• Dr Natasha Mohd Hashim

Kemoterapi Untuk Kanser Payudara

Updated: Jun 16


Kemoterapi Untuk Kanser Payudara


Kemoterapi merupakan satu stigma di dalam perawatan kanser. Kebanyakan pesakit yang enggan mendapatkan rawatan untuk kanser payudara adalah kerana takutkan rawatan kemoterapi. Malah pesakit kanser sering ditakut-takutkan dengan kesan sampingan yang teruk sehingga pesakit sanggup menahan diri daripada mendapatkan rawatan! Mari kita tambah pengetahuan mengenai kimoterapi, mengapa kimoterapi diperlukan di dalam pelan perawatan kanser dan bagaimanakah untuk menangani kesan sampingan rawatan ini.

Apakah Kemoterapi?

Kemoterapi ialah ubat-ubatan yang digunakan untuk menghapuskan sel-sel kanser dengan menghalang sel-sel kanser daripada terus membesar dan membiak. Kemoterapi biasanya diberi melalui salur darah (IV-intravenous) tetapi terdapat juga ubat kemoterapi berbentuk pil ( oral tablet). Melalui salur darah, ubat-ubatan ini boleh disebarkan ke seluruh badan iaitu ke organ-organ yang sering diserang oleh sel-sel kanser untuk membiak iaitu tulang, paru-paru dan hati. Oleh kerana rawatan kemoterapi bertindak terhadap sel-sel kanser di seluruh badan, maka rawatan kemoterapi dipanggil rawatan sistemik.

Kanser Payudara Tahap Awal ( Stage 1,2,3 )

Untuk kanser payudara tahap awal, pakar onkologi akan meneliti laporan patologi pembedahan pesakit. Bagi pesakit-pesakit yang dirasakan mempunyai risiko yang tinggi untuk kanser berulang dan merebak, rawatan kemoterapi akan dicadangkan untuk menghapuskan sel-sel kanser yang mungkin telah tersebar tetapi masih terlalu kecil untuk dikesan melalui CT scan/PET CT scan. Di dalam bahasa perubatan, sel-sel kanser yang masih kecil ini digelar “micrometastasis.” Setiap ketulan sebesar 1 cm yang dapat dilihat di dalam CT scan, harus terdapat 1000 juta sel yang berkumpul untuk membentuk ketulan itu. Oleh itu, sel-sel kanser yang tersebar kurang dari jumlah 1000 juta sel sukar dilihat di dalam imbasan scan.

Pesakit Manakah Yang Mempunyai Risiko Yang Tinggi Untuk Kanser Berulang?

Berikut merupakan antara faktor-faktor yang diambil kira sebelum kemoterapi dicadangkan. Selain faktor-faktor di bawah beberapa faktor lain seperti keadaan fizikal pesakit dan sejarah penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, strok juga akan diambil kira.

1. Kanser yang telah merebak ke kelenjar limfa di ketiak (faktor utama dan yang paling penting)

2. Kanser payudara triple negatif (TNBC)

3. Kanser payudara HER-2 positif

4. Grade kanser yang tinggi (II-III)

5. Saiz tumor yang besar

6. Kanser yang dikesan sudah memasuki salur darah , salur limfa atau saraf yang dilihat di bawah mikroskop (di dalam laporan patologi pembedahan)

7. Usia pesakit - semakin muda usia pesakit, semakin agresif kanser

Matlamat pemberian kemoterapi bagi tahap awal kanser payudara adalah untuk mendapatkan penyembuhan maksima (curative intent). Di dalam data klinikal antarabangsa, pemberian kemoterapi untuk wanita-wanita berisiko tinggi boleh mengurangkan risiko kanser berulang, seterusnya memanjangkan jangka hayat seseorang pesakit. Sebelum keputusan untuk memberi kemoterapi itu dibuat, biasanya doktor akan menimbangtara antara faedah yang boleh dicapai dan juga kesan sampingan rawatan. Kemoterapi hanya dicadangkan hanya jika faedahnya lebih tinggi dari risiko kesan sampingan.

