• Dr Mastura Md Yusof

Terapi Targeted untuk Kanser Kolorektal


Seperti yang dibincangkan sebelum ini pada artikel terdahulu, rawatan sistemik bermaksud bentuk rawatan yang mengggunakan ubat-ubatan untuk mematikan sel kanser. Ubat memasuki saluran darah untuk sampai ke mana-mana bahagian badan selepas diberikan melalui suntikan atau melalui pil atau kapsul yang dimakan.

Antara penemuan rawatan sistemik terbaru pada perawatan kanser kolorektal melibatkan dua jenis rawatan iaitu terapi targeted dan imunoterapi. Buat masa sekarang kegunaannya terhad pada kanser tahap 4 yang tidak dapat dibedah ( unresectable) atau yang berpotensi untuk dibedah ( potentially resectable) sahaja. Ia biasanya diberikan secara kombinasi dengan kimoterapi tetatpi ada yang boleh diberikan secara solo ( monotherapy).

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kimoterapi kanser kolorektal tahap 4 boleh dibaca di sini.


Terapi “targeted”

Terapi targeted adalah rawatan yang mensasarkan mutasi atau ciri-ciri yang spesifik pada gen, protein, atau tisu pada kanser, yang bertanggungjawab bagi proses pertumbuhan dan survival kanser (antara penyebab kanser itu terjadi).

Gen, protein atau tisu yang menjadi “target” itu adalah khusus untuk sesetiap jenis kanser jadi bukan semua kanser ada “target” yang sama. Target ini harus dibuktikan ada pada sel kanser dan rawatan spesifik dicipta khas untuknya bagi menghalang pembiakan dan perebakan sel kanser tanpa mengganggu sel-sel normal yang tidak mempunyai target yang sama.

Sebelum doktor menawarkan rawatan yang paling efektif, ujian bagi mengenalpasti “target’ perlu dilakukan ke atas tumor. Jadi rawatan dapat dipadankan atau disesuaikan dengan individu yang mempunyai target atau tidak jadi mengelakkan rawatan yang tidak efektif diberikan dan kesan sampingan yang tidak perlu dielakkan. Jadi terapi targeted ini tidak membezakan pesakit tua atau muda, bangsa atau jantina tetapi samada tumor pesakit mempunyai “target” itu atau tidak.

Konsep ini dinamakan "personalised therapy" dan banyak penyelidikan berarah kepada konsep rawatan sebegini telah diperkenalkan kepada rawatan kanser kolorektal tahap 4. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ciri biologi kanser kolorektal tahap 4 boleh baca di sini.

Berikut adalah pilihan terapi targeted untuk kanser kolorektal tahap 4:

Terapi Targeted

1. Ubat anti- angiogenesis

Angiogenesis adalah proses pembentukan salur darah baru pada badan. Kanser memerlukan salur darah bagi membekalkan nutrien dan oksigen bagi survivalnya. Objektif terapi antiangiogenesis adalah menghalang pembentukan salur darah ( anti-angiogenesis) jadi kanser akan mati kerana tidak mendapat sumber nutrien dan oksigen dari badan setelah pembentukan salur darah disekat.

Namun, walaupun pembentukan salur darah baru di kawal oleh beberapa protein , tiada ujian profil DNA perlu dilakukan sebelum mengambil ubat ini kerana protein tersebut ada pada hampir semua jenis kanser.

Bevacizumab

Ubat bevacizumab diberikan bersama-sama ubat kimoterapi standard dan didapati mengecutkan kanser dengan lebih baik disamping memanjangkan hayat pesakit kanser kolorektal tahap 4.

Ia boleh diberikan sebagai terapi sistemik yang pertama ( first line therapy) atau yang kedua selepas terapi sistemik yang lain pernah diberikan.

Ubat yang sama seperti bevacizumab ( biosimilar) juga telah dilulusakn dan boleh digunakan seperti bevacizumab.

Bevacizumab boleh berkombinasi dengan mana-mana ubat kimoterapi asas seperti capecitabine, 5FU, FOLFOX, XELOX, FOLFIRI atau FOLFOXIRI.

Aflibercept

Aflibercept diberikan bersama-sama rejim FOLFIRI sebagai rawatan “ second line) dikalangan pesakit yang telah mengambil ubat oxaliplatin sebelum itu.

Ramucirumab

Ramucirumab boleh diberikan bersama-sama rejim FOLFIRI sebagai rawatan “ second line” dikalangan pesakit yang telah mengambil ubat oxaliplatin sebelum itu.

Ketiga-tiga ubat di atas diberikan dalam bentuk IV setiap 2 minggu sekali. Bevacizumab boleh diberikan setiap 3 minggu sekali.


