• Dr Azura Deniel

Rawatan Kanser Payudara

Updated: Jun 2

Puan Sarah berumur 33 tahun dan telah di diagnos kanser payudara sebelah kiri. Jenis sel kanser beliau adalah invasive carcinoma, grade 3, T3N1M0 (stage IIIA), ER, PR negatif, HER2 positif. Beliau telah menjalani pembedahan dan dirujuk ke klinik onkologi untuk rawatan lanjut selepas pembedahan. Doktor menyarankan kepada beliau untuk menjalani rawatan kimoterapi, radioterapi dan rawatan terapi targeted (anti-HER2).


Beliau bertanya mengapa ibu saudaranya yang berumur 65 tahun dan menghidapi kanser payudara tahap 2 cuma perlu menjalani pembedahan dan rawatan pil hormon sahaja. Setelah mendengar penerangan dari doktor yang rawatan untuk setiap pesakit adalah berbeza dan mengambil kira banyak faktor, Puan Sarah bersetuju untuk menjalani rawatan yang dicadangkan oleh doktor.


Di ruangan ini, kita akan bincangkan rawatan-rawatan bagi kanser payudara.



Apakah jenis rawatan yang diperlukan untuk kanser payudara?



Kanser payudara adalah penyakit yang kompleks. Justeru itu rawatan untuk kanser payudara perlu melibatkan pelbagai modaliti atau jenis rawatan (multimodality therapy) seperti berikut:

          1. Pembedahan

          2. Kimoterapi

          3. Radioterapi

          4. Rawatan hormon

          5. Rawatan targeted

          6. Imunoterapi


Secara amnya, pembedahan adalah rawatan utama untuk kanser payudara, manakala rawatan-rawatan lain adalah rawatan lanjutan yang bertujuan untuk mengurangkan risiko penyakit berulang dan menambahkan jangka hayat pesakit. Setiap rawatan tersebut di atas telah dibuktikan secara saintifik dan statistik menunjukkan setiap jenis modaliti rawatan mempunyai keberkesanan masing-masing untuk kanser payudara.



Bagaimanakah rawatan ditentukan untuk setiap pesakit?


Setiap pesakit adalah unik dan tersendiri, jadi kombinasi dan cara rawatan diberikan adalah berbeza untuk setiap individu (individualised therapy). Rawatan kanser payudara yang terbaik dirancang melalui penglibatan pelbagai disiplin (multidisciplinary approach) di bidang perubatan. Pendekatan multidisiplinari ini melibatkan perbincangan oleh pakar bedah, pakar onkologi, pakar radiologi, pakar patologi, jururawat khas payudara (breast care nurse) dan mana-mana lagi pakar yang terlibat dalam rawatan pesakit kanser payudara tersebut.


Jenis rawatan bergantung kepada beberapa faktor tertentu, termasuk faktor pesakit, faktor ciri-ciri penyakit dan modaliti rawatan yang tersedia di fasiliti kanser di mana pesakit dirawat.


Faktor berkenaan ciri-ciri pesakit yang mempengaruhi jenis rawatan adalah:

Umur pesakit

Keadaan fizikal pesakit

Penyakit lain yang dihidapi pesakit, contohnya sakit jantung, darah tinggi, diabetes

Status menopaus pesakit

Kehendak pesakit juga diambil kira untuk menentukan rawatan

     

Faktor penyakit yang menentukan jenis rawatan pula adalah:

          Jenis sel kanser

          Tahap (stage) kanser

          Gred kanser

          Status reseptor ER, PR dan HER2


Bagi kes Puan Sarah, beliau mempunyai ciri-ciri kanser yang berisiko tinggi untuk berulang kerana usia yang masih muda, mempunyai rebakan kanser ke kelenjar limfa di ketiak, kanser jenis gred 3 dan HER2 positif. Oleh kerana itu, rawatan beliau juga lebih agresif. Manakala ibu saudara Puan Sarah yang lebih berusia hanya menjalani radioterapi dan mengambil pil hormon tanpa kimoterapi kerana kemungkinan kanser beliau berisiko rendah iaitu jenis hormon positif, HER2 negative dan tidak merebak ke kelenjar limfa di ketiak.

Sekuens rawatan untuk setiap pesakit juga berbeza. Senario yang paling kerap ialah pesakit menjalani rawatan pembedahan dahulu, diikuti dengan rawatan kimoterapi dan radioterapi. Rawatan hormon dan terapi targeted akan diberikan, bergantung kepada status reseptor ER, PR dan HER2 pada kanser pesakit.


Ada juga pesakit yang menjalani kimoterapi atau kombinasi kimoterapi dan terapi anti-HER2 terlebih dahulu, sebelum menjalani rawatan pembedahan. Ini dipanggil kimoterapi neoadjuvant.

Biasanya pilihan ini dibuat untuk mengecilkan ketumbuhan di payudara dahulu untuk membolehkan atau memudahkan pembedahan dilakukan. Kombinasi ini juga dilakukan dengan tujuan untuk mematikan semua sel kanser dipayudara yang mana ia tidak akan dapat dikesan secara patologi selepas ia dikeluarkan semasa pembedahan. Ini terbukti memberi impak yang baik untuk jangka hayat pesakit. Namun, pembedahan payudara masih perlu dilakukan untuk memastikan sel-sel kanser tiada lagi di payudara.


Sekiranya pesakit didapati berada di tahap lanjut, iaitu stage 4, mungkin pembedahan payudara tidak diperlukan lagi. Ini adalah kerana penyakit telah merebak ke tempat lain dan rawatan sistemik iaitu kemoterapi, rawatan hormon atau targeted lebih penting untuk merawat keseluruhan badan pesakit.

Rawatan setempat menggunakan radioterapi juga mungkin diperlukan sekiranya ada masalah tertentu seperti pendarahan di payudara atau sebagai rawatan paliatif bagi kanser yang merebak ke tulang belakang yang boleh menyebabkan kesakitan dan lumpuh.


Rawatan imunoterapi ialah jenis rawatan yang baharu diperkenalkan untuk merawat kanser payudara. Buat masa ini ia hanya digunakan untuk merawat segolongan kecil pesakit kanser payudara triple negative sahaja. Pesakit perlu menjalani ujian khas pada sistem imun mereka bagi mengenalpasti kesesuaian mengambil ubat imunoterapi.


Rawatan kanser jenis hormon positif boleh dibaca di sini

Rawatan kanser HER2 positif boleh dibaca di sini

Rawatan radioterapi bagi kanser payudara boleh dibaca di sini


Terdapat pelbagai rawatan sokongan lain untuk pesakit kanser payudara. Ini termasuk rawatan untuk kesihatan tulang (bone protective agents), rawatan paliatif, rawatan fisioterapi, rawatan juruterapi carakerja dan sokongan dari pakar pemakanan (dietician). Selain dari itu, sokongan dari segi emosi dalam bentuk kumpulan sokongan (support group) dan badan bukan berkanun (NGO) adalah penting untuk memberi semangat dan sokongan yang menyeluruh kepada semua pesakit semasa menjalani rawatan.


221 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com