• Dr Luqman Mazlan

Rawatan Pembedahan untuk Kanser Kolon dan Rektum

Updated: Jun 16

Setelah seseorang pesakit disahkan mengalami penyakit kanser kolon atau rektum, rawatan seterusnya sering kali melibatkan pembedahan. Ini boleh berlaku dalam situasi kecemasan (emergency surgery) atau pembedahan dirancang dan diperjadualkan (elective surgery).

Jenis pembedahan bergantung kepada lokasi ketumbuhan itu di dalam usus. Merujuk kepada gambar-gambar di bawah, boleh diperhatikan bahawa pembedahan yang sering kali dilakukan adalah pembedahan separa-kolektomi kanan atau right hemicolectomy (untuk kanser di bahagian kanan kolon), separa-kolektomi kiri atau left hemicolectomy (untuk kanser di bahagian kiri kolon) dan anterior resection (untuk kanser yang melibatkan penghujung kolon dan rektum).









Separa-kolektomi kanan

(Right Hemicolectomy)














Separa-kolektomi kiri

(Left hemicolectomy)
















Anterior resection








Tambahan pula, pembedahan ini bukan sahaja melibatkan pemotongan usus sahaja malah juga saluran darah dan kelenjar limfa yang berdekatan dengan kanser tersebut. Ini kerana kanser sering kali merebak melalui saluran darah dan kelenjar limfa.



Gambar menunjukkan saluran-saluran darah yang membekalkan bahagain kolon yang berlainan dan saluran limfa yang mengikuti saluran-saluran darah ini.


Walaupun konsep pembedahan seperti yang diterangkan di atas adalah sama tidak kira cara pembedahan, cara pembedahan boleh dibahagikan kepada cara terbuka (open surgery) atau cara tebukan laparaskopik (laparoscopic key-hole surgery).

Open surgery melibatkan pembedahan dengan luka menegak yang panjang berbanding dengan luka pembedahan cara laparoskopik (lihat gambar di bawah). Selain daripada perbezaaan antara luka, masa untuk sembuh dan tahap kesakitan yang dialami pesakit adalah kurang jika pembedahan laparoskopik dilakukan.



Luka daripada Open surgery

Cara pembedahan laparoskopik menggunakan luka-luka yang kecil

Setelah sembuh, luka hampir tidak kelihatan selepas pembedahan cara laparoskopik.


Oleh sebab ini, sebahagian pakar bedah kolorektal sering melakukan cara pembedahan laparoskopik untuk pesakit-pesakit mereka dan hanya akan membedah cara terbuka jika kanser tersebut besar atau keadaan pesakit tidak mengizinkan.

Pembedahan usus merupakan pembedahan yang besar yang dilakukan di bawah bius am (general anesthesia) dan pesakit perlu bersedia untuk dirawat di wad untuk lebih kurang 7-10 hari. Masa pembedahan boleh menjangkau 4-6 jam. Selepas pembedahan, pesakit perlu berehat sepenuhnya dan pola pemakanan dan senaman fisioterapi akan dibuat secara berperingkat supaya pesakit dapat sembuh dalam masa terdekat.

Komplikasi pembedahan ini juga perlu diketahui oleh semua pesakit. Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah kebocoran usus, pendarahan dan jangkitan pada paru-paru dan luka pembedahan. Walaubagaimanapun, kadar komplikasi ini adalah rendah dan tidak sepatutnya menghalang pesakit daripada mendapat rawatan pembedahan yang sewajarnya.

Sekiranya pembedahan memerlukan stoma (kekal atau sementara), pembacaan lanjut mengenai stoma dan penjagaannya boleh di baca di pautan di sini.

Setelah pembedahan selesai, bahagian usus yang dibedah akan di hantar ke makmal patologi untuk pemeriksaan terperinci. Rawatan susulan seperti kemoterapi akan bergantung pada tahap dan jenis kanser tersebut.


Dr Luqman Mazlan Pakar Bedah Perunding Kolorektal Hospital Pantai Kuala Lumpur

465 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com