• Dr Mastura Md Yusof

Prospek Lebih Baik Untuk Kanser Payudara Metastatik

Updated: May 31


Kanser payudara metastatik (tahap 4) adalah kanser yang telah merebak dari payudara ke bahagian badan lain. Semua organ atau bahagian badan yang mempunyai kanser ini tidak dapat dibuang melalui pembedahan atau dirawat dengan radioterapi jadi ia memerlukan rawatan secara sistemik untuk mematikan sel kanser pada seluruh bahagian tersebut. ( Untuk pengenalan kepada rawatan kanser payudara tahap 4 , anda boleh merujuk ke artikel terdahulu disini. Untuk membaca mengenai staging kanser dan rawatan kanser, boleh klik pada link ini. dan disini.


Selepas diagnosis kanser metastatik di buat , kebanyakan pesakit akan melalui rawatan. Rawatan bergantung kepada jenis kanser, taraf menopaus dan masalah perubatan yang lain. Objektif rawatan adalah untuk memanjangkan jangka hayat pesakit disamping terus mempunyai kualiti hidup yang baik , disamping anak-anak dan keluarga.


Pada zaman dahulu lebih ramai pesakit kanser yang tewas kerana kanser berbanding sekarang. Dunia telah berubah, begitu juga rawatan kanser. Sejak dua dekad yang lalu, kanser payudara adalah kanser yang paling banyak diberikan perhatian bukan sahaja oleh kerajaan, badan penyelidikan kanser dan badan akademik malah oleh NGO dan juga kumpulan sokongan pesakit kanser. Banyak kemajuan telah dicapai kerana peningkatan kesedaran masyarakat yang lebih tinggi, ujian identifikasi mutasi sel kanser dan rawatan yang lebih berinovasi dan kurang kesan sampingan bagi merawat kanser ini. Terkini, lebih 25% daripada pesakit mencapai survival lebih dari 5 tahun malah ramai yang sudah melebihi 10 tahun.

Prinsip asas rawatan kanser metastatik pada waktu ini berdasarkan beberapa prinsip dibawah:

  • Bersifat multidisiplinari, iaitu gabungan berbagai jenis rawatan yang diberikan oleh sepasukan pakar pelbagai disiplin

  • Bersifat individu, bergantung kepada ciri kanser, riwayat rawatan pesakit terdahulu, status menopaus dan lain-lain

  • Bersifat paliatif

  • Spesifik kepada ciri biologi atau mutasi kanser

  • Diberikan secara berterusan selagi rawatan itu berkesan untuk mengawal sel-sel kanser, atau ada sekuens rawatan. Rawatan yang berkesan akan diteruskan selama mungkin, mungkin bertahun-tahun.


Kami sedar yang pesakit kanser payudara harus mendapat akses pada maklumat yang tepat untuk membuang sebarang tanggapan buruk dan mengelakkan mereka daripada menghentikan rawatan akibat maklumat yang salah mengenai kanser payudara metastatik. Jadi di ruang ini kami akan membincangkan kemajuan terkini rawatan kanser payudara metastatik seperti di bawah:


1. Kombinasi rawatan berasaskan jenis kanser hormon positif

2. Terapi targeted bagi kanser HER2 positif

3. Rawatan kanser TNBC

4. Terapi targeted bagi kanser keturunan BRCA1 dan 2

5. Clinical Trials

5. Kimoterapi

1. Kombinasi Rawatan Berasaskan Jenis Kanser Hormon Positif

Ubat CDK 4/6 inhibitor

Kanser payudara jenis hormon positif tumbuh apabila mendapat stimulasi dari hormon estrogen dan progesteron. Pesakit kanser payudara hormon positif diberikan pil anti-hormon seperti letrozole, anastrozole atau tamoxifen untuk menghalang sel dari mendapatkan sumber hormon wanita ini atau menghentikan penghasilan hormon. Rawatan anti-hormon ternyata berkesan pada kadar yang sama dengan kimoterapi tetapi pada kesan sampingan yang kecil dan jauh lebih baik dari kimoterapi dan ia merupakan rawatan pilihan bagi kanser jenis ini. Namun begitu jangkamasa kanser terkawal tidak lama iaitu lebih kurang setahun sebelum doktor terpaksa menukar strategi rawatan.


Kajian klinikal yang terbaru menunjukkan kanser tahap 4 dikalangan pesakit ini dapat dikawal dengan lebih berkesan jika pil anti-hormon digabung dengan ubat penghalang kitaran pertumbuhan sel ( cell cycle inhibitors) yang dinamakan “CDK4/6 inhibitors” .

