• Ummi Affah Mahamad

Perawatan Palliatif, pelengkap penjagaan pesakit.

Updated: Jun 2


Berdepan dengan kanser tahap 4. Kebanyakan orang akan dihimpit perasaan terkejut, sedih, kecewa, marah dan seribu satu macam perasaan lagi yang bercampur baur menyesakkan dada.

Keperitan emosi ditambah pula dengan kesakitan fizikal mampu membuatkan si pesakit merasakan bahawa dirinya sudah tidak layak untuk hidup. Mereka menjadi murung dan putus asa dan semestinya ini membimbangkan pasangan dan ahli keluarga mereka .

Di dalam situasi yang sangat mencabar ini, panduan dan sokongan dari pasukan yang merawat pesakit sangat penting supaya mereka tidak putus harapan dan memahami yang masih ada yang boleh dilakukan untuk mereka.


Pernahkah anda mendengar tentang Perawatan Paliatif?

Menurut definisi daripada World Health Organisation (WHO), Perawatan Paliatif adalah satu pendekatan yang diberikan kepada pesakit dan keluarga pesakit yang menghadapi situasi yang berkaitan dengan diagnosis penyakit yang mengancam nyawa. Caranya ialah dengan mencegah dan merawat kesakitan dan simptom lain yang merangkumi masalah fizikal, psikososial dan spiritual bagi mengurangkan beban dan penderitaan.

Matlamat kami di bidang perawatan paliatif adalah mudah iaitu untuk memperbaiki kualiti hidup anda.

Siapakah yang layak menerima perawatan paliatif?

Semua pesakit dan keluarga pesakit yang didiagnos dengan penyakit yang mengancam nyawa dan memendekkan hayat seseorang, seperti kanser layak diberikan rawatan ini.


Bukan setakat itu sahaja, pesakit yang menderita dari kegagalan organ seperti jantung, buah pinggang, hati dan sistem saraf juga layak untuk mendapat perawatan paliatif. Menurut kajian yang dijalankan oleh Hospis Malaysia pada tahun 2012, lebih kurang 32.7% daripada jumlah pesakit yang memerlukan perawatan paliatif di Malaysia adalah pesakit kanser manakala 62.4% daripada penyakit mengancam nyawa yang lain.

Sejajar dengan perkembangan di dalam bidang perubatan dan onkologi, lebih ramai pesakit tahap 4 yang menjalani rawatan kanser jadi peratus pesakit kanser yang mungkin memerlukan perawatan paliatif pada saat ini akan berganda berbanding lapan tahun lalu.

Satu kajian lain yang dibuat oleh Yang SL et al pada tahun 2019 yang lalu, menjangkakan seramai 239,713 kematian di Malaysia pada tahun 2030 akan memerlukan perawatan paliatif.

Bilakah sepatutnya perawatan paliatif dimulakan?

Umumnya, pesakit dan keluarga harus diberi pengetahuan dan pendedahan kepada perawatan paliatif seawal yang mungkin, bukan hanya setelah semua rawatan lain gagal. Perawatan paliatif boleh diberikan pada masa yang sama ketika pesakit menerima rawatan kimoterapi, radioterapi atau terapi “targeted”. Dengan ini pencegahan, siasatan dan sokongan dapat dilakukan dengan lebih berkesan bagi mengelakkan komplikasi yang boleh menyulitkan keadaan.

Graf di bawah dapat menjelaskan fungsi-fungsi perawatan paliatif sepanjang perjalanan perawatan dan hayat seseorang pesakit:


Siapakah yang memberikan perawatan paliatif?

Pasukan ini terdiri daripada ahli profesional dari pelbagai disiplin perubatan yang bekerjasama sebagai satu pasukan, antaranya pakar perubatan paliatif, pakar bedah, pakar onkologi, pakar perubatan keluarga, jururawat, ahli fisioterapi, ahli terapi pekerjaan, pemimpin kerohanian, pakar pemakanan, pegawai kebajikan perubatan dan tidak ketinggalan, sukarelawan. Perawatan paliatif di negara kita dianggap sebagai bidang perubatan yang agak baru namun ia sudah berkembang dengan baik dan kini ia bukan sahaja ditawarkan di di hospital kerajaan malah di beberapa fasiliti swasta dan juga pertubuhan NGO.

Tidak semua pesakit memerlukan rujukan kepada pakar perubatan paliatif. Terdapat banyak kes-kes yang boleh diuruskan di peringkat perawatan paliatif primer. Namun, tidak salah untuk mendapatkan nasihat dari pakar lebih awal memandangkan kebanyakan kes menuntut kepekaan pada masa.

Antara simptom-simptom yang kerap menjadi beban kepada pesakit termasuk :

1) Kesakitan- berpunca dari tumor atau sebab-sebab lain seperti patah tulang atau gangguan pada saraf. Ini boleh diatasi dengan ubat tahan sakit seperti opioid, ubat anti-neuropati dan sebagainya.

2) Sesak nafas- akibat tumor atau komplikasi lain seperti jangkitan kuman atau air yang berlebihan di paru-paru. Ia boleh diatasi dengan ubat-ubatan serta teknik lain tanpa ubat, mengikut kesesuaian keadaan pesakit.

3) Keletihan- Ini boleh diatasi dengan ubat ubatan serta teknik tanpa ubat, mengikut kesesuaian

4) Limfedema atau bengkak di anggota badan akibat saluran kelenjar limfa yang tersumbat.

5) Luka yang memerlukan penjagaan rapi.

6) Tekanan emosi

7) Keperluan spiritual yang tidak dipenuhi

8) Keterasingan. Berasa tersisih dan bersendirian dalam mengharungi detik paling mencabar dalam kehidupan.

Bertanyalah kepada doktor yang merawat anda sekiranya anda berasa anda memerlukan lebih sokongan dan rujukan kepada pasukan perawatan paliatif.


Di mana anda boleh mendapatkan khidmat perawatan paliatif di Malaysia?

Gambar di atas menunjukkan perkhidmatan perawatan paliatif di hospital-hospital kerajaan di negara kita. Sementara itu fasiliti swasta yang menyediakan khidmat kepakaran ini masih tidak banyak dan tertumpu di Lembah Kelang.


Pada peringkat komuniti pula, pihak kerajaan telah memulakan khidmat ini di pusat kesihatan terpilih bermula dengan negeri Selangor. Pihak badan bukan kerajaan pula telah memulakan khidmat dalam komuniti selama hampir lebih 20 tahun . Mereka dikenali sebagai hospis.

Setiap organisasi di atas mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain bagi memastikan servis yang optima kepada pesakit di negara kita.


Dikatakan tiada harapan….namun anda sangat berharga

Jangan bimbang jika anda kurang arif mengenai perawatan paliatif. Bertanyalah kepada doktor yang merawat anda untuk mendapatkan khidmat perawatan paliatif kerana tidak kira apa keadaan anda, diri anda amat berharga. Kualiti hidup anda akan tetap menjadi keutamaan kami tidak kira anda siapa kerana anda amat berharga sehinggalah ke hari terakhir kehidupan anda.

Dr Ummi Affah Mahamad,

Pakar Perunding Perubatan Paliatif dan Perubatan Dalaman,

Pantai Hospital Kuala Lumpur.

Pesyarah Kehormat Fakulti Sains Perubatan Kesihatan, USIM.

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com