• Dr Mastura Md Yusof

Terapi Alternatif. Sahih atau Mitos?

Updated: May 31



Kanser adalah kumpulan penyakit-penyakit yang serius dan unik yang tidak boleh kita kuiskan ketepi, pendamkan atau rawat dengan rawatan-rawatan bagi penyakit bukan malignan lain seperti resdung, asma, selsema, penyembuhan luka, atau diabetes. Apatah lagi jika ia dirawat dengan terapi alternatif seperti snake oil ,keladi tikus dan biji apricot yang tidak disahkan melalui kajian klinikal sebagai efektif dan selamat bagi sesuatu jenis kanser tertentu.

Kanser perlu dirawat dengan rawatan multimodaliti konvensional seperti pembedahan, kimoterapi, radioterapi, imunoterapi, ubat “targeted”, hormon, rawatan paliatif, psikologi dan pemulihan yang mempunyai “track record” dari zaman berzaman. Rawatan kanser yang optima melibatkan beberapa pakar dan pasukan rawatan yang bergabung memberikan rawatan yang holistik dan tepat buat pesakit.

Prinsip rawatan konvensional ini mengambilkira semua aspek kehidupan pesakit. Ia komprehensif, personalised ( terperinci) dan spesifik pada individu dan jenis kanser individu tersebut dan diolah berdasarkan data klinikal yang kuat (evidence based medicine atau EBM) yang terhasil dari kajian yang berjaya membantu pesakit.


Objektif rawatan kanser adalah preskripsi rawatan yang tepat, pada pesakit yang betul, pada waktu yang paling sesuai dengan sekuens yang betul dan di tempat rawatan yang baik.

Rawatan kanser biasanya diberikan mengikut tujuan dan indikasi rawatan samada pencegahan, penyembuhan, paliatif,rehabilitasi atau kajian pengubatan klinikal. Sebagai contoh prognosis pesakit kanser payudara telah meningkat dengan sangat memberangsangkan sejak 20-30 tahun yang lalu. Tahap penyembuhan kanser peringkat awal tinggi dan kanser tahap 4 berjaya mendapat survival lebih 5 tahun. Ini terhasil daripada usaha pengesanan awal, klasifikasi pesakit kepada kumpulan TNBC, HER2 positif dan hormon positif, dan rawatan yng efektif serta sokongan yang diberikan kepada pesakit. Sumbangan aktiviti sukarelawan kanser yang banyak membantu pesakit kanser payudara juga banyak merubah kondisi pesakit kanser payudara.


Terdapat kajian besar yang dijalankan ke atas rawatan alternatif yang menunjukkan hampir separuh dari pesakit kanser pernah melakukan terapi alternatif (Horneber M, Bueschel G, Dennert G, et al.: How many cancer patients use complementary and alternative medicine: a systematic review and metaanalysis. Integr Cancer Ther 11 (3): 187-203, 2012). Amalan alternatif menggunakan sumber semulajadi telah bermula seawal tahun 1500. Susu, tahi kambing, katak dan plet plumbum pernah digunakan sebagai rawatan kanser payudara (Rayter Z & Mansi J (eds). Medical Therapy of Breast Cancer. Cambridge University Press: Cambridge; 2003). Setelah itu. rawatan alternatif dan tradisional kemudiannya berkembang dan dikenali juga dengan nama-nama berikut :

} Folkloric

} Allopathic

} Biomedicine

} Non-Western

} Holistic

} Non-conventional

} Orthodox

} Unproven medicine



Gambar menunjukkan kanser payudara pesakit semakin membesar,memburuk dan pecah menjadi ulser sewaktu menerima rawatan alternatif.











Insiden kanser di negara kita semakin bertambah. Tahap survival kanser di Malaysia lebih rendah dari negara maju kerana lebih ramai pesakit kanser yang didiagnos pada tahap kanser yang telah lewat. Kesedaran terhadap kanser masih rendah dan ramai pesakit yang melambatkan proses bertemu doktor dan lebih suka mencuba rawatan alternatif yang tidak sahih kebenarannya. Malahan ramai pesakit yang menemui kesulitan dan mendapat komplikasi. Walau bagaimana pun dunia semakin maju dan terdapat pelbagai bahan bacaan atau informasi di internet yang boleh menunjukkan kepada kita akan impak kepada pesakit kanser jika tidak mendapatkan rawatan yang betul.