Kemoterapi juga dapat diberikan kepada pesakit kanser payudara untuk mengecilkan kanser yang terlalu besar sebelum pembedahan boleh dilakukan. Apabila kanser payudara didapati terlalu besar, pembedahan tidak dapat dilakukan dengan sempurna dan berkemungkinan akan ada sel kanser yang akan tertinggal. Kadang kala, pembedahan kanser yang mengekalkan payudara tidak boleh dilakukan kerana kanser terlalu besar atau payudara terlalu kecil. Di dalam situasi berikut, kemoterapi dapat membantu untuk pembedahan yang mengekalkan payudara dapat dilakukan.

Biasanya kemoterapi dilakukan selepas pembedahan, tetapi kemoterapi yang dijalankan sebelum pembedahan memberi lebih banyak maklumat kepada pakar kanser anda mengenai sifat kanser itu terhadap rawatan kemoterapi yang diberi dan rawatan kemoterapi dapat diolah mengikut respon terhadap kimoterapi tertentu. Sentiasa berbincang dengan doktor anda mengenai pilihan-pilihan yang ada.

Kanser Payudara Tahap 4 (Stage 4 Metastatik)

Bagi pesakit kanser payudara tahap 4, pemberian kemoterapi bertujuan untuk mengawal pertumbuhan sel-sel kanser untuk jangka masa tertentu tetapi ia tidak menyembuhkannya. Pengawalan sel-sel kanser daripada terus aktif ini akan mengurangkan simptom-simptom seperti batuk, kesukaran bernafas, sakit tulang, kurang selera makan dan sebagainya yang menyebabkan pesakit menderita. Dengan pemberian kemoterapi, simptom-simptom yang mengganggu pesakit dapat dikurangkan dan ini meningkatkan kualiti hidup pesakit dan menjadikan mereka lebih selesa.

Seperti yang dijelaskan di atas, kemoterapi ialah rawatan yang sesuai untuk kanser tahap 4 yang sudah merebak ke beberapa organ badan kerana kemoterapi akan beredar melalui salur darah ke seluruh badan dan mengawal sel-sel kanser di organ-organ yang jauh daripada payudara.

Jenis-Jenis Kemoterapi Yang Biasa Digunakan

Terdapat banyak jenis kemoterapi yang biasa digunakan di klinik onkologi. Kebiasaannya, kombinasi kemoterapi (gabungan 2-3 jenis kemoterapi) merupakan pilihan untuk kanser tahap awal. Kombinasi ini dipanggil rejim di dalam bahasa perubatan. Terdapat beberapa rejim di mana durasi dan jumlah ubat yang digunakan di dalam setiap rejim adalah berbeza. Kemoterapi yang biasa digunapakai di klinik onkologi adalah seperti berikut

1. Doxorubicin/epirubicin

2. Cyclophosphamide

3. 5FU

4. Docetaxel

5. Paclitaxel/Albumin-bound paclitaxel

6. Cisplatin/carboplatin

7. Gemcitabine

8. Eribulin

9. Capecitabine

10. Vinorelbine

Kemoterapi biasanya diberi setiap 3 minggu di kebanyakan fasiliti. Untuk pesakit-pesakit tertentu, kemoterapi diberi setiap dua atau setiap minggu. Pakar onkologi akan menentukan regim yang sesuai untuk setiap pesakit.

Rawatan kemoterapi adalah bersifat individual – ini bermaksud, pakar onkologi akan menilai pesakit dan merujuk kepada sejarah penyakit terdahulu, laporan patologi, laporan CT scan, rawatan-rawatan yang pernah diterima dan keadaan fizikal pesakit sebelum memilih kemoterapi yang sesuai. Oleh itu, anda tidak boleh membandingkan rawatan anda dengan rawatan orang lain.


Kesan Sampingan Kemoterapi Dan Tips Menanganinya

Kesan sampingan kimoterapi berlaku kerana kemoterapi akan memberi kesan kepada sel-sel yang membahagi dengan cepat seperti sel rambut, sel darah, sel kuku dan kulit dan sel yang menyelaputi saluran pemakanan. Sel-sel normal ini juga akan terganggu fungsinya tetapi sel-sel normal ini mampu untuk dibaikpulih lebih cepat dan efisyen berbanding dengan sel kanser yang tidak berupaya untuk membaik pulih kerosakan yang diakibatkan oleh kimoterapi. Kesan sampingan juga kebanyakannya adalah bersifat sementara. Jadi mitos bahawa kemoterapi membunuh semua sel baik adalah tidak benar.

