• Dr Mastura Md Yusof

Lelaki dan Kanser Payudara


Pernahkah anda mendengar mengenai kanser payudara di kalangan lelaki di Malaysia? Pada tahun 2003 dan 2005, sebanyak 257 kes kanser payudara lelaki dilaporkan di Daftar Kanser Kebangsaan ( National Cancer Registry Report).

Lebih dari 90% berlaku pada lelaki berusia 50 tahun ke atas.

Kanser payudara lebih 100 kali lebih kerap berlaku pada wanita dari lelaki namun bukan sahaja lelaki tetap tidak terkecuali daripada risiko menghidap kanser payudara tetapi apabila ia berlaku pada kaum lelaki, tahap kanser pada mula-mula dikesan adalah lebih tinggi.

Kenapa ini berlaku?

Ketulan pada payudara lelaki selalunya diabaikan ketika ia kecil dan pesakit berjumpa doktor hanya setelah mengalami lain-lain simptom akibat kanser yang makin parah. Rutin pemeriksaan payudara di kalangan lelaki atau ujian saringan payudara lelaki memang tiada jadi ini akan menyebabkan kanser menjadi lebih “advanced” pada saat mengetahuinya. Tiada lelaki yang akan menyangka mereka menghidap penyakit ini, jadi mereka tidak melakukan pemeriksaan kesihatan meskipun mereka menyedari terdapat ketulan pada payudara mereka. Selain tiada pendedahan dan kurang kesedaran mengenainya dikalangan kaum lelaki, diagnosis juga lewat dilakukan kerana stigma atau perasaan malu.


Apakah kanser payudara lelaki?

Ia adalah sama seperti kanser payudara wanita. Yang berbeza adalah tisu payudara lelaki lebih kecil dan terdapat di belakang puting lelaki.

Jenis yang paling kerap berlaku ialah ductal carcinoma dan ia boleh merebak ke kelenjar limfa di ketiak semasa diagnosis, sama seperti wanita.


Apakah simptom-simptom kanser payudara lelaki?


Ketulan pada payudara, berdekatan dengan puting adalah simptom paling tipikal. Biasanya ia tidak sakit tetapi agak ketara kerana payudara lelaki kecil.

Selain daripada ketulan, simptom -simptom lain adalah seperti berikut:

  • Kulit dibahagian payudara atau putting menebal

  • Perubahan pada bentuk payudara

  • Ruam atau rengsa pada kulit di bahagian payudara atau puting

  • Perubahan pada puting, puting tertarik ke dalam atau berubah warna

  • Puting berdarah atau keluar lelehan

  • Ketulan pada ketiak ( kelnjar limfa bengkak)

Oleh kerana kanser ini jarang berlaku dan kita tidak tahu penyebab kanser payudara di kalangan lelaki berlaku maka pengesanan awal dan rawatan pada peringkat awal kanser adalah yang paling wajar bagi mengawalnya.


Antara faktor-faktor meninggikan risiko kanser payudara pada lelaki adalah seperti berikut :

1. Penuaan ( aging process)

Kanser payudara dikalangan lelaki kebiasaannya berlaku kepada golongan lelaki yang lebih tua sekitar, lebih dari 50 tahun, biasanya sekitar 60 an.


2. Sejarah keluarga mempunyai kanser payudara di kalangan lelaki atau wanita atau kanser ovari di kalangan wanita dalam keluarga

Sesetengah lelaki mewarisi genetik tidak normal (mutasi) dari ibu bapa sekaligus meningkatkan lagi risiko terhadap penyakit ini. Sebagai contoh mutasi BRCA.

Bacaan lebih lanjut mengenai mutase BRCA dan kanser boleh dibaca di sini.


3. Hormon

Faktor epidemiologi menunjukkan terdapat hubungan antara tahap estrogen tinggi dengan kanser payudara lelaki. Tahap estrogen yang tinggi boleh merangsang pertumbuhan sel payudara.

Tahap oestrogen tinggi sekiranya:

  • Mempunyai masalah berat badan atau obesiti yang akan meningkatkan penghasilan oestrogen.

  • Mengambil ubat-ubatan meningkatkan hormon wanita

  • Mengambil minuman alkohol yang terlalu banyak.

  • Mempunyai penyakit hati atau gangguan tiroid

  • Ginekomastia- pertumbuhan payudara yang tidak normal.

