• norlianaismail

PENYEBAB UTAMA KANSER PARU-PARU: MEROKOK – BUDAYA YANG PATUT DITINGGALKAN


Sejarah Penemuan Perkaitanan di Antara Tabiat Merokok dan Kanser Paru-paru

Pada sekitar tahun 1930-an, bidang epidemiologi iaitu kajian tentang faktor yang mempengaruhi kesihatan dan penyakit sesuatu populasi adalah lebih memfokuskan penyakit-penyakit berjangkit (infectious diseases). Namun, pada masa yang sama, terdapat juga peningkatan bukti saintifik yang menunjukkan kes kanser paru-paru adalah lebih tinggi di kalangan lelaki.

Hanya pada sekitar tahun 1950, beberapa penyelidik seperti Hill dan Doll di England serta Wynder dan Graham di Amerika Syarikat menerbitkan siri-siri kajian kes kawalan (case control studies) yang menunjukkan penggunaan tembakau adalah penyebab utama kepada penyakit kanser paru-paru. Penemuan ini kemudiannya disokong dengan kajian saintifik yang lebih kukuh iaitu kajian kohort yang menunjukkan risiko kanser paru-paru adalah lebih tinggi di kalangan perokok berbanding mereka yang tidak merokok.

Ironinya, penemuan kaitan di antara tabiat merokok dan kanser paru-paru ini hanya berlaku 500 tahun selepas tembakau dijumpai oleh Christopher Columbus pada tahun 1492 yang membawanya ke Eropah. Tabiat merokok kini telah menjadi sebahagian daripada budaya hidup manusia yang sukar dihakis di hampir kesemua pelosok dunia.



Ramuan Di Dalam Rokok Pencetus Sel Kanser

Di dalam sebatang rokok, terdapat lebih daripada 7000 bahan kimia dan sekurang-kurangnya 70 daripadanya adalah penyebab kanser. Pendedahan kepada asap rokok juga boleh membahayakan orang di sekitar yang menghidunya.


Di antara ramuan bahan-bahan yang terdapat di dalam sebatang rokok adalah seperti aseton iaitu pelarut yang mudah terbakar yang digunakan sebagai pencuci pengilat kuku, arsenik iaitu sejenis racun, benzena yang terdapat dalam simen getah, formaldehid yang merupakan cecair pembajaan, plumbum yang digunakan dalam bateri dan tar iaitu bahan yang digunakan untuk menurap jalan. Kesemua bahan kimia ini mempunyai kesan terhadap tubuh badan kita.


Bagi penyakit kanser paru-paru, bahan kimia yang bertanggungjawab adalah tar. Tar disimpan di dalam paru-paru perokok dan mengandungi karsinogen, yang menggalakkan perkembangan sel-sel kanser di dalam badan seorang perokok. Organ paru-paru adalah paling berisiko kerana merupakan organ primer yang terlibat dengan tabiat merokok. Perokok juga terdedah kepada bahan kimia seperti benzena dan formaldehid yang turut dikaitkan dengan pelbagai jenis kanser lain, seperti leukemia dan kanser buah pinggang.


Selain kanser, tabiat merokok juga telah dibuktikan menyebabkan serangan jantung, strok dan pelbagai penyakit kronik yang lain. Merokok juga boleh melemahkan sistem imuniti badan manusia sekaligus meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus terutama dalam situasi pandemik Covid-19. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kajian-kajian daripada luar negara, golongan perokok didapati berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti dengan virus COVID-19.







Ketagihan Yang Sukar Diatasi


Merokok membawa maut!

Merokok melipat gandakan kebarangkalian anda mendapat kanser paru-paru!

Tidak ada satu pun kajian yang menyatakan merokok adalah baik untuk kesihatan!

Ramai yang mengetahui fakta-fakta di atas. Namun, mengapakah sehingga kini masih ramai yang setia dengan tabiat merokok? Perkara ini adalah disebabkan oleh sejenis bahan kimia yang dipanggil nikotin. Nikotin merupakan bahan utama dalam tembakau yang boleh menyebabkan kebergantungan seseorang kepada rokok. Pendedahan kepada nikotin pada usia kanak-kanak dan remaja juga adalah sangat merbahaya. Ketagihan yang dihasilkan oleh nikotin adalah sama seperti ketagihan dadah yang lain walaupun jenis dadah yang agak berbeza. Kesan ketagihan inilah yang mendorong seseorang untuk terus merokok dan sukar untuk meninggalkan tabiat tersebut.



Oleh kerana itu, semenjak tahun 1952 lagi, nikotin telah diklasifikasikan sebagai racun dibawah Jadual Pertama (Kumpulan C), Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 (Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984). Ketagihan nikotin ini mendatangkan pelbagai kesan kesihatan terhadap perokok. Bukan hanya kesan kesihatan, tabiat merokok juga menyebabkan masalah sosial dan ekonomi kerana berlaku pembaziran wang untuk membeli barangan bukan keperluan harian.