Kesan sampingan oleh kemoterapi kebanyakannya boleh diatasi dengan baik dengan ubat-ubat sokongan untuk membantu untuk pencegahan sebelum kesan-kesan itu berlaku. Ubat -ubat sokongan untuk kesan sampingan kemoterapi juga telah bertambah dengan banyak dan menyenangkan perawatan kemoterapi zaman ini. Malah, kebanyakan pesakit boleh terus pulang ke rumah selepas kemoterapi bersama ubat-ubatan yang akan dibekalkan untuk mengurangkan kesan sampingan untuk diambil di rumah. Sebelum setiap kali kemoterapi dijalankan, doktor akan memeriksa sama ada pesakit boleh menangani kesan sampingan kimoterapi yang diberi, dan melakukan penambahbaikkan di dalam pemberian ubat sokongan.


Muntah dan Loya

Muntah dan loya merupakan kesan sampingan yang paling kerap dialami oleh pesakit kanser selepas kemoterapi. Kebiasaannya pesakit hanya mengalami loya, jarang ada yang muntah. Muntah dan loya biasanya terjadi pada 2-3 hari pertama selepas kemoterapi. Kebiasaannya pesakit hanya mengalami kurang selera makan pada minggu pertama dan selera kembali normal pada minggu ketiga selepas kimoterapi. Walaubagaimanapun, bagi sesetengah pesakit, loya dan muntah boleh berpanjangan sehingga 5-8 hari. Berbincanglah dengan doktor anda supaya ubat tahan muntah yang lebih kuat boleh diberi.

Terdapat banyak ubat-ubatan sokongan untuk mengurangkan perasaan loya dan muntah pada masa kini dibandingkan dengan zaman dahulu. Oleh itu, muntah dan loya dapat dikawal dengan berkesan dengan ubat-ubatan baru ini.

Tips :

· Elakkan makanan berat 2 jam sebelum dan selepas kemoterapi

· Makan dengan kuantiti makanan yang kecil, tetapi lebih kerap

· Cuba untuk minum dengan lebih kerap

· Makan dan minum dengan perlahan, jangan gelojoh

· Minum atau makan makanan yang berasaskan halia untuk mengurangkan rasa loya

· Elakkan makan makanan yang pedas, berminyak dan bergoreng

· Elakkan makanan yang terlalu manis


Keguguran Rambut

Keguguran rambut biasanya menjadi kegusaran pesakit yang harus melalui kemoterapi dan penyebab kemurungan. Inilah kesan sampingan yang paling mengganggu emosi pesakit; walaupun pesakit itu bertudung. Namun begitu, keguguran rambut ialah proses yang tidak menyakitkan; dan rambut anda akan tumbuh semula, jangan khuatir!

Rambut akan mula gugur selepas 2 hingga 3 minggu selepas kemoterapi pertama. Bagi sesetengah orang, rambut gugur sedikit-sedikit tapi bagi kebanyakan pesakit, rambut gugur segumpal-segumpal dengan banyak. Sesetengah pesakit juga akan mengalami keguguran bulu mata, kening dan bulu ketiak.

Apabila anda selesai menjalani kesemua kemoterapi yang dicadangkan, rambut baru akan tumbuh semula. Biasanya rambut baru adalah lebih lembut tetapi mungkin ia akan berubah warna atau menjadi lebih kerinting.

Tips : Anda boleh memotong pendek rambut anda sebelum kemoterapi. Ini akan mengelakkan perasaan stress melihat rambut panjang anda bersepah-sepah di atas lantai. Pilihlah rambut palsu yang sesuai sebelum rambut anda gugur sepenuhnya. Jika rambut baru sudah tumbuh, elakkan penggunaan shampu terlalu kerap atau mewarna rambut anda. Terdapat banyak skaf-skaf yang menarik boleh digunakan pada waktu ini selain rambut palsu.