Terdapat 3 jenis pil terapi targeted ini iaitu abemaciclib, palbociclib and ribociclib dan setiap satu menunjukkan keputusan yang memberangsangkan dari segi pengecutan kanser dan pemanjangan jangka hayat apabila digabung dengan pil anti-hormon seperti letrozole atau anastrozole. Walau bagaimanapun rawatan ini hanya efektif kepada pesakit yang sudah menopaus. Tapi ini tidak bermakna pesakit yang masih muda tidak boleh mengambilnya. Kajian menunjukkan kedua-deua pesakit yg belum atau telah menopaus mendapat efek yang positif dari rawatan ini. Pesakit muda yang belum menopaus boleh melakukan pembedahan membuang ovari atau melakukan suntikan lucrin atau goserelin setiap sebulan sekali bagi mencapai status menopaus, sebelum dapat memulakan rawatan di atas.

Walaupun rawatan CDK 4/6 inhibitor ini tidak di bandingkan secara langsung dengan kimoterapi namun pada kajian klinikal yang dilakukan setakat ini, prestasi ubat oral ini sangat baik dan survival pesakit kanser tahap 4 yang mengambil kombinasi ini telah menjangkau lebih 5 tahun.

Ubat PIK3Ca Inhibitor

Apabila kanser tidak terkawal setelah mengambil rawatan hormon, anda mungkin mendengar akan ubat pil alpelisib yang diberikan sebagai rawatan kedua bersama-sama suntikan hormon fulvestrant bagi mengawal kanser jenis ini. Namun bukan semua boleh mengambilnya walaupun mempunyai kanser hormon positif. Terdapat ujian pada tisu tumor atau pada darah pesakit yang mesti dilakukan sebelum anda mengambil ubat ini. Ini kerana alpelisib adalah terapi targeted yang mensasarkan mutasi pada sel yang dinamakan phosphatidylinositol 3-kinase (PI3K) . Ubat ini tidak terdapat di Malaysia buat masa ini namun ini menjadi satu pilihan untuk anda pada masa akan datang.


2. Terapi Targeted Bagi Kanser HER2 Positif

Kanser payudara metastatik dari jenis HER2 positif mempunyai profil kanser yang lebih agresif dan berisiko merebak. Selain kimoterapi, pesakit akan diberi terapi “targeted” dari jenis antibodi monoklonal seperti trastuzumab atau pertuzumab atau ubat pil tyrosine kinase inhibitors bagi mengatasinya.

Trastuzumab merupakan prototaip bagi jenis terapi “ targeted”iaitu ubat antibodi monoklonal bagi pesakit kanser payudara jenis HER2 positif. Ia mula digunakan sejak lewat 90 an apabila didapati berkesan mengawal pertumbuhan kanser akibat amplifikasi protein HER2, apabila digabungkan dengan kemoterapi. Oleh kerana ia hanya bertindak ke atas sasarannya iaitu protein HER2 yang terdapat pada sel kanser maka sel normal badan yang bukan sasaran tidak terjejas. Pada keseluruhannya kurang kesan sampingan rawatan pada pesakit.


Pertuzumab

Beberapa antibodi monoklonal yang baru telah dikenalkan untuk mengatasi sifat kanser yang cepat tampan (resistant) kepada rawatan. Pertuzumab adalah antibodi monoclonal yang bertindak secara sinergi dengan trastuzumab dan kemoterapi dalam rawatan kanser payudara metastastik. Strategi kombinasi pertuzumab, trastuzumab dan kemoterapi telah disahkan melalui penyelidikan perubatan sebagai berpotensi tinggi mengawal kanser jenis HER2 positif dengan meningkatkan jangka hayat pesakit sebanyak dua kali ganda bagi pesakit yang mendapatkan rawatan ini pada permulaan diagnosis ( first line therapy) jika dibandingkan dengan kemoterapi sahaja.


T-DM1

Jika rawatan kali pertama dengan ubat anti-HER2 dan kemoterapi telah mula tidak berkesan, terdapat ubat yang lebih canggih iaitu T-DM1 (Kadycla), sejenis ubat “antibody-drug conjugate” yang pertama diluluskan untuk perawatan kanser.

Ubat Trastuzumab-DM1 ini seolah-olah sebuah “ smart bullet” yang mempunyai komponen pertama iaitu trastuzumab yang membawa bersamanya komponen kedua – sejenis kemoterapi baru yang bernama DM-1. Sebaik sahaja trastuzumab melekap kepada protein HER2 pada sel kanser, ubat DM-1 akan disalurkan masuk kedalam sel kanser dan memusnahkannya. Justeru itu sel -sel normal tidak terjejas kerana kemoterapi dibawa secara langsung kepada sel kanser.