Kaitan Produk Merokok Alaf Baru dan Kanser Paru-paru

Produk merokok alaf baru seperti rokok elektronik dan vape juga dikategorikan sebagai produk berbahaya seperti rokok konvensional kerana penggunaannya mengundang risiko bahaya kepada kesihatan manusia. Masalah penggunaan rokok elektronik juga merupakan satu epidemik global yang mengundang kebimbangan pelbagai pihak terutama di kalangan ibubapa.


Walaupun kajian berkaitan kesan penggunaan rokok elektronik dengan penyakit kanser paru-paru masih belum ditemui, terdapat banyak bukti saintifik terkini yang lain yang telah menunjukkan kesan penggunaan rokok elektronik kepada kesihatan termasuk kerosakan pada sel badan manusia, komplikasi penyakit paru-paru dan kesan bahan kimia yang disebabkan oleh reaksi bahan-bahan campuran dalam cecair rokok elektronik tersebut terutama bahan perisa.

Satu penyakit baru yang disebabkan oleh penggunaan rokok elektronik iaitu E-cigarette or Vaping Associated Lung Injury atau EVALI yang menyebabkan kerosakan kepada dinding salur pernafasan di dalam paru-paru juga telah dilaporkan di Amerika Syarikat. Sehingga Februari 2020, sebanyak 2807 kes dan 68 kematian telah dicatatkan di Amerika Syarikat. Rokok elektronik juga tidak terbukti dapat membantu perokok berhenti merokok malah nikotin yang dicampurkan ke dalam cecair rokok elektronik bersama-sama dengan propylene glycol, vegetable glycerin dan bahan perisa menyebabkan pengguna juga mengalami ketagihan dan kebergantungan kepada produk ini. Ini sekaligus menyebabkan peningkatan ‘dual user’ (dwi pengguna iaitu perokok yang menggunakan rokok konvensional dan rokok elektronik) dan peningkatan penggunaan di kalangan remaja.

Kembalikan Hak Paru-paru Anda, jomQuit

Tiada bahan yang berhak masuk ke dalam paru-paru anda selain udara yang bersih. Jika anda tidak merokok, jangan sesekali memulakan tabiat tersebut. Jika anda perokok, berhentilah sekarang! Ia tidak pernah terlambat untuk berhenti merokok. Dengan berhenti merokok, manfaat kesihatan yang anda perolehi adalah terlalu banyak. Sebaik berhenti merokok, tekanan darah anda akan mula kembali normal, seiring dengan denyutan nadi anda. Tahap karbon monoksida (gas toksik) di dalam saluran darah akan kembali normal dan juga paras oksigen dalam darah semakin meningkat selepas 12 jam berhenti. Ini menyebabkan anda berasa lebih kuat dan bertenaga. Selepas tiga bulan, sistem kardiovaskular dan pernafasan anda akan kembali meningkat dan masalah batuk juga akan semakin berkurang. Risiko mendapat penyakit strok, kanser dan serangan jantung juga akan menurun selepas 5 hingga 10 tahun anda berhenti merokok.

Semenjak tahun 2016, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkukuhkan perkhidmatan berhenti merokok dan telah membuat penjenamaan semula sebagai Perkhidmatan Berhenti Merokok atau mQuit services. Perkhidmatan ini telah diperluaskan di sektor kesihatan swasta bagi meningkatkan kebolehcapaian terhadap perkhidmatan ini di kalangan masyarakat. Susulan pandemik Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah menyediakan perkhidmatan kaunseling berhenti merokok atas talian dan pelbagai informasi berkaitan bahaya merokok dan COVID-19 boleh dilayari melalui aplikasi My Sejahtera atau terus ke laman sesawang www.jomquit.moh.gov.my .



Kepada semua perokok, berhentilah daripada sebarang bentuk tabiat merokok baik rokok konvensional atau rokok elektronik. Marilah kita bersama-sama mencegah tabiat yang tidak sihat ini demi memastikan generasi muda Malaysia tidak terus menjadi hamba kepada produk-produk merokok ini. Sesungguhnya merokok itu bukan budaya kita dan patut ditinggalkan sejak dahulu lagi.

Rujukan:

1. White C, 1990. Research on smoking and lung cancer: a landmark in history of chronic disease epidemiology. The Yale Journal of Biology And Medicine 63 (1990), 29-46

2. Pisinger C, 2015. A Systematic Review of Health Effects of Electronic Cigarettes. Research Center for Prevention and Health, Denmark A report prepared for the World Health Organization 2015.1.

3. Feng Y, Kong Y, Barnes PF, et al. Exposure to cigarette smoke inhibits the pulmonary T-cell response to influenza virus and Mycobacterium tuberculosis. Infect Immun 2011;79:229.

4. Godoy et al, 2017. Smoking may increase the risk of influenza hospitalization and reduce influenza vaccine effectiveness in the elderly. The European Journal of Public Health, Vol. 28, No. 1, 150–155.

5. Wei L et al, 2020. Analysis of factors associated with disease outcome in hospital with 2019 novel corona vitus disease. China Medical Journal. doi: 10.1097/CM9.000000000000075

Dr Norliana Ismail

Pakar Peruding Perubatan Awam

Kementerian Kesihatan Awam

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com