• Dr Hayani Abdul Wahid

Oh! Lenganku Bengkak ("Lymphedema")

Updated: Jun 2



Ramai yang tidak faham akan lymphedema atau kejadian lengan bengkak yang berlaku pada sebilangan kecil wanita yang mengidap kanser payudara. Jadi topik kita pada kali ini adalah tentang "lymphedema" atau lebih dikenali dengan lengan bengkak.


Apa itu lymphedema?


Lymphedema adalah bengkak yang luarbiasa, yang boleh berlaku pada lengan, tangan dan payudara seseorang akibat kesan sampingan rawatan pembedahan kanser payudara dan radioterapi. Lymphedema ini biasanya berlaku pada 1 hingga 5 tahun pertama selepas rawatan kanser tersebut dijalankan. Dianggarkan sekitar 20-30% daripada wanita pengidap kanser payudara mendapat lymphedema di seluruh dunia.


"Lymph" atau limfa adalah cairan yang bergerak di seluruh tubuh untuk membuang sisa,

bakteria dan bahan kumuhan lain dari tisu badan manakala definisi edema adalah pengumpulan cecair yang berlebihan di mana-mana kawasan di badan.


Oleh yang demikian lymphedema bermaksud terdapat terlalu banyak cairan limfa terkumpul di dalam suatu kawasan. Bagi pesakit kanser payudara, keadaan ini biasanya berlaku di kawasan lengan dan tangan tetapi ia juga boleh berlaku di payudara, bawah ketiak dan dada.



Lymphedema dibahagikan kepada 3 tahap


Tahap 0: berlaku gejala seperti berat, lenguh dan perasaan bengkak tapi tiada bengkak yang kelihatan

Tahap 1: bengkak kelihatan tetapi kurang atau hilang apabila lengan diangkat

Tahap 2: bengkak kelihatan dan kulit tenggelam apabila ditekan, kulit di kawasan terlibat mula mengeras

Tahap 3: bengkak sangat serius dan tidak tenggelam apabila ditekan, kulit menebal, mengeras dan cairan limfa boleh keluar dari tisu kulit dengan sendirinya

Lymphedema ini biasanya berlaku secara perlahan-lahan. Pada peringkat permulaannya dimana ukur lilit lengan kanan atau kiri mula berbeza dalam lebih kurang 2 cm, anda mungkin tidak perasan dan cuma merasa tidak selesa di kawasan terlibat seperti lenguh, kebas dan sedikit sakit. Apabila lengan terus membengkak, gejala seperti sakit berterusan, rasa berat, lenguh, kembang atau bahagian lengan baju terasa ketat akan semakin dirasai. Lebih memburukkan keadaan apabila lymphedema ini menjadi bertambah serius menyebabkan kulit menjadi sangat bengkak, bergerutu, kering dan boleh mengeluarkan cairan dan seterusnya mengganggu fungsi tangan , lengan dan bahu. Ketika ini pesakit akan menghadapi masalah untuk menggunakan tangan mereka untuk aktiviti seharian dan terpaksa menghadapi komplikasi lymphedema ini sepanjang umur mereka.


Kenapa lymphedema ini berlaku?


Anda tentunya pelik kenapa tak semua wanita yang melalui pembedahan kanser payudara atau pun yang tamat rawatan radioterapi mendapat masalah lymphedema ini. Di sini kita akan bincangkan faktor-faktor yang mendorong seseorang pesakit kanser payudara itu mendapat lymphedema.


1. Kesan sampingan daripada pembedahan

Di dalam pembedahan payudara, adalah penting untuk membuang kelenjar limfa di ketiak sebagai rawatan kanser dan bagi menentukan tahap kanser pesakit. Pembedahan kelenjar ketiak ini berisiko menyebabkan lengan bengkak dan ini bergantung kepada jumlah kelenjar yang dibuang dan aras pembedahan kelenjar di ketiak ('level of axillary clearance'). Terdapat 2 jenis pembedahan kelenjar iaitu " axillary clearance" dimana hampir kesemua kelenjar limfa dibuang atau biopsi kelenjar sentinel (Sentinel Lymph Node Biopsy) di mana hanya 1-3 biji kelenjar dibuang Makin banyak jumlah kelenjar ketiak yang dibuang (5 hingga 30 biji) atau makin tinggi aras pembedahan kelenjar di ketiak (aras I-III) maka makin tinggilah risiko terjadinya lymphedema ini. Pembedahan kelenjar sentinel (SLNB) mempunyai risiko lymphedema sekitar 5-17% manakala pembedahan kelenjar radikal atau Áxillary Clearance" meningkatkan risiko lymphedema sekitar 20-53%.


