• Dr Mastura Md Yusof

Prognosis

Updated: May 31




Selepas diagnosis, ‘staging’ dan rawatan, aspek prognosis adalah yang paling penting diketahui apabila mengalami kanser pada kali pertama atau apabila kanser berulang berlaku.




Apakah prognosis?

Prognosis adalah anggaran atau kebarangkalian “survival’ atau perjalanan kanser seseorang pesakit serta potensi ia berjaya dirawat dan peluang untuk sembuh daripadanya. Kanser pada peringkat awal mempunyai prognosis terbaik dan tahap survival paling lama. Rawatannya juga lebih ringkas dan tidak mempunyai banyak kesan sampingan.


Prognosis adalah topik yang sukar untuk difahami atau diterangkan dengan jelas kepada pesakit. Namun, prognosis harus dibincangkan bersama pesakit untuk membantu pesakit memahami ciri-ciri kanser mereka dan mendapatkan gambaran akan perjalanan kanser masing-masing. Pesakit boleh menilai dan membuat perancangan rawatan yang paling sesuai untuk mencapai prognosis terbaik buat diri masing-masing.


Bagaimana prognosis ini ditentukan?

Lazimnya, prognosis dilakukan berdasarkan statistik mengenai kajian penyakit dikalangan kumpulan pesakit terdahulu. Jadi ia bukanlah 100% tepat atau muktamad untuk seseorang individu. Prognosis juga berbeza diantara satu pesakit dengan yang lain dan jenis kanser masing-masing.


Prognosis bergantung kepada beberapa faktor:

· Tahap kanser

· Jenis kanser

· Maklumat terperinci kanser daripada profil DNA

· Jantina pesakit

· Umur

· Tahap kesihatan fizikal pesakit

· Kewujudan penyakit-penyakit kronik sedia ada seperti darah tiinggi, kencing manis, sakit jantung dan lain-lain

· Jenis rawatan yang diterima

· Kebolehan untuk menyempurnakan rawatan dan mengatasi kesan-kesan sampingan rawatan

Kadang-kadang laporan statistik agak ketinggalan yang mana data yang diberikan sudah lapuk dan tidak mengambilkira laporan rawatan terbaru (up to date) bagi kanser tersebut. Sebagai contoh kanser payudara tahap empat kini mempunyai prognosis yang jauh lebih baik dengan kadar survival mencapai lebih 5 tahun dibandingkan dengn statistik lama selama hanya 1-2 tahun.

Kadangkala prognosis yang dilaporkan tidak mengambilkira perbezaan jenis kanser daripada profil DNA contohnya kanser jenis HER2 positif tahap 1-3 mampu turun ke tahap lebih rendah sekiranya pesakit menjalani semua jenis rawatan yang di perlukan. Prognosis pesakit juga mampu berubah pada masa akan datang apabila lebih banyak kajian dan inovasi mengenai kanser dan rawatan kanser ditemui.


Bagaimana kita boleh mengubah prognosis kanser?


Prognosis boleh ditambahbaikkan dengan mendapatkan rawatan yang berkesan dengan secepat mungkin. Pesakit harus mengikuti pelan rawatan susulan dan boleh mengikuti mana-mana program rehabilitasi atau terapi kumpulan sokongan kanser. Selain daripada itu pesakit boleh mengamalkan cara hidup sihat dengan melakukan senaman , mengambil diet yang disyorkan dan mempunyai minda yang positif.

DR MASTURA MD YUSOF PAKAR ONKOLOGI KLINIKAL

SJMC, PHKL Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com