3. Rawatan Bagi Kanser TNBC Metastatik


Imunoterapi

TNBC tidak mempunyai mana-mana reseptor hormon atau HER2 pada sel kanser. Terdapat situasi di mana sel kanser mengganggu sistem imun badan daripada dapat berfungsi dengan baik atau secukupnya lalu ia tidak dapat membunuh kanser. Kanser TNBC dikenalpasti menunjukkan ciri-ciri sistem imun yang terganggu lalu sesuai untuk diberikan rawatan imunoterapi. Kesesuaian rawatan boleh diuji dengan melakukan ujian PD-L1 pada sampel tumor samada positif atau tidak.

Imunoterapi adalah rawatan yang bertindak memperkasakan system imun badan bagi melawan sel kanser. Ubat imunoterapi ini dinamakan PD-L1 inhibitor dan sekurangnya dua ubat dikenalpasti memberi penambahbaikan apabila diberi bersama-sama kemoterapi kepada pesakit kanser TNBC metastatik yang positif ujian PD-L1iaitu ubat atezolizumab dan pembrolizumab.

Ubat Antibody-Drug Conjugate

Ubat ini adalah yang terbaru diperkenalkan untuk pesakit kanser jenis HER2 negatif, samada ER positif HER2 negatif atau TNBC iaitu Sacituzumab govitecan. Konsepnya sama seperti T-DM1 iaitu mempunyai 2 komponen; antibodi dan ubat. Antibodi berfungsi untuk mengenalpasti “target”protein bernama Trop-2 pada sel kanser. Setelah ia melekap pada protein ini barulah komponen ubat kemoterapinya iaitu SN-38 disalurkan secara terus kepada sel kanser. Justeru itu kanser dapat disasarkan dengan lebih berkesan dan sel normal yang tidak mempunyai protein Trop-2, tidak terjejas. Ubat ini tidak terdapat di Malaysia buat masa ini namun ini menjadi satu pilihan untuk anda pada masa akan datang


4. Rawatan Pesakit TNBC Yang Mempunyai Mutasi BRCA


Pemeriksaan genomik (DNA) ke atas tisu kanser atau sel darah pesakit kanser payudara metastatik semakin banyak dilakukan bagi mengenal pasti pelan rawatan terbaik, terperinci, khusus dan berpadanan kepada jenis mutasi yang menukar sel normal menjadi sel kanser. Dianggarkan sebanyak 10% daripada pesakit TNBC mempunyai mutasi BRCA.


Ubat PARP inhibitor

Pesakit yang dikenalpasti membawa gen mutasi BRCA mempunyai opsyen mengambil pil terapi targeted dipanggil PARP inhibitor. Ubat ini berfungsi melawan kanser melalui mekanisma menghalang proses pemulihan ( repair) sel kanser yang mempunyai mutasi genetik lalu sel-sel akan mati tidak lama selepas itu. Dua jenis ubat pil dari kategori ini adalah olaparib dan talazoparib. Kedua-duanya menghasilkan keputusan yang positif bagi pesakit pembawa gen BRCA yang mengidap kanser payudara metastatik.


Kemoterapi platinum

Penyelidikan ke atas kumpulan pesakit ini mendapati yang ubat kemoterapi platinum mungkin dapat membantu mengawal kanser mereka dengan lebih baik dari ubat kemoterapi standard. Jadi pesakit -pesakit ini mempunyai pilihan ubat kemoterapi carboplatin atau cisplatin. Contohnya pertumbuhan tidak terkawal, pembentukan salur darah secara kendiri dan metastasis.


5. Clinical Trials (Kajian Klinikal)

Pesakit yang tidak mengambil opsyen rawatan sedia ada atau telah tiada rawatan lain yang sesuai boleh menjadi calon yang sesuai bagi kajian klinikal. Pesakit boleh bertanya kepada doktor yang merawat kerana kajian klinikal merupakan salah satu prospek yang bagus untuk kanser pesakit tahap 4. Malah pesakit boleh menjadi calon pada kajian klinikal di luar negara juga. Anda jangan beranggapan bahawa jika anda dimasukkan ke dalam kajian klinikal, anda dijadikan bahan uji kaji. Sama sekali tidak. Malah anda akan menerima sekurang-kurangnya rawatan yang standard dan jika bernasib baik anda akan menerima rawatan terbaru yang telah dibuktikan keberkesanannya pada ujian klinikal tahap 1 dan 2. Anda boleh mengetahui lebih lanjut akan kajian klinikal di pautan di sini.


