• Dr Hayani Abdul Wahid

Radioterapi Dan Kanser Rektum

Apabila anda dikesan mengidap kanser rektum, ujian paling ideal iaitu MRI pelvis akan dilakukan untuk melihat sejauh mana kanser merebak di kawasan sekeliling rektum terutama di kawasan lapisan mesorektum (mesorectal fascia) dan berapa banyak kelenjar limfa yang terlibat.

Lapisan mesorektum di sekeliling rektum ini adalah lapisan lemak tipis yang bertindak menampan ( barrier) rebakan sel kanser dari dinding rektum. Jika lapisan mesorektum ini dilihat pada MRI seakan mengandungi rebakan kanser, maka risiko kanser berulang setempat ( local recurrence) walau pembedahan dilakukan, adalah tinggi.

Jadi radioterapi sebelum pembedahan adalah antara langkah yang dicadangkan untuk mengurangkan risiko ini.


Jika MRI tidak dapat dilakukan atas sebab tertentu, maka CT scan abdomen dan pelvis akan dijalankan bagi membuat keputusan di atas. Pasti ramai yang tertanya-tanya tentang keperluan rawatan radioterapi dalam kanser kolorektal ini. Ramai yang pelik apabila ada saudara atau kenalan yang didiagnos dengan kanser kolorektal tetapi tidak semua memerlukan rawatan radioterapi. Jadi sebelum kita pergi lebih mendalam, mari kita bincangkan di sini tentang indikasi radioterapi untuk kanser kolorektal.


Apakah perbezaan antara bahagian kolon dan rektum?


Dari aspek anatomi, kawasan yang dinamakan kolon itu merujuk kepada keseluruhan usus besar bermula dari appendiks hinggalah ke usus sigmoid (lihat rajah).

Rektum pula merujuk pada bahagian usus yang bermula dari hujung sigmoid hinggalah ke pangkal dubur. Ia terletak berdepan kepada 2/3 dari tulang sakrum pada pelvis dengan anggaran panjang sekitar 15cm, bermula dari pangkal dubur ke bahagian usus sigmoid.

Rektum ini istimewa kerana ia mengandungi struktur otot seperti injap (sphincter) yang mengawal pengeluaran najis. Sekiranya ia terlibat dengan kanser, fungsi injap ini boleh terganggu seterusnya menyebabkan gejala seperti sembelit, cirit birit kronik dan yang paling serius adalah sumbatan akut kepada usus( intestinal obstruction).


Bagaimana untuk mengetahui samada anda memerlukan radioterapi?


Berbalik kepada kanser kolorektal, kanser kolon tidak memerlukan radioterapi. Ia dirawat dengan pembedahan dan kimoterapi sahaja. Kanser rektum mungkin memerlukan radioterapi kerana lokasinya di lantai pelvis dan organ dan tisu sekelilingnya berisiko untuk mendapat kanser berulang setempat ( local recurrence) jika hanya pembedahan sahaja dilakukan.


MRI pelvis yang dilakukan untuk melihat sejauh mana kanser merebak di kawasan sekeliling rektum terutama di kawasan lapisan mesorektum (mesorectal fascia) dan berapa banyak kelenjar limfa yang terlibat adalah seperti dalam gambar di bawah:

Objektif radioterapi secara amnya adalah untuk mengurangkan risiko kanser berulang setempat di tapak rektum atau di pelvis dan memanjangkan hayat pesakit kanser rektum. Ia boleh diberikan sebelum pembedahan ( radioterapi neoadjuvan) atau selepas pemedahan ( radioterapi adjuvan)


Antara indikasi radioterapi neoadjuvan adalah:

1, Kanser yang telah melibatkan kelenjar limfa (tahap 3)

2. Kanser yang telah merebak ke lapisan mesorektum

3. Lokasi kanser terlalu dekat dengan injap sphincter dubur

4. Kanser terlalu besar atau telah merebak ke organ bersebelahan rektum seperti pundi kencing atau rahim


Antara indikasi radioterapi adjuvan ( sadalah:

1, Kanser yang telah melibatkan kelenjar limfa (tahap 3)

2. Kanser yang telah merebak ke lapisan mesorektum

3. Kanser terlalu besar atau telah merebak ke organ bersebelahan rektum seperti pundi kencing atau rahim

4. Margin positif


Di hospital, perbincangan di antara ahli-ahli yang menganggotai pasukan perawat multidisiplinari (Multi Disciplinary Team atau MDT) adalah yang terbaik bagi mencapai hasil rawatan yang optimum bagi setiap pesakit. MDT ini biasanya melibatkan pakar bedah, pakar radiologi, pakar patologi dan pakar onkologi di samping staf profesional yang lain.

Anda mungkin disarankan untuk menjalani radioterapi sebelum ( radioterapi neoadjuvan) atau selepas pembedahan ( radioterapi adjuvan) dan ia mungkin akan diberikan bersama-sama kemoterapi atau tanpa kemoterapi.

Apapun keputusan yang telah dibuat, berbincanglah dengan baik dengan doktor anda supaya anda faham dan dapat menerima corak rawatan yang diputuskan.


Radioterapi seperti yang dijelaskan dalam blog kanser payudara (klik di sini) adalah rawatan setempat yang disasarkan ke arah tumor atau tapak pembedahan tumor bagi mematikan atau mengecutkan tumor dan juga untuk mengawal saki baki tumor supaya kanser tidak berulang kembali. Untuk kanser rektum, radioterapi disasarkan ke arah tumor, tapak tumour serta seluruh kawasan pelvis seperti di dalam gambar.