2. Kesan sampingan daripada radioterapi

Radioterapi penting untuk mengawal kanser dari berulang di payudara atau dinding dada. Namun demikian radioterapi juga boleh menyebabkan berlakunya lymphedema. Sistem aliran limfa menjadi sangat terhad atau terganggu akibat kesan pembedahan terdahulu di kawasan dada dan bawah ketiak. Radioterapi menyebabkan kerosakan sedikit pada tisu limfatik dan pengecutan (fibrosis) yang melambatkan lagi aliran limfa dari hujung tangan balik ke jantung. Apabila anda aktif dan kerap menggunakan tangan di sebelah yang sama dengan tempat pembedahan payudara, lebih banyak limfa yang akan dihasilkan dan disebabkan sistem limfa yang terhad, lebihan cairan limfa atau lymphedema akan berlaku di kawasan tersebut. Risiko lymphedema juga semakin tinggi sekiranya radioterapi diberikan juga ke kawasan ketiak.


3. Jangkitan kuman atau kecederaan di tangan atau lengan yang sama

Jangkitan kuman atau kecederaan menyebabkan radang di tisu dan sel-sel akan bekerja keras untuk proses pemulihan. Dalam proses ini mereka menghasilkan lebihan cairan limfa. Oleh kerana sistem limfa di sini sememangnya terhad disebabkan pembedahan dan rawatan radioterapi, maka terjadilah lymphedema.


4. Peningkatan berat badan dan obesiti

Apa yang membimbangkan, terdapat kaitan antara kenaikan berat badan atau obesiti dengan kebarangkalian terjadinya bengkak lengan ini. Lemak yang berlebihan di kalangan golongan obes memerlukan banyak saluran darah untuk mengalirkan oxigen dan nutrien. Proses ini juga menghasilkan banyak sisa limfa dan boleh menyebabkan lymphedema.



Bagaimana mengesan lymphedema?


Tiada siapa tahu samada mereka akan mendapat lymphedema dan bila mereka akan mendapatnya. Oleh itu amat penting bagi semua pesakit kanser payudara untuk mengetahui cara-cara mengesan lymphedema.


Lymphedema boleh didiagnos secara klinikal sekiranya bengkak tersebut sangat jelas. Namun demikian apabila bengkak tidak kelihatan cara paling ringkas untuk mendiagnos lymphedema adalah dengan mengukur ukur lilit lengan di bawah dan di atas sendi siku dan dibandingkan dengan lengan yang normal. Secara amnya, perbezaan sebanyak 2 cm adalah signifikan dan diagnosis lymphedema boleh dibuat.

Ada ketikanya CT skan atau MRI skan perlu dilakukan oleh doktor yang merawat kes lymphedema untuk memastikan tiada risiko kanser berulang di leher, ketiak atau di dada yang menyebabkan terjadinya lymphedema tersebut.



Mencegah dan Merawat Lymphedema

Banyak langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh doktor dan pesakit dalam memastikan agar risiko lymphedema terjadi, berkurang.

a) berbincang dengan doktor anda berkenaan corak pembedahan, radioterapi yang akan dilakukan

b) ambil langkah proaktif selepas pembedahan payudara seperti selalu meninggikan lengan dan tangan apabila berehat, mula melakukan senaman regangan seminggu selepas pembedahan dan tidak mengangkat barangan yang berat

c) ambil tahu tentang simptom awal lymphedema agar dapat berjumpa doktor lebih awal untuk rawatan

d) pastikan kulit sentiasa lembap dan terhindar dari bahaya jangkitan dan kecederaan

e) kurangkan aktiviti lasak pada tangan atau lengan yang terlibat

f) elakkan aktiviti sauna atau mandian menggunakan suhu tinggi (suam is ok)

g) kekalkan berat badan yang ideal

h) pakai pakaian yang berlengan panjang dan longgar

i) elakkan pengambilan tekanan darah, sampel darah dan pemberian 'drip' pada lengan terlibat

i) berjumpa dengan pakar terapi khas untuk lymphedema lebih awal sekiranya lymphedema dikesan


Apabila lymphedema dikesan, rawatan- rawatan yang biasa disarankan adalah seperti berikut:


1. memakai sarung lengan "çompresssion stoking" atau balutan khas

2. meninggikan lengan selalu di atas paras dada

3. rujukan kepada pakar fisioterapi, pakar pulih carakerja dan pakar lymphedema untuk rawatan khusus seperti "Manual Lymphatic Drainage (MLD)"

4. mengambil antibiotik sekiranya terdapat jangkitan

5. cucian luka sekiranya terdapat luka yang terbuka


Kesimpulannya, lymphedema boleh berlaku pada setiap wanita yang mengidap kanser payudara. Oleh itu anda haruslah prihatin dan mengambil langkah pencegahan yang disarankan. Anda juga perlu berjumpa dengan pakar dengan segera sekiranya lymphedema dikesan agar rawatan dapat dilakukan dengan serta merta.


#kitajagakita

#DrHayaniAbdulWahid



©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com