6. Kemoterapi

Kemoterapi bukanlah baru. Ia telah digunakan sebagai rawatan kanser payudara sejak pertengahan abad ke 20. Penggunaan kemoterapi juga masih relevan untuk pesakit TNBC yang bergantung kepada kemoterapi sebagai rawatan utama.


Eribulin

Antara ubat kemoterapi yang diperkenalkan sepanjang 5-10 tahun yang lepas adalah eribulin yang diberikan secara IV (intravenous). Ia sesuai untuk pesakit TNBC namun boleh juga digunakan untuk jenis kanser lain. Ia diberikan selepas pesakit menjalani sekurang-kurangnya satu jenis kemoterapi standard sebelum kanser aktif semula.


TS-one

Ubat TS-one pula adalah ubat kemoterapi dalam bentuk kapsul dan boleh diberikan untuk kanser tahap 4 dan mempunyai efikasi sama seperti ubat kemoterapi IV.


Albumin-bound Paclitaxel

Teknologi nanopartikel digunakan untuk menghasilkan ubat ‘albumin-bound paclitaxel” , dengan tujuan untuk mengurangkan reaksi alahan semasa pemberian kemoterapi disamping mampu menelusi tisu badan dengan lebih baik bagi sampai ke sel kanser. Ubat ini boleh diberikan secara kombinasi dengan ubat imunoterapi bagi pesakit tahap 4 yang mempunyai jenis tumor PD-L1 positif.

Strategi kombinasi ubat ini mungkin mampu mengawal kanser dan memanjangkan hayat pesakit berbanding kemoterapi sahaja.


Walaubagaimanapun, kemoterapi tidak dapat diberikan untuk jangkamasa terlalu lama akibat kesan sampingannya ke atas organ badan. Sel kanser juga boleh bertukar menjadi tampan (resistant) kepada rawatan kemoterapi.

Sebagai pakar onkologi, kami akan terus bekerja keras untuk merawat kanser anda dengan sebaik mungkin. Pemilihan rawatan, sekuens rawatan, pemilihan masa yang sesuai untuk rawatan dan pemberhentian rawatan jika ia tidak sesuai adalah bukan sahaja berdasarkan sains dan data klinikal tetapi ibarat sebuah seni.


Anda harus mengambil sedikit masa bagi mengenalpasti pelan perancangan terbaik untuk anda dan lakukannya bersama-sama panduan dari pakar onkologi anda dan sokongan dari ahli keluarga. Penyelidik di seluruh dunia bertungkus lumus mencipta ubat yang lebih baik untuk pesakit. Kebanyakan dari penemuan baru ini terbit dari pemahaman yang lebih mendalam terhadap mutasi sel iaitu proses-proses asas di dalam sel yang menyebabkan kanser terjadi.


Nota : Artikel ini tidak bermaksud bagi mengganti rawatan yang ditawarkan oleh pakar onkologi anda. Strategi rawatan atau ubat yang dibincangkan ni mungkin mampu mengawal kanser dan memanjangkan hayat pesakit berbanding rawatan standard. Namun penggunaan ubat-ubat ini harus berdasarkan protokol rawatan di fasiliti anda. Banyak rawatan yang dikekang oleh kos yang tinggi dan mungkin tidak ditawarkan di hospital anda. Tambahan lagi setiap rawatan ada kesan sampingan yang tersendiri jadi anda perlu mendapatkan perbincangan yang komprehensif dengan doktor anda mengenai penggunaannya. Usahlah gusar dan khuatir jika anda tidak dapat mengakses kepada rawatan-rawatan terbaru yang kosnya agak tinggi. Yakinlah bahawa doktor pakar anda mencadangkan pelan rawatan yang terbaik dan optimum berdasarkan penyakit dan situasi anda.





Sumber bacaan pagi pesakit kanser payudara metastatik

Metastatic breast cancer work­sheet for patients to bring to their doctor visit cancersupportcommunity.org/sites/default/wp-content/uploads/fields/resource/ file/2016-04/metastatic_bc_work­sheet.pdf

Metastatic Breast Cancer Project: Patients driving research for genetic understanding of metastatic breast cancer mbcproject.org

Connections to advocacy groups advocacyconnector.com/search

Approved treatment guidelines for metastatic breast cancer nccn.org/patients/guidelines/ stage_iv_breast/index.html

Survivorship care plans cancer.net/survivorship/follow-care-after-cancer-treatment/ asco-cancer-treatment-and-survivorship-care-plans

Clinical trials clinicaltrials.gov


Dr Mastura Md Yusof

Pakar Onkologi Klinikal

Subang Jaya Medical Centre




Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya

887 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com