Radioterapi adalah rawatan unik dan spesifik yang dijalankan oleh sepasukan radioterapi khas iaitu pakar onkologi, ahli fizik radioterapi, juru xray radioterapi dan staf sokongan jadi jangan bimbang kerana anda akan di selia oleh ahli-ahli profesional.



Apakah proses yang dijalankan sekiranya radioterapi disarankan untuk anda?


i) Simulasi rawatan dengan CT skan pada bahagian pelvis


Simulasi adalah proses mengambil imej kanser di rektum, organ dan tisu di sekeliling pelvis menggunakan CT skan di dalam posisi rawatan sebenar. Ia harus dilakukan supaya pakar onkologi dan pasukan radioterapi dapat mengformulasikan volum tumor yang akan menerima dos radioterapi di samping mengelakkan volum organ-organ penting di sekitarnya. Proses simulasi dengan CT skan ini biasanya dijalankan di Jabatan Radioterapi ( Radiotherapy Suite) dengan dibantu oleh juru xray terapi dan harus dilakukan walaupun anda telah menjalani CT skan staging sebelumnya.

Anda mungkin diminta untuk minum air serta menahan dari membuang air kecil sebelum simulasi dilakukan untuk membolehkan pundi kencing anda kembang dan mengelakkan usus kecil dari turun ke kawasan pelvis.


ii) Penandaan kawasan radioterapi

Volum kawasan radioterapi dikenalpasti dan ditandakan mengikut imej pesakit yang

telah di ambil dari simulasi CT skan. Ini dilakukan oleh pakar onkologi dan dibantu oleh pakar fizik radioterapi.


iii) Perancangan radioterapi akhir, optimisasi dan kelulusan pelan rawatan radioterapi

Proses ini dilakukan oleh pakar fizik radioterapi dan mungkin mengambil sedikit waktu sebelum pelan akhir dilihat seterusnya diluluskan oleh pakar onkologi yang merawat anda. Penting untuk pakar onkologi meneliti pelan akhir agar kawasan yang perlu dirawat mendapat dos yang optimum dan kawasan yang perlu dielakkan mendapat dos radiasi yang minima seterusnya mengurangkan kesan sampingan radiasi.


iv) Rawatan radioterapi yang diberikan setiap hari dengan di pantau juru xray radioterapi

dan pakar onkologi sepanjang rawatan.

Hari pertama rawatan biasanya akan mengambil masa yang lebih dibandingkan dengan hari seterusnya kerana juru xray radioterapi perlu memastikan posisi rawatan pesakit tepat seperti posisi simulasi dan kawasan yang dirawat juga adalah sepertimana dalam pelan yang diluluskan. Bagi tujuan tersebut, Beberapa imej xray atau cone beam CT biasanya akan diambil sebelum rawatan dimulakan.


Durasi radioterapi diterangkan di perenggan di bawah.

Secara khususnya, radioterapi untuk kanser rektum lebih baik dijalankan sebelum pembedahan radikal berbanding selepas pembedahan.

Kajian menunjukkan radioterapi neoadjuvan memberikan impak survival lebih tinggi pada kanser rektum tahap 2 dan 3 juga kesan pengecutan yang lebih ketara serta pembedahan yang lebih terjamin kepada kanser rektum tahap 3.


Kesan sampingan radioterapi juga jauh lebih mudah untuk dirawat sekiranya radioterapi dijalankan sebelum pembedahan. Anda juga mungkin disarankan untuk menjalani sesi radioterapi yang pendek (short-course) atau sesi radioterapi yang panjang (long-course). Perbezaan antara radioterapi short-course dengan radioterapi long-course adalah seperti di bawah:


Anda pasti tertanya-tanya tentang kesan sampingan radioterapi di pelvis kan? Kesan radioterapi pelvis dibahagikan kepada 2 jenis iaitu kesan akut dan kesan kronik.

  1. Kesan akut: kesan sampingan yang terjadi semasa rawatan radioterapi dan boleh berlanjutan hingga 3 bulan setelah tamat rawatan radioterapi. Antara kesan yang anda boleh dapat semasa radioterapi di pelvis termasuklah kulit kering, kulit melecet, perut kembung dan berangin, loya, sebu, kurang selera makan, lesu, sembelit atau cirit-birit.

  2. Kesan kronik: gejala yang berlaku setelah 3 bulan atau beberapa tahun setelah tamat radioterapi. Ia juga boleh terjadi disebabkan kesan akut radioterapi yang berpanjangan melebihi 3 bulan dari tamat rawatan. Ini termasuklah sembelit, perut kembung dan sakit, cirit birit kronik serta pendarahan usus, , masalah buang air kecil yang tidak lawas dan kerap jangkitan kuman, masalah peranakan seperti putus haid dan mandul, masalah seksual seperti mati pucuk dan masalah kelesuan yang kronik.

Namun demikian, dengan teknik dan mesin radioterapi yang lebih canggih pada hari ini, kebanyakan kesan sampingan akut dan kronik telah dapat dikurangkan dan anda boleh menjalani rawatan radioterapi sebagai pesakit luar tanpa banyak masalah dan seterusnya boleh menjalani rutin harian seperti biasa. Lebih penting lagi, kombinasi radioterapi dan pembedahan serta kimoterapi pastinya membantu anda mendapat kesembuhan dari kanser ini.



#kitajagakita

Dr Hayani Abdul Wahid

Mahkota Medical Centre, Melaka

491 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com