu pada topik ini.


Seperti yang diketahui di artikel terdahulu, kimoterapi adalah rawatan menggunakan ubat untuk mematikan sel kanser. Ia sejenis terapi “sistemik” bermakna ubat yang diberi akan menular ke semua bahagian badan. Ubat boleh diberikan secara oral (pil), melalui salur vena di tangan (IV) atau pada kimoport.

Rawatan kimoterapi selepas pembedahan diberikan dengan tujuan untuk mematikan sel kanser mikroskopik yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan boleh berada di mana-mana sahaja pada badan.



Antara objektif kimoterapi pada kanser kolorektal tahap 2 dan 3 adalah:

  • Mematikan sel kanser pada badan yang mungkin tertinggal selepas pembedahan jadi mengurangkan risiko kanser berulang (adjuvant chemotherapy)

  • Mengecutkan kanser sebelum pembedahan (neoadjuvant chemotherapy)

  • Membantu supaya pembedahan bagi kanser rektum lebih mudah dilakukan

  • Mengurangkan risiko perlu memakai beg stoma sepanjang hayat

  • Mengurangkan risiko kanser berulang setempat

Antara faktor-faktor yang dinilai sebelum kimoterapi ditawarkan adalah

  1. Tahap kanser

  2. Tahap fizikal pesakit

  3. Penyakit -penyakit lain

  4. Umur tua dan keuzuran

  5. Ciri biologi kanser

  6. Pilihan pesakit

Jenis-Jenis Kimoterapi


Kimoterapi diberikan dalam kitaran (cycle). Setiap kitaran mempunyai hari rawatan dan hari rehat untuk membolehkan tubuh pulih dari kesan rawatan. Kitaran kimoterapi dalam kanser kolorektal tahap 2-3 biasanya 2 atau 3 minggu sekali.

Rejim kimoterapi tahap 2 dan 3 berbeza tetapi berasaskan ubat fluoropyrimidine dan oxaliplatin. Ubat flouropyrimidine boleh diberikan sebagai terapi solo (monotherapy), sebagai terapi kombinasi dengan oxaliplatin atau diberikan bersama-sama radioterapi (concurrent chemoradiotherapy) bagi kanser rektum:

Durasi kimoterapi samada selama 3 bulan atau 6 bulan. .


Contoh ubat Flouropyrimidine:


1. IV 5-fluorouracil (5FU). Biasanya ubat folinic acid (leucovorin)diberikan bersama-sama 5FU supaya 5FU menjadi lebih efektif.

2. Pil Capecitabine ( xeloda)

Ubat pil yang diambil sebanyak 3-4 biji sekali makan, dua kali sehari selama 14 hari dlm kitaran setiap 3 minggu.

Berikut adalah contoh jenis kombinasi kimoterapi :


3. FOLFOX – leucovorin, 5-fluorouracil dan oxaliplatin.

Ubat IV oxaliplatin diberikan dikuti oleh 5-Flourouracil secara infusi berterusan melalui kimoport dan pam di rumah atau secara bermalam di hospital.

kimoport dan pam infusor

Regimen ini diberikan selama 6-12 kali dalam waktu 3-6 bulan mengikut indikasi kimoterapi.


4. CAPOX atau XELOX – capecitabine dan oxaliplatin.

Ubat IV oxaliplatin dikuti oleh pengambilan pil capecitabine 2 kali sehari untuk 2 minggu dan kitaran diulang setiap 3 minggu. Regimen ini diberikan selama 4-8 kali dalam waktu 3-6 bulan mengikut indikasi kimoterapi.

Regimen kimoterapi yang diberikan bersama radioterapi :

· Capecitabine sebanyak 2 kali sehari , setiap hari sepanjang 5 minggu radioterapi


· 5Floururacil dan Folinic acid diberikan sebagai IV bolus pada 5 hari pertama dan 5 hari terakhir sepanjang 5 minggu radioterapi.


Kesan sampingan dari ubat kimoterapi capecitabine

Kesan Sampingan Kimoterapi


Ubat kimoterapi bekerja dengan membunuh sel-sel di dalam badan yang membiak dengan cepat namun ada sel normal pada badan yang sentiasa membiak seperti rambut, sum sum tulang, lapisan dalam usus yang akan terkesan oleh tindakan kimoterapi.


Namun, kesan sampingan setiap pesakit atau setiap ubat adalah berbeza-beza. Kesan sampingan boleh berlaku pada mana-mana regimen kimoterapi. Ia boleh berlaku pada jangkamasa akut, pendek dan panjang. Antara kesan sampingan yang kerap berlaku adalah :

· Kurang sel darah

· Cirit

· Letih

· Loya/muntah

· Ulser mulut

· Kulit kering

· Hand and foot syndrome -Kulit pada tangan dan kaki menjadi kering, kemerahan dan mengelupas. Biasa dilhat denga capecitabine tapi boleh berlaku pada 5FU juga.

· Rengsa kulit

· Mata berair

· Neuropati – kebas pada kaki, tangan dan bibir – disebabkan oxaliplatin

· Sensitif pada tempat, suhu, makanan atau benda sejuk – disebabkan oxaliplatin.


