• Dr Mastura Md Yusof

TNBC. Apa yang wanita harus ketahui

Updated: May 31

Triple Negative Breast Cancer (TNBC)


Masni, seorang pegawai bank berumur 41 tahun adalah seorang ibu tunggal kepada dua anak berusia 15 dan 11 tahun. Beliau seorang yang aktif dan tidak pernah mempunyai masalah kesihatan sehinggalah awal tahun ini apabila beliau merasa ketulan sebesar guli di payudara kiri. Jadual harian yang padat menyebabkan Masni mendiamkan penemuan ketulan itu dahulu. Selepas dua bulan ketulan dipayudara makin membesar, mengeras dan kulit pada payudara kelihatan berbintik dan satu benjolan baru di ketiak pula dapat dirasai oleh Masni. Beliau berjumpa doktor dan setelah pemeriksaan mammogram, ultrasound, biopsi dan CT scan dijalankan, Masni disahkan mengidap kanser payudara ‘invasive ductal carcinoma” tahap 3. Beberapa hari selepas itu kanser Masni diklasifikasikan sebagai triple negative breast cancer” atau singkatannya, TNBC.



Fig 1. Imej mamogram menunjukkan terdapat kluster microcalcification pada payudara









Ini adalah 'history' dari pesakit yang selalu kami dengar di klinik. Seringkali atas sebab tidak peka, takut untuk berjumpa doktor atau terlalu sibuk, kanser membesar dengan cepat terutama dari jenis TNBC.

Sekitar 15-20% dari pesakit kanser payudara tidak mempunyai ketiga-tiga reseptor ER,PR atau HER2 pada sel kanser dan ini dikenali sebagai TNBC. Walaupun ia jenis kanser yang paling kurang berlaku pada wanita., TNBC adalah jenis kanser yang lebih agresif, sukar dirawat dan mempunyai prognosis keseluruhan yang kurang baik berbanding kanser jenis hormon positif atau HER2 positif. Ini menyebabkan ramai pesakit yang sangat murung dan risau apabila didiagnos dengan kanser ini.



Fig 2. Imej CT scan kanser TNBC dipayudara kanan yang sangat besar dan tumbuh dengan sangat cepat.








Informasi mengenai reseptor ER PR dan HER2 pada sel kanser payudara boleh dibaca di sini.


Antara ciri-ciri tipikal yang sering diperhatikan pada TNBC yang sedikit berbeza dari jenis kanser yang lain adalah seperti berikut:


  1. Paling kerap terjadi pada kanser jenis ‘ductal carcinoma’ dan sangat jarang berlaku pada kanser jenis ‘lobular carcinoma’.

  2. Mempunyai gred kanser yang tinggi -lazimnya gred 3( high grade) dan saiz tumour yang lebih besar yang bermaksud kadar pertumbuhan yang cepat dan senang merebak.

  3. Lebih kerap didiagnos pada tahap lebih ‘advanced’ atau telah merebak ke organ lain.

  4. Menyerang wanita yang lebih muda (<40 tahun) atau belum menopos.

  5. Lebih sering berlaku pada wanita Asia dan Afrika.

  6. Berisiko tinggi untuk merebak melalui saluran darah ke organ visera penting seperti hati, paru- paru dan otak.

  7. Kanser berulang (relapse) kerap terjadi awal, sekitar 2-3 tahun pertama selepas diagnosis namun kadar kanser berulang ini akan menurun selepas 5 tahun.

  8. Kadar kanser berulang yang tertinggi berbanding jenis kanser yang lain

  9. Tidak respon pada ubat hormon atau anti-HER2.

  10. Selalunya respon dengan baik atau sensitive pada kimoterapi.

  11. Merupakan jenis kanser yang tertinggi dikaitkan dengan gen keturunan kanser payudara iaitu Breast Cancer Related Gene (BRCA) 1 dan 2 yang berisiko tinggi mendapat kanser payudara,ovari, pancreas dan melanoma sepanjang hayat mereka. Mutasi “germline” pada gen BRCA1 dan 2 merupakan penyebab kanser terjadi pada lebih kurang 15% daripada pesakit TNBC.


Berdasarkan ciri-ciri di atas, TNBC amat ditakuti oleh wanita yang mengalami kanser payudara. Namun begitu, TNBC bukanlah seolah ‘ a death sentence” kepada semua pesakit. Walaupun ia tidak sesuai diberikan hormon atau ubat anti-HER2, ia masih boleh dirawat dengan efektif. Jika kita membuat pemeriksaan awal, memahami akan jenis kanser ini dan seterusnya menjalani rawatan yang tepat, kita mampu untuk mengatasinya. Berbincang dengan doktor anda untuk mengetahui semua pilihan rawatan yang ada untuk merawat TNBC. Seperti jenis yang lain, lebih awal kanser dikesan, kanser belum jauh merebak ke tempat lain maka peluang untuk sembuh tetap tinggi. Jangan berputus asa kerana saintis dan penyelidik diseluruh dunia sedang terus berusaha keras menjalankan pelbagai penyelidikan dan ujian klinikal ke atas penemuan-penemuan terbaru dibidang rawatan kanser ini sejak sedekad yang lalu. .


