• Dr Natasha Mohd Hashim

Radioterapi Di Dalam Perawatan Kanser Payudara

Updated: Jun 2

Radioterapi merupakan salah satu daripada perawatan kanser payudara. Radioterapi ialah rawatan menggunakan xray yang bertenaga tinggi yang dihasilkan oleh mesin radioterapi yang dipanggil “linear accelerator”. Radioterapi akan diberi kepada bahagian-bahagian tertentu di badan dan bertindak untuk membunuh sel kanser yang berada di bahagian tersebut. Oleh itu, radioterapi tidak bertindak kesemua bahagian badan; tidak seperti kemoterapi atau terapi “targeted” yang diberi melalui salur darah dan dapat bertindak kesemua organ badan (rawatan sistemik).


Mesin radioterapi moden mampu menjana dos yang tinggi pada kanser dan pada masa yang sama sel-sel normal disekeliling kawasan kanser dapat dihindar daripada dos yang tinggi ini. Ini mengurangkan risiko kesan sampingan dalam jangka masa panjang.



Mesin Radioterapi
Perancangan Radioterapi oleh Ahli Fizik Radioterapi

Radioterapi biasanya akan diberi di dalam keadaan-keadaan berikut

1. Pesakit kanser payudara peringkat awal (Stage 1,2,3)


Rawatan radioterapi ini dipanggil rawatan “adjuvant” dan bersifat radikal, dos yang diberi juga tinggi. Ini bertujuan untuk menghapuskan sel kanser yang kecil yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata (mikroskopik) di kawasan dada dan sekitarnya selepas pembedahan. Tujuan utama perawatan iaitu mencapai tahap kesembuhan maksima.


Radioterapi akan diberi kepada seluruh bahagian payudara jika payudara tidak dibuang sepenuhnya selepas pembedahan (breast conserving surgery).

Radioterapi juga akan diberi kepada dinding thoraks dan kelenjar setelah payudara dibuang (mastectomy) sekiranya didapati saiz kanser besar, terdapat kelenjar limfa yang dijangkiti sel kanser atau margin yang terlalu kecil.

Ada sesetengah hospital menawarkan radioterapi yang diberi semasa pembedahan dan dos diberi bertumpu di dalam kawasan pembedahan. Bagaimanapun, rawatan ini sesuai untuk kanser yang bersaiz kecil sahaja.

Indikasi-indikasi ini akan diteliti oleh pakar kanser daripada laporan pembedahan dan juga laporan patologi pembedahan. Tujuan radioterapi di bahagian payudara atau dinding thoraks dan juga kelenjar limfa bertujuan untuk mengurangkan risiko kanser tumbuh semula di tapak kanser selepas pembedahan. Dalam bahasa mudah, untuk mematikan akar-akar kanser jika masih ada.

2. Pesakit kanser payudara tahap 4 ( Stage 4 )

Bagi kanser tahap 4, radioterapi akan diberi kepada bahagian-bahagian tertentu yang memberi masalah kepada pesakit. Rawatan radioterapi untuk pesakit kanser tahap 4 adalah bersifat paliatif; ini bermakna rawatan diberi untuk mengurangkan simptom dan kesengsaraan pesakit tetapi ia tidak menyembuhkan kanser secara keseluruhan. Dos yang diberi juga biasanya tidak tinggi tetapi cukup untuk mengawal simptom yang dialami pesakit.

Contoh 1: Pesakit yang mengalami sakit tulang belakang yang teramat kerana kanser payudara yang telah merebak ke tulang belakang. Biasanya sakit tulang disebabkan kanser adalah teramat sakit, kadang kala ubat tahan sakit tidak mampu menahan kesakitan yang dialami pesakit. Radioterapi akan diberi kepada tulang belakang yang sakit oleh pakar onkologi untuk membantu mengurangkan sakit dan mengawal kanser daripada terus membesar dan mengelakkan masalah lain seperti lumpuh atau tidak mampu menahan air kencing atau buang air besar

Contoh 2 : Pesakit yang mempunyai simtom sakit kepala dan muntah-muntah kerana kanser payudara yang merebak ke otak. Radioterapi akan diberi ke bahagian otak oleh pakar onkologi untuk mengurangkan bengkak otak dan juga mengawal pertumbuhan kanser yang boleh menyebabkan koma.