Ubat terapi multi-target

Regorafenib

Regorafenib adalah ubat yang mensasarkan beberapa protein dengan pelbagai fungsi pada sel kanser termasuk pertumbuhan dan pembentukan salur darah

Ia adalah ubat pil yang diberikan hanya setelah pesakit melalui semua rawatan lain. Ia diberikan sekali sehari untuk 3 minggu dalam kitaran 4 minggu.

Antara kesan-kesan sampingan ubat di dalam kumpulan anti-angiogenesis :

  • Tekanan darah tinggi

  • Letih

  • Pendarahan

  • Ulser mulut

  • Sakit kepala

  • Kurang selera makan

  • Cirit

  • Alahan

Ubat Anti -Epidermal growth factor receptor (EGFR)

EGFR adalah salah satu mekanisme yang digunakan bagi pertumbuhan kanser kolorektal. Kajian klinikal mendapati ubat terapi yang mensasarkan EGFR efektif dalam mengawal atau melambatkan pertumbuhan dan rebakan kanser.

Ujian patologi ke atas tumor di makmal, bagi mengenalpasti pesakit yang boleh mengambil ubat anti EGFR dinamakan ujian mutasi RAS. Pesakit yang tidak mempunyai mutasi pada gen RAS boleh mengambil ubat anti EGFR manakala mereka yang didapati mempunyai mutase pada gen RAS tidak sesuai mengambilnya. Jadi ujian RAS adalah mandatori sebelum ubat-ubat anti EGFR boleh ditawarkan pada pesakit.

Cetuximab

Cetuximab adalah sejenis ubat antibodi monoklonal yang diberikan bersama-sama kimoterapi standard pada terapi sistemik pertama dan kedua bagi menambahkan tahap pengecutan kanser dan memanjangkan hayat pesakit kolorektal tahap 4. Cetuximab boleh diberikan bersama ubat kimoterapi atau sebagai monoterapi.

Panitumumab

Panitumumab adalah ubat antibodi monoklonal sama seperti cetuximab tetapi ia diberikan sebagai terapi sistemik pertama. Panitumumab boleh diberikan bersama ubat kimoterapi atau sebagai monoterapi.

Kedua- dua ubat di atas diberikan dalam bentuk IV samada setiap 1 atau 2 minggu sekali

Antara kesan sampingan ubat anti EGFR adalah seperti berikut :

  • Sakit kepala

  • Letih

  • Cirit

  • Ruam/rengsa

  • alahan



Mutasi BRAF

Terdapat sebahagian kecil kanser kolorektal yang mempunyai mutasi pada gen BRAF. Mutasi BRAF memberikan prognosis yang kurang baik dan kanser bukan sahaja agresif malah mungkin menyebabkan ubat anti-EGFR tidak efektif mengawal kanser.


Imunoterapi


Imunoterapi adalah sejenis terapi bagi mengaktif dan menguatkan sistem imun badan untuk melawan kanser. Mekanisme imunoterapi yang berkesan pada kanser kolorektal adalah mekanisme “ checkpoint inhibitors” iaitu penggunaan ubat yang memulihkan fungsi imun badan yang gagal menjalankan dutinya untuk mematikan sel kanser.


Pembrolizumab

Pembrolizumab sejenis imunoterapi yang mensasarkan “target” iaitu PD-1, sejenis molekul reseptor pada sel tumour yang dapat menghalang sistem imun daripada memusnahkannya. Segelintir pesakit kanser kolorektal mempunyai mutase dipanggil microsatellite instability (MSI-H) atau mismatch repair deficiency (dMMR).

Pembrolizumab digunakan untuk merawat kanser kolorektal tahap 4 yang mempunyai mutasi ini.


Nivolumab

Nivolumab adalah sejenis ‘ checkpoint inhibitor” yang boleh digunakan untuk pesakit kanser kolorektal tahap 4 dengan mutasi MSI-H yang telah pernah dirawat dengan ubat-ubat fluoropyrimidine capecitabine dan 5-fluorouracil), oxaliplatin dan irinotecan.

Sebgai contoh, bagi pesakit dengan kanser tahap 4 yang tidak dapat dibedah boleh dirawat dengan kemoterapi atau kimoterapi bersama bevacizumab. Jika kanser mereka tiada mutase pada gen RAS, kimoterapi boleh berkombinasi dengan ubat cetuximab atau panatimumab. .

Selain daripada itu, jika pesakit didapati mempunyai mutasi MSI-H, mereka mempunyai opsyen rawatan dengan ubat imunoterapi Nivolumab atau pembrolizumab .

Kesan sampingan imunoterapi adalah letih, cirit, rengsa kulit dan gatal.


Dr Mastura Md Yusof

Consultant Clinical Oncologist

Pantai Hospital KL & SJMC

Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya

162 views

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com