Kimoterapi untuk Kanser Tahap 2


Kanser kolorektal tahap 2 terdiri daripada kumpulan berisiko rendah ( low risk) atau berisiko tinggi( high risk). Kumpulan berisiko tinggi mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor yang meninggikan risiko kanser berulang seperti berikut :


Ciri-Ciri Klinikal

Usus tersumbat atau pecah ketika diagnosis

Kadar CEA yang kekal lebih tinggi dari aras normal selepas pembedahan


· Ciri- Ciri Patologi ( dilihat pada laporan patologi)

  • High grade (grade)

  • Kanser tahap 2B (T4N0M0) -kanser menembusi dinding usus dan merebak setempat ke organ berhampiran seperti usus kecil atau pundi kencing

  • Kurang dari 12 biji kelenjar limfa dikeluarkan semasa pembedahan

  • “Lymphovascular and perineural invasion” -terdapat sel kanser pada saluran limfatik, salur darah atau saraf pada spesimen

  • Margin positif -masih terdapat saki baki kanser di bahagian yang dipotong


Kajian klinikal menunjukkan peningkatan survival jika kimoterapi adjuvan diberikan tetapi ia harus diseimbangkan dengan potensi kesan-kesan sampingan kanser selain tahap kesihatan pesakit. Anda harusmembincangkan mengenai kimoterapi adjuvan dan membuat keputusan yang baik untuk diri anda.


Regimen kimoterapi yang biasa ditawarkan pada Tahap 2 yang berisiko adalah

  1. Ubat capecitabine selama 8 kitaran dalam masa 6 bulan

  2. IV 5 Flourouracil dan Folinic acid sebanyak 6 kitaran dalam masa 6 bulan

  3. IV 5 Flourouracil dan Folinic acid secara infusi berterusan selama 6 bulan

  4. IV 5 Flourouracil dan Folinic acid seminggu sekali selama 6 bulan

  5. IV XELOX atau FOLFOX - pesakit Tahap 2B (pT4N0M0) mungkin ditawarkan kimoterapi ini, sama seperti tahap 3

Siapakah yang dilarang mengambil kimoterapi ?

Selain tahap kanser ( stage), jenis biologi kanser juga boleh menentukan prognosis kanser dan rawatan yang diberikan.

Terdapat sekumpulan kecil pesakit kanser Tahap 2 yang mendapat kanser akibat mutasi pada gen yang dikenali sebagai Microsatellite Instability High (MSI-H). Ia boleh berlaku secara sporadik atau diwarisi di dalam keturunan dan dikesan melalui ujian pada tisu kanser. Biasanya pesakit agak muda dan mempunyai sejarah kanser usus dalam keluarga. Namun, kanser ini didapati tidak agresif dan pesakit tidak memerlukan kimoterapi selepas pembedahan.


Terdapat beberapa ujian profil DNA yang mungkin ada dilakukan oleh segelintir pesakit untuk menentukan samada kanser seseorang berisiko tinggi untuk berulang seperti contoh Oncotype DX Colon Cancer Assay atau Coloprint namun ia tidak dapat menjangkakan dengan tepat akan risiko berulang bagi setiap kanser. Harganya juga mahal jadi ia tidak digunakan secara meluas.


Kimoterapi untuk Kanser Tahap 3


Berdasarkan kajian klinikal, kanser kolorektal tahap 3 memerlukan kimoterapi adjuvan untuk mendapat survival lebih baik selepas pebedahan. Sejak 15 tahun dahulu rejim kimoterapi berasaskan ubat oxaliplatin dan fluoropyrimidine iaitu rejim FOLFOX atau XELOX selama 6 bulan bagi mereka yang mempunyai tahap kesihatan yang baik seperti di bawah:


Bolehkah kitaran kimoterapi dipendekkan dari 6 bulan ke 3 bulan?

Sedekad yang lalu, penyelidik mendapati yang kesan sampingan daripada pemberian ubat oxaliplatin selama 6 bulan iaitu neuropati, ulser, cirit-birit dan neutropaenia sukar diatasi oleh pesakit. Disamping itu terdapat kumpulan pesakit di dalam tahap 3 yang berisiko lebih rendah contohnya mereka yang mempunyai bilangan kelenjar limfa yang mengandungi sel kanser yang agak skecil ( 3 atau kurang dari 3).

Kajian klinikal bagi menguji samada pemberian rejim FOLFOX atau XELOX selama 3 bulan dapat memberikan efek keberkesanan yang sama tapi pada kadar kesan sampingan yang lebih rendah telah menunjukkan bahawa ada golongan pesakit yang boleh dirawat selama 3 bulan sahaja.

Kimoterapi adjuvan selama 3 bulan kini boleh diaplikasikan pada pesakit yang menepati indikasi seperti saranan dari Garis Panduan Antarabangsa. Anda boleh berbincang akan faktor-faktor ini dengan pakar onkologi anda.


Bagaimana hendak memilih FOLFOX atau XELOX. Mana yang lebih baik?

Tidak terdapat mana-mana kajian yang membandingkan 2 regimen ini secara langsung. Kedua-duanya mempunyai keberkesanan yang sama bagus. Yang berbeza adalah bentuk rawatan, durasi kitaran kimoterapi, jumlah kimoterapi dan keperluan kimoport untuk regimen FOLFOX berbanding XELOX serta kesan sampingan ubat yang sedikit berbeza antara capecitabine dan 5FU.

Pakar onkologi anda boleh memberikan nasihat yang bersesuaian mengikut ciri-ciri dan keperluan anda. Diharap anda memperolehi sedikit sebanyak ilmu dan tidak khuatir atau gentar untuk melalui perawatan ini.


Dr Mastura Md Yusof

Consultant Clinical Oncologist

Pantai Hospital KL & SJMC



Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com

Info Kanser dan Kesihatan