  • Rawatan kanser yang dilakukan sebelum ini termasuk radiasi

  • Kondisi pada testis yang meningkatkan paras estrogen

  • Undescended testicles

  • Mumps orchitis

  • Klinefelters Syndrome



gynaecomastia

Apa yang boleh menurunkan risiko di kalangan lelaki?

Mengamalkan gaya hidup sihat, tidak merokok atau minum arak, mempunyai berat badan ideal, sentiasa aktif atau cergas, mengambil diet yang sihat dan seimbang antara faktor-faktor yang diketahui menyumbang kepada penurunan risiko. Di samping itu anda disyorkan tidak mengambil ubatan hormon kerana ia boleh menggalakkan pertumbuhan sel payudara yag tidak terkawal.

Apakah tindakan yang harus dilakukan jika anda mengesyaki yang anda mungkin mempunyai kanser payudara lelaki?


Sememangnya sukar untuk kaum lelaki membincangkan perkara ini dengan pasangan, keluarga atau rakan kerana ia melibatkan kesan psikologi dan semestinya kurang sokongan diberikan kepada mereka kerana kesedaran yang kurang. Selain perasaan bimbang mereka merasa tertekan atau merasa tercabar memandangkan penyakit ini lazimnya dialami wanita. Perlu difahami yang survival kanser payudara telah menjadi sangat baik sejak dua dekad yang lalu kerana pengesanan dan rawatan pada peringkat awal. Jadi mengatasinya pada peringkat awal adalah kunci kepada kejayaan merawat kanser payudara lelaki.

Jadi tindakan terbaik adalah berjumpa doktor secepat mungkin untuk pengambilan sejarah penyakit, pemeriksaan klinikal payudara dan seterusnya pemeriksaan mamogram, ultrasound payudara dan biopsi tumor boleh dilakukan.


Diagnosis kanser payudara boleh di baca di sini.


Sekiranya ia sah sebagai kanser, "staging" akan dijalankan bagi memastikan tahap kanser dan rawatan yang sama dengan rawatan kanser payudara wanita akan diberikan. Prognosis penyakit adalah sama dengan wanita pada umur dan tahap kanser yang sama. Kajian yang dilakukan oleh penyelidik Eropah mendapati terdapat persamaan antara kanser payudara yang menyerang wanita dan juga lelaki. Lebih dari 90 peratus penghidap kanser payudara lelaki adalah “oestrogen receptor–positive” dan kedua-dua “oestrogen receptor” dan “progesterone receptor” ini turut mempunyai kaitan dengan kanser payudara lelaki, sama dengan kanser payudara bagi wanita.

Walau bagaimana pun pesakit kanser payudara lelaki perlu dirujuk kepada kaunselor genetik bagi membuat ujian memastikan samada mereka pembawa gen kanser keturunan seperti BRCA 1 dan 2.


Rawatan. Adakah ia berbeza antara lelaki dan wanita?

“Memandangkan penyakit kanser payudara bagi lelaki ini amat jarang ditemui, rawatan keatas mereka tidak jauh beza secara keseluruhannya. Setiap proses seperti ujian biopsi, pembedahan, kimoterapi, dan beberapa rawatan lain dilakukan sama sahaja dengan wanita. Ini termasuk pembedahan , radioterapi , kimoterapi dan terapi hormon.

Rawatan bagi kanser payudara boleh dibaca di sini.

Diagnosis kanser payudara lelaki akan mengubah hidup lelaki yang mengalaminya . Sememangnya pesakit memerlukan sokongan padu sebagaimana sokongan yang telah diberikan terhadap wanita yang menghidap kanser payudara, oleh pasangan, keluarga, rakan atau ketua ditempat kerja dan rakan taulan yang lain. Apabila masa berlalu ,sudah tentu anda akan dapat menangani perubahan pada hidup dan dapat menggunakan pengalaman diagnosis kanser untuk menjalani hidup sebaik mungkin pada masa akan datang. Sementara itu kita harus peka akan kebarangkalian insidens kanser payudara lelaki yang bertambah jadi kesedaran harus ditingkatkan dan jangan takut untuk menjalani ujian bagi mengesan penyakit ini sekiranya mengalami apa-apa simptom seperti yang diterangkan di atas .


DR MASTURA MD YUSOF

Pakar Onkologi Klinikal



Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya



325 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com