Neutropenia – Sel Darah Putih Rendah

Neutropenia ialah keadaan apabila sel darah putin anda sangat rendah. Sel darah putih berfungsi sebagai sebahagian daripada sistem imunisasi badan dan sel darah putih yang rendah mengakibatkan anda senang dijangkiti kuman. Paras sel darah putih adalah terendah pada hari ke 7 hingga hari ke 10 selepas kemoterapi, dan biasanya paras sel darah putih akan pulih ke paras normal pada minggu ketiga selepas kimoterapi. Doktor akan memastikan sel darah putih anda kembali ke paras selamat sebelum memulakan sesi kemoterapi selanjutnya. Kadangkala, doktor akan memberi ubat “booster” untuk menaikkan sel darah putih dengan cepat jika kenaikannya adalah terlalu lambat.

Demam neutropenia berlaku apabila pesakit yang mempunyai neutropenia mengalami demam melebihi 38C. Simptom-simptom lain yang mungkin dialami bersama demam termasuk sakit perut, batuk, ulser mulut, susah bernafas, cirit-birit, kencing berasa panas dan sakit, atau kemerahan di sepanjang vena tempat cucuk kimoterapi. Jika anda mengalami demam, anda harus cepat-cepat ke klinik onkologi untuk pemeriksaan darah dan rawatan antibiotik.

Tips : Untuk mengurangkan risiko mendapat demam neutropenia, anda dinasihatkan untuk

· Sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan rumah anda, terutamanya bilik air dan dapur

· Sentiasa membasuh tangan dengan sabun dan memastikan kuku anda pendek dan dijaga rapi

· Jangan berkongsi cawan, pinggan, sudu/garfu atau apa-apa sahaja barang-barang keperluan peribadi anda seperti berus gigi

· Makanan haruslah dimasak sempurna – tidak boleh memakan makanan separuh masa atau mentah seperti sushi

· Digalakkan memasak makanan di rumah untuk memastikan penyediaan makanan dijaga dari segi kebersihan dan kesempurnaan masakan

· Tidak digalakkan untuk makan di luar

· Tidak digalakkan memakan makanan sisa hari sebelumnya

· Buah-buahan haruslah dipastikan dibasuh bersih sebelum dimakan

· Tidak digalakkan pergi ke tempat ramai orang seperti pasar atau kompleks membeli belah. Pemakaian mask adalah digalakkan

· Memakai sarung tangan jika mengendalikan haiwan peliharaan

· Doktor anda boleh mencadangkan untuk anda diberi suntikan booster darah putih jika anda pernah mengalami demam selepas kemoterapi


Stomatitis – Ulser Mulut

Ulser mulut terjadi kerana kemoterapi bertindak terhadap sel-sel menyelaputi saluran makanan. Ini menyebabkan dinding mulut dan kerongkong mengalami pecah-pecah, menyukarkan anda untuk menelan makanan. Bagaimanapun, ini hanya terjadi terhadap 10-20% sahaja daripada pesakit yang menjalani kemoterapi. Terdapat banyak ubat-ubatan sokongan untuk mengatasi masalah ini. Anda harus memberitahu doktor anda ketika temujanji sebelum kemoterapi agar ubat yang sesuai boleh diberi

Tips

1. Sentiasa memberus gigi dan mulut anda dengan berus gigi paling lembut

2. Banyakkan minum air

3. Kemam atau kulum kiub ais ketika kimoterapi dijalankan untuk mengecutkan salur darah pada mulut dan mengurangkan risiko ulser mulut

4. Elakkan kumur mulut dengan bahan yang berasaskan alkohol

5. Melakukan pemeriksaan gigi dengan lebih kerap

6. Berhenti merokok

7. Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran


Cirit Birit

Cirit- birit boleh terjadi selepas kemoterapi. Anda mengalami cirit-birit jika najis anda berair dan kekerapan membuang air besar lebih dari 3 kali dalam sehari. Jika anda mengalami cirit-birit yang berpanjangan dan badan menjadi lemah, anda harus segera berjumpa doktor.