Jadi, kita harus berfikir dengan mendalam dan tidak cepat mempercayai cadangan dari mereka yang tidak bertauliah mengenai rawatan kanser. Saranan yang cuma berdasarkan testimoni berada pada tara Evidence –Based Medicine yang terendah dan tiada bukti kajian klinikal yang kuat, bagi mengesahkan kebaikannya pada pesakit . Malah, ada rawatan alternatif telah dibuktikan berpotensi untuk menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan maka pesakit haruslah berhati-hati dalam membuat keputusan.

Jika anda memilih untuk mencuba pastikan anda melakukan audit ke atas reaksi atau tindakbals rawatan tersebut terhadap kanser anda dan mengambil tindakan yang betul jika ia tidak berkesan ke atas penyakit anda.


Apakah Rawatan Alternatif bagi Kanser


Ia adalah sekumpulan amalan yang berbagai bentuk dari segi produk atau praktis yang bukan terapi konvensional. Amalan alternatif ini adalah cubaan untuk menggantikan rawatan perubatan konvensional.

Rawatan alternatif tidak dapat menggantikan rawatan konvensional kerana ia tidak mempunyai data saintifik yang menunjukkan ia berkesan dan selamat digunakan. Malahan ia boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa pesakit kerana mereka akan melambatkan rawatan moden dan terdedah kepada kandungan terapi alternatif yang tidak diketahui akan status keselamatannya kepada badan.


Apakah ciri2 untuk mengenali rawatan alternatif?


  • Ketiadaan atau sangat kekurangan artikel di jurnal perubatan( peer-reviewed articles) mengenai laporan kajian di makmal dan pada manusia yang mempunyai kanser spesifik itu

  • Mekanisma keberkesanan produk tidak saintifik

  • Mekanisme tindakan tidak dibuktikan (unproven mode of action) Tiada atau kurang kajian klinikal

  • Boleh diberikan kepada apa-apa jenis kanser (tidak spesifik)

  • Dos yang diperlukan pada pesakit tidak jelas (tua, muda, kanak-kanak, dewasa) Tiada maklumat yang jelas mengenai kesan toksik pada manusia jangkamasa pendek dan lama

  • “Too good to be true”- menjanjikan kesembuhan pada masa yang singkat, kos mungkin tinggi tidak berpadanan dengan natijah produk


Beberapa contoh terapi alternatif yang tiada kajian saintifik yang besar dan meluas pada pesakit kanser termasuk :

1. Terapi yang menggunakan nama haiwan atau tumbuhan yang dikatakan mempunyai bahan aktif melawan kanser seperti keladi tikus, Sabah snake grass, Kulat susu harimau hutan Misai kucing atau Porcupine date, apricot seed dll. 2. Terapi dengan nama-nama saintifik termasuk terapi ozon, alkaline diet, terapi chelation, B17/ amygdalyn/laetrile, bahan magnetik dll. 3. Terapi pemakanan ‘ ‘miracle’ yang biasanya terdiri dari sumber buah2an atau tanaman 4. Terapi lain-lain Memasukkan kanser ke dalam telur ayam atau batu Bomoh dan pawang Pembantingan gen

Terapi angin


Analisa pada tahun 2015 ke atas 225 kajian perubatan dan 1,800 artikel pada jurnal perubatan telah membuat kesimpulan yang homeopati tidak efektif sebagai rawatan dan boleh menyebabkan pesakit mendapat kecelakaan akibat menolak atau melambatkan rawatan konvensional yang sebenar (https://www.nhmrc.gov.au/…/att…/cam02a_information_paper.pdf) Pada tahun 2019 NHS iaitu badan otoriti kesihatan di United Kingdom telah mengeluarkan berita yang rawatan yang tidak diiktiraf hanya membazirkan health resources (http://www.telegraph.co.uk/…/nhs-ban-homeopathy-herbal-med…/). Herba mempunyai potensi untuk berinteraksi dengan ubatan lain yang diambil pesakit dan mampu menyahkesan ubat atau merosakkan hati dan buah pinggang.

