• Dr Natasha Mohd Hashim

Rawatan Kanser Tahap 4 (Stage 4)

Updated: May 17


Topik yang paling sukar untuk ditulis dan diringkaskan. Tidak ada berita yang lebih menggundahkan perasaan seorang pesakit kanser payudara selain daripada mendapat berita yang paling ditakuti iaitu mendapat kanser tahap 4. Selalunya perbincangan mengenai diagnosis dan rawatan kanser tahap 4 di klinik sangat beremosi. Persoalan utama yang sentiasa ditanya – berapa lamakah masa yang ada? Adakah rawatan yang mampu menyembuh? Masihkah ada harapan lagi?.


Di dalam artikel ini kami akan cuba dengan sedaya upaya saya untuk menerangkan kanser tahap 4 dari kaca mata kami, pakar onkologi. Lebih kurang 3/4 daripada pesakit tahap empat adalah pesakit yang mengalami kanser berulang di organ badan yang lain setelah menamatkan rawatan pada masa terdahulu dan selebihnya adalah pesakit yang berada pada tahap 4 pada kali pertama didiagnosis dengan kanser payudara. Sesetengah maklumat ini akan terasa pahit untuk ditelan, tetapi dengan anda memahami bagaimana kami menangani kanser tahap 4, anda dan ahli keluarga anda akan lebih bersedia. Kami tidak ada jawapan berapa lama anda akan hidup, tetapi kami akan berusaha untuk mengawal kanser anda sebaik dan selama mungkin.

Kita mula dengan prognosis. Prognosis dalam bahasa mudah ialah ramalan perjalanan kanser atau jangka hayat seseorang pesakit. Tetapi ramalan ini bukanlah hanya diteka-teka. Ramalan ini berdasarkan data statistik pesakit-pesakit kanser terdahulu yang dikumpul mengikut tahap (stage).




Graf di atas menunjukkan jangka hayat/survival pesakit kanser mengikut tahap (stage). Data ini dikeluarkan oleh negara England bagi pesakit kanser payudara yang didiagnos pada tahun 2013-2017.


Jika dilihat dari graf, kurang daripada 30% pesakit kanser tahap 4 masih hidup pada lima tahun pertama. Ini bermakna, dalam 100 orang pesakit tahap 4, hanya 30 orang masih hidup pada lima tahun pertama. Harus diingatkan golongan 70% yang tewas dengan kanser ini juga termasuklah pesakit-pesakit yang datang setelah terlalu tenat, tidak mahu rawatan hospital dan juga mempunyai banyak penyakit lain seperti sakit jantung, darah tinggi, masalah buah pinggang di mana doktor merasakan rawatan seperti kemoterapi tidak lagi sesuai.


Tetapi adakah anda tergolong di dalam kumpulan 30% atau 70%? Pakar-pakar onkologi akan berusaha untuk menjadikan anda dalam kumpulan 30% yang kekal hidup dengan memberi rawatan-rawatan yang sesuai. Bukan itu sahaja, kualiti hidup juga akan dibaiki supaya anda dapat bersama keluarga dengan gembira dan lebih tenang.

Prognosis tahap 4 ini nampak tidak begitu memberansangkan. Inilah selalunya yang membuatkan pesakit dan ahli keluarga beremosi. Perasaan ini akan mengatasi fikiran anda. Ini adalah reaksi yang normal pada mula-mulanya tapi ini tidak bermakna anda lemah. Oleh itu, kuatkan semangat anda untuk terus berjuang dan mendapatkan rawatan. Ambil sedikit masa untuk mendapatkan informasi dari doktor anda dan memahami pelan rawatan yang diberikan.

Mari kita kupas pula mengenai simptom utama dan rawatan yang akan ditawarkan. Baca dengan lebih objektif supaya anda lebih faham.

Tujuan Rawatan

Pilihan rawatan masih sama – kemoterapi, radioterapi atau ubat “targeted” yang sesuai dengan jenis kanser itu sama ada hormon positif, HER 2 positif atau triple negatif.