Contoh 3 : Pesakit yang datang dengan kanser payudara yang amat besar yang mengakibatkan pendarahan dan pengeluaran nanah yang banyak dan busuk. Untuk kes begini, biasanya pembedahan tidak dapat dilakukan. Radioterapi diberi untuk mengawal pendarahan dan mengurangkan pengaliran nanah. Ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada pesakit.


Bagaimanakah jadual rawatan radioterapi?

Rawatan radioterapi diberi setiap hari, 5 hari seminggu. Jumlah keseluruhan sesi akan ditentukan oleh pakar onkologi yang merawat dan bergantung juga kepada protokol hospital tertentu. Durasi setiap sesi juga adalah pendek, sekitar adalah 10-15 minit. Semasa rawatan diberi, pesakit tidak merasa kesakitan; malah pesakit tidak merasa apa-apa. Walaubagaimanapun, pesakit akan mula kesan sampingan hanya selepas beberapa kali sesi rawatan.

Apakah kesan sampingan radioterapi?

Kesan sampingan radioterapi bergantung kepada bahagian badan rawatan itu diberi. Untuk kanser payudara, kesan sampingannya adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan kemoterapi. Jika anda berjaya mengharungi kemoterapi, anda tidak perlu bimbang dengan rawatan radioterapi dan kesan sampingannya

Jika radioterapi diberi kepada payudara atau dinding thoraks, kesan sampingan biasanya adalah pada bahagian kulit. Kulit akan merasa seperti terbakar (sunburn) dan menjadi lebih sensitif. Malah kulit juga boleh mengelupas dan berair. Kulit bahagian yang diberi radioterapi juga akan bertukar menjadi lebih gelap. Selepas beberapa lama, payudara yang diberi radioterapi akan berasa lebih keras. Anda juga akan merasa keletihan dan badan akan terasa sedikit hangat selepas beberapa kali rawatan. Anda dinasihatkan untuk banyak berehat dan mengikut nasihat-nasihat pakar onkologi dan radioterapis untuk penjagaan kulit. Kesan sampingan adalah bersifat sementara, anda akan mula merasai kesan penyembuhan setelah rawatan tamat.

Untuk radioterapi bahagian-bahagian lain untuk kanser tahap 4, kesan sampingan bergantung kepada bahagian yang diberi. Penerangan lebih teliti akan diberi oleh pakar kanser sendiri. Walaubagaimanapun, kesan sampingan biasanya adalah minimal dan mampu ditangani oleh pesakit. Ingat, untuk tahap 4, terapi bersifat paliatif, kami tidak mahu menambah kesakitan kepada pesakit yang sedang sakit!!

Adakah pesakit yang menjalani radioterapi menjadi radioaktif dan berbahaya kepada orang-orang yang rapat dengan pesakit?

Tidak. Rawatan radioterapi tidak menjadikan anda radioaktif. Anda bebas bergaul dengan orang sekeliling tanpa membahayakan mereka.

Tips untuk pesakit yang menjalani rawatan radioterapi di bahagian payudara atau dinding thoraks

1. Sentiasa minum air dengan banyak

2. Jangan biar bahagian yang diberi rawatan terdedah kepada cahaya matahari

3. Jangan letak sebarang krim atau losyen di kawasan rawatan selain yang diberi oleh doktor

4. Elakkan bahagian rawatan daripada terkena sabun atau shampu

5. Pakai pakaian yang nipis dan tidak ketat

6. Selalu mandi untuk mengurangkan perasaan hangat

7. Sentiasa melakukan senaman lengan dan bahu untuk mengelakkan sendi bahu menjadi tegang dan sakit pada masa akan datang

8. Selepas mandi, lap kawasan radioterapi dengan lembut. Jangan gosok dengan kasar bahagian tersebut


Semoga artikel dapat membantu anda memahami rawatan radioterapi dan anda boleh melakukan pesediaan yang baik sebelum rawatan


Dr Natasha Mohd Hashim

Pakar Onkologi

KPJ Johor



©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com