Sumber semulajadi yang telah diproses ke dalam bentuk pil, kapsul, serbuk, cecair mungkin mengandungi bahan terlarang yang tidak diketahui yang boleh memudaratkan.

Keputusan kajian besar-besaran yang dilakukan pada Ogos 2017 menghasilkan keputusan yang sangat penting kerana ia menunjukkan yang pesakit yang memilih terapi alternatif adalah berisiko 2 kali ganda untuk mati dari kanser dan berisiko tinggi untuk mempunyai survival kurang dari 5 tahun (.https://www.ncbi.nlm.nih.gov/…/2017-08-16-alternative-canc…/)

Jadi pesakit perlu berhati-hati dan membuat keputusan yang selamat untuk diri mereka.

Terapi alternatif berlainan daripada terapi Traditional and Complementary Medicine ( TCM) atau Intergrative Oncology yang mana amalan alternatif diberikan bersama-sama terapi konvesional, untuk mengatasi kesan sampingan rawatan dan memberi sokongan kepada pesakit. Amalan ini ada dilakukan di beberapa jabatan TCM di fasiliti KKM.


Antara contoh terapi komplementari yang dibenarkan:


  • 1. Anxiety - hipnosis, urutan, meditasi, teknik merelakskan otak dan diri

  • 2. Kepenatan – senaman, urutan, meditasi, teknik merelakskan otak dan diri, yoga

  • 3. Loya dan muntah - akupunktur, aromaterapi, hipnosis, muzik

  • 4. Sakit - akupunktur, aromaterapi, hipnosis, muzik, urutan

  • 5. Masalah tidur – senaman, yoga, teknik merelakskan otak dan diri, tai-chi

  • 6. Stress- senaman, urutan, hipnosi, meditasi, teknik merelakskan otak dan diri, yoga

Antara contoh bentuk rawatan alternatif yang TIDAK membahayakan pesakit dan boleh dijadikan rawatan komplementari:


1.Habbatusauda

2.Kurma, kismis

3.Olive herbs

4.Quran, ayat dan bacaan alquran, bible dan doa

5.Air yang dibacakan doa

6.Terapi buah-buahan, diet vegetarian


Sebagai contoh, biji aprikot atau B17 pernah diwar-warkan sebagai terapi alternatif untuk kanser. Mari kita lihat apakah ia sebenarnya:

Biji aprikot yang semulajadi mengandungi protein, lemak, minyak, fiber, karbohidrat dan sedikit vitamin E. Biji aprikot yang pahit digunakan bagi kecantikan muka, kosmetik atau sebagai essential oil untuk membantu sistem dan fungsi badan.

Namun jika mengambil dalam kuantiti berlebihan, contohnya untuk mengelakkan kanser- ia mungkin membahayakan kita. Ini kerana kandungan amygdalin pada biji aprikot ditukar kepada cyanide di dalam badan pada kuantiti tinggi. Cyanide berpotensi menjadi bahan kimia yang merbahaya pada badan melalui halangan kepada sel badan daripada mendapat oksigen, termasuk jantung dan otak. Menurut kajian, memakan 50-60 biji dan keatas sehari adalah jumlah yg bahaya, dipanggil “cyanide poisoning”. Namun, kesan cyanide poisoning boleh berlaku pada pengambilan jumlah biji lebih rendah mengikut saiz badan dan samada pengambil adalah kanak-kanak atau warga tua.

B17 adalah laetrile iaitu bentuk sintetik (tiruan) untuk amygdalin. Ia terhasil dari reaksi kimia antara air dan amygdalin dari biji aprikot. Ia bukan vitamin tetapi hanya dipanggil vitamin oleh penciptanya pada tahun 60an berdasarkan kepercayaan salah iaitu kanser terjadi akibat kekurangan vitamin.

Setakat ini tiada kajian klinikal pada manusia yang membuktikan amygdalin or laetrile / B17 boleh mencegah atau merawat kanser atau sebagai rawatan apa-apa penyakit lain. Bahkan FDA di USA melarang pengambilannya sebagai makanan atau perubatan. Bacaan lanjut boleh dilihat di link ini https://www.cancer.gov/about-can…/…/cam/patient/laetrile-pdq Dr. Mastura Md Yusof

Pakar Onkologi




Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com