Namun, matlamat rawatan untuk kanser tahap 4 ini berbeza. Matlamat utama rawatan-rawatan kemoterapi/radioterapi/”targeted therapy” untuk tahap 1,2,3 ialah untuk penyembuhan maksima. Ini dinamakan rawatan "curative".

Akan tetapi untuk kanser tahap 4, matlamat rawatan adalah untuk memanjangkan jangka hayat, mengurangkan masalah-masalah disebabkan penyebaran kanser ke organ lain dan yang paling penting, untuk menjadikan hidup pesakit dan ahli keluarga mereka lebih berkualiti. Dalam bahasa perubatan ia adalah rawatan paliatif.

Definisi WHO Mengenai Rawatan Paliatif

Rawatan paliatif ialah satu pendekatan yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup pesakit dan juga ahli keluarga pesakit kanser. Pendekatan ini adalah melalui pencegahan awal masalah yang mungkin dihadapi dan mengurangkan kesengsaraan dan penderitaan pesakit dan keluarga. Kesengsaraan yang mungkin dihadapi adalah kesakitan dan apa-apa juga kesukaran fizikal yang dialami termasuklah masalah psychososial dan spiritual.

Simptom dan Rawatan Utama

Simptom dan rawatan utama bergantung kepada masalah utama yang dihadapi pesakit ketika bertemu doktor. Masalah ini biasanya disebabkan oleh sel-sel kanser yang merebak ke organ lain seperti tulang, paru-paru, hati dan otak. Berikut merupakan simptom-simptom utama yang dialami pesakit dan juga rawatan-rawatan yang akan diberi.

1. Sakit

merupakan simptom yang paling kerap dialami. Kebiasaannya kesakitan adalah disebabkan oleh penyebaran sel-sel kanser ke tulang-tulang besar seperti tulang belakang atau tulang pinggul. Sakit disebabkan kanser biasanya berlanjutan dan intensiti sakit juga bertambah dari hari ke sehari. Kadangkala sakit hilang setelah mengambil ubat tahan sakit tetapi sakit datang semula jika pesakit berhenti mengambil ubat. Kesakitan boleh ditangani dengan ubat tahan sakit yang lebih kuat atau radioterapi di bahagian-bahagian yang sesuai.

2. Sesak nafas dan cepat mengah jika banyak membuat aktiviti harian mungkin disebabkan oleh air di paru-paru atau air di selaput jantung. Air ini boleh dibuang melalui tiub untuk memberi kelegaan kepada pesakit.


3. Sakit kepala dan sering muntah-muntah adalah petanda sel kanser sudah merebak ke otak. Simptom ini boleh dikurangkan dengan ubat steroid dan juga radioterapi ke otak.

4. Muntah, sakit perut, sakit tulang dan kurang selera makan mungkin disebabkan oleh tahap kalsium yang tinggi dalam darah. Apabila tahap kalsium terlalu tinggi, pesakit boleh koma. Tahap kalsium yang tinggi ini disebabkan sel kanser yang merebak ke tulang. Kalsium boleh dikurangkan dengan pemberian ubat-ubatan.

5. Penurunan berat badan dan kurang selera makan. Ini merupakan simptom yang kerap dialami tetapi pesakit biasanya tidak mengambil berat masalah tersebut. Ini boleh terjadi apabila sel darah merah yang rendah disebabkan oleh sel kanser yang aktif.

6. Kerap batuk – batuk yang tidak pulih walaupun setelah diberi ubat batuk dan antibiotik. Ini biasanya disebabkan sel kanser yang merebak ke paru-paru.

7. Perut kembung/membesar dan berasa mengah – ini biasanya disebabkan kanser yang merebak ke hati dan menyebabkan air bertakung di dalam perut. Air ini juga boleh dikeluarkan melalui tiub kecil.

8. Mata dan kulit bertukar menjadi kuning ( jaundice ) – Ini terjadi jika kanser telah merebak ke hati dan fungsi hati terganggu.