Tips :

1. Minum air kosong dengan banyak

2. Elakkan makanan yang menyebabkan cirit-birit - makanan berminyak, makanan berempah dan pedas, makanan berasaskan tenusu, kopi

3. Makan sedikit tetapi kerap

4. Ada ubat yang boleh mengurangkan cirit-birit yang boleh diberi oleh doktor anda


Kebas Hujung Jari Tangan Dan Kaki

Kebas hujung jari tangan dan kaki adalah disebabkan kimoterapi yang bertindak ke atas saraf-saraf kecil. Selain daripada kebas, sakit seperti dicucuk pin atau jarum, perasaan pijar dan lenguh boleh juga dirasai. Kesan ini lebih dirasai oleh pesakit yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis. Jika kesan ini membuatkan pesakit tidak mampu membuatkan kehidupan pesakit selesa, doktor akan meneliti semula perawatan kimoterapi tersebut. Anda juga akan dirujuk ke pakar rehabilitasi untuk fisioterapi. Bagi kebanyakan pesakit, kesan ini adalah sementara, tetapi terdapat juga yang mengalami kesan ini dalam jangka masa panjang.

Tips :

1. Sentiasa melakukan senaman ringan dan senaman genggaman dengan bola lembut

2. Elakkan suhu ekstrem yang boleh membuatkan kesan ini lebih parah

3. Sentiasa melakukan pemeriksaan jika terdapat luka-luka kecil pada bahagian-bahagian yang mengalami kebas


Haid

Selepas kemoterapi, haid anda mungkin akan jadi tidak teratur atau terhenti. Bagi pesakit yang masih muda, haid mungkin akan datang semula selepas beberapa bulan. Tetapi bagi sesetengah orang, haid akan mengambil masa yang lebih lama untuk datang semula, kadang-kala sehingga 1-2 tahun. Bagi pesakit yang menghampiri menopaus, kebiasaannya haid akan terhenti terus. Walaubagaimanapun, pesakit harus diingatkan untuk tidak mengandung semasa kimoterapi sehingga beberapa tahun selepas kimoterapi. Sentiasa berbincang dengan doktor anda jika anda merancang untuk mengandung.


Darah Platelet ( darah pembeku ) Rendah


Ini terjadi jika tulang sum-sum tidak mampu untuk menghasilkan darah platelet dengan cukup. Jika darah plaetlet anda terlalu rendah, doktor akan menyarankan untuk kemoterapi ditunda atau dos dikurangkan.

Kurang Darah Merah


Ini terjadi jika tulang sum-sum tidak mampu untuk menghasilkan darah merah dengan cukup. Ini juga boleh terjadi jika pengambilan nutrisi yang tidak cukup oleh pesakit. Ini boleh diatasi dengan pengambilan supplemen zat besi atau jika darah merah terlalu rendah, pemindahan darah dapat dilakukan.


Kerosakan Jantung

Kemoterapi seperti doxorubicin, epirubicin boleh mengakibatkan kerosakan jantung dan di dalan jangka masa panjang, lemah jantung boleh terjadi. Risiko ini lebih tinggi jika anda mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis atau masalah jantung. Doktor anda akan memastikan jantung anda diperiksa dahulu sebelum memulakan rawatan dan memastikan keadaan jantung anda baik. Doktor juga akan memastikan untuk mengawal agar dos ubat kemoterapi tidak diberi berlebihan dan memantau keadaan jantung anda dari semasa ke semasa.


Demikianlah penjelasan mengenai sebahagian kesan-kesan sampingan yang biasanya dialami oleh pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi. Sentiasa berbincang dengan doktor yang merawat anda setiap kali temujanji sebelum kemoterapi supaya kesan-kesan sampingan dapat dikurangkan dengan ubat-ubat sokongan. Kebiasaannya kesan sampingan dapat ditangani dengan mudah, jangan khuatir atau gusar. Yang paling penting ialah komunikasi yang baik antara anda dan perawat anda, masalah akan dapat diatasi dengan baik.


Dr Natasha Mohd Hashim

Pakar Onkologi

KPJ Johor

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com