9. Kaki bengkak – ini boleh disebabkan kurang protein (albumin) kerana kegagalan hati untuk menghasilkan albumin atau terdapat darah beku pada salur darah.

10. Terdapat benjolan baru di bawah ketiak, di payudara, di ruang antara leher dan bahu. Ini petanda kanser berulang di kawasan dahulu.

Kadang kala pesakit tidak mempunyai gejala langsung. Penyebaran kanser dikesan melalui CT scan, PET scan, ultrasound atau xray yang dilakukan secara rutin atau untuk masalah-masalah lain. Biasanya apabila sel-sel kanser masih kecil, pesakit tidak akan mempunyai sebarang simptom. Simptom biasanya terjadi jika sel-sel kanser sudah membesar sehingga mengganggu fungsi organ tersebut.

Rawatan Sistemik

Fokus rawatan utama pada permulaannya adalah untuk menjadikan pesakit lebih selesa dahulu. Apabila pesakit lebih selesa dan semua penyiasatan selesai dijalankan untuk memastikan organ-organ pesakit berfungsi dalam keadaan baik, rawatan khusus untuk kanser akan dicadangkan. Rawatan yang dicadangkan adalah bersifat sistemik, dimana rawatan diberi akan mengawal sel kanser secara menyeluruh di semua bahagian badan. Kemoterapi merupakan antara komponen utama di dalam rawatan sistemik dimana ia di bawa oleh salur darah lalu bertindak membunuh sel kanser yang dijumpai di mana-mana organ badan pesakit. Rawatan sistemik tambahan atau rawatan sistemik yang lain dari kemoterapi boleh juga diberi mengikut kesesuaian jenis kanser – hormon positif, HER2 positif dan triple negatif.

Terdapat banyak ubat-ubat “targeted” baru yang telah diuji di peringkat antarabangsa yang memberi manafaat dan tindakbalas yang bagus terhadap kanser-kanser tahap 4 ini (untuk bacaan lanjut sila rujuk di sini). Malah ada juga ubat “immunotherapy” yang telah dihasilkan untuk memanipulasi sistem imunisasi badan untuk melawan sel-sel kanser. Ubat-ubatan yang lebih canggih dan moden ini kebanyakannya hanya sesuai untuk kanser tahap 4. Akan tetapi, kos rawatan untuk ubat-ubat ini juga tidak murah dan masih ramai yang tidak mampu untuk mendapat akses terhadap ubat-ubatan terbaru ini. Jangan risau, rawatan yang diusahakan yang termampu itulah yang terbaik untuk seseorang pesakit itu.


Rawatan Radioterapi


Ada pesakit yang akan dirawat. dengan radioterapi paliatif bagi mengawal simptom atau komplikasi yang berlaku akibat kanser yang menyerang beberapa anggota badan seperti di otak, tulang atau menyebabkan sesak nafas akibat salur darah utama yang tersumbat. Rawatan ini biasanya diberikan dalam jangkamasa pendek dan boleh mengurangkan kesakitan atau penderitaan pesakit.


Kebarangkalian untuk kanser tahap 4 sembuh sepenuhnya agak sukar. Kebanyakan rawatan yang diberi mungkin akan mengawal pertumbuhan kanser untuk satu tempoh masa tertentu. Apabila sel kanser menjadi aktif semula dan mulai membesar, rawatan akan ditukar supaya sel kanser itu dapat dikawal dengan ubat lain dengan mekanisma yang berbeza. Itulah sebabnya anda selalu mendengar bahawa pesakit kanser tahap 4 sentiasa harus menjalani rawatan.

Pakar onkologi anda akan merawat anda sedaya upaya mereka dan akan sentiasa bersama anda untuk memastikan pesakit tahap 4 sentiasa selesa dan menjalani kehidupan berkualiti, insyaAllah. Pesakit juga akan dirujuk ke doktor pakar paliatif untuk pengurusan penyakit yang lebih holistik yang meliputi psikososial dan juga spiritual.

Dr Natasha Mohd Hashim

Pakar Onkologi KPJ Johor

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com