Faktor-faktor yang meninggikan risiko mendapat kanser payudara boleh di baca di sini



Fig 3. Hari TNBC sedunia disambut pada 3 Mac setiap tahun sejak 2017














Simptom-Simptom TNBC


Gejala atau simptom yang dialami oleh pesakit kanser payudara TNBC adalah hampir sama dengan jenis kanser payudara yang lain dan boleh dilihat di sini. Dalam kes Masni di atas, dalam tempoh hanya dua bulan, kanser Masni melompat dari sebesar guli ( tahap satu) ke tahap tiga setelah memasuki kulit dan merebak ke kelenjar di ketiak. Apa yang membezakan TNBC dari jenis kanser lain adalah kadar pertumbuhan kanser yang cepat, saiz tumor yang lebih besar dan lebih cenderung melibatkan kulit atau dinding dada pada payudara. Kebarangkalian rebakan awal ke kelenjar limfa di ketiak dan organ lain pada mula diagnosis lebih tinggi jadi kita harus peka pada gejala-gejala akibat rebakan ke tempat lain selain daripada simptom di payudara dan memberitahu doktor supaya langkah-langkah bagi mengesahkannya boleh diambil.


Diagnosis TNBC


Selepas pengambilan sejarah perubatan pesakit, proses pengesahan kanser payudara TNBC adalah sama dengan kanser yang lain iaitu pemeriksaan klinikal, mammogram dan/atau ultrasound serta prosedur biopsi untuk mengambil secebis tisu dari ketulan dipayudara bagi diujikaji di makmal patologi. Jenis kanser dan status reseptor estrogen (ER), progesterone (PR) serta reseptor Human Epidermal Receptor 2 (HER2) akan dipastikan. Maklumat ini harus diketahui dengan segera sekiranya pesakit mempunyai jenis kanser yang lebih agresif seperti TNBC. Oleh kerana kanser ini agresif, wanita yang mempunyai symptom kanser digesa membuat pemeriksaan dengan segera supaya rancangan dan sekuens rawatan yang terbaik dapat dirangka dengan segera.

Bagaimana kanser payudara TNBC disahkan boleh dibaca di sini.

Ujian yang dilakukan bagi memastikan tahap kanser pada peringkat awal diagnosis boleh dibaca di sini.


Adakah rawatan bagi TNBC berbeza dari kanser payudara lain?


Seperti kanser lain, rawatan bagi TNBC bergantung kepada tahap kanser dan keadaan fizikal pesakit. Bezanya adalah tiada rawatan hormon atau ubat anti-HER2 seperti trastuzumab atau pertuzumab. Pesakit masih boleh dirawat dengan kombinasi pembedahan, radioterapi, kimoterapi, imunoterapi dan rawatan sokongan yang mampu membantu pesakit sebaik mungkin.


Pembedahan Pembedahan adalah antara rawatan utama pesakit TNBC. Jenis pembedahan yang dilakukan bergantung kepada saiz tumor pada payudara, samada mempuyai kelenjar limfa di ketiak atau rebakan kanser di kawasan setempat dan organ lain dan faktor-faktor lain seperti tahap kesihatan dan pilihan pesakit. Pesakit kanser TNBC tahap 4 mungkin tidak memerlukan pembedahan payudara.



Fig 4. Pembedahan membuang tumour dipayudara dan kelenjar di ketiak


Radioterapi Radioterapi adalah rawatan terapi XRAY bertenaga tinggi yang diberikan selepas pembedahan bagi mengurangkan risiko kanser berulang di bahagian dada. Pesakit TNBC berisiko mendapat kanser berulang di kulit dan tisu di bahagian dada serta kelenjar limfa di ketiak, tengah dada( intramammary nodes) atau di pangkal leher ( supraclavicular nodes) jadi majoriti pesakit TNBC akan dirawat dengan radioterapi sebanyak 15-25 kali.

Informasi lanjut mengenai rawatan radioterapi boleh dibaca di sini.



Fig.5. radioterapi ke dada kiri

Kimoterapi Kimoterapi diberikan kepada hampir semua pesakit TNBC. Regimen yang diberikan sering melibatkan ubat kombinasi anthracycline, taxane dan cisplatin atau carboplatin iaitu ubat-ubat yang telah dipastikan berkesan ke atas TNBC. Kimoterapi boleh diberikan sebelum pembedahan ( neoadjuvant chemotherapy), selepas pembedahan ( adjuvant chemotherapy) atau rawatan pesakit kanser tahap 4 ( TNBC metastatik).

Imunoterapi Imunoterapi iaitu ubat yang memanipulasi dan menguatkan imun badan untuk mengawal kanser mugkin boleh digunakan oleh sesetengah pesakit TNBC metastatik. Antara ubat imunoterapi tersebut adalah atezolizumab atau pembrolizumab yang bertindak mensasarkan protein PD-L1 pada sel kanser dan sel imun disekitarnya.


Rawatan ‘targeted’ "PARP inhibitor " Bagi pesakit kanser TNBC metastatic yang dikenalpasti mempunyai mutasi pada gen ‘hereditary cancer” BRCA1 dan 2, terdapat rawatan terapi sasaran iaitu ubat biji PARP inhibitors seperti olaparib dan talazoparib. Walau bagaimanapun , rawatan unik ini hanya diberikan pesakit yang memenuhi indikasi rawatan tersebut dan bukan sesuai untuk semua pesakit TNBC.


Selain rawatan di atas, pesakit TNBC harus mengikuti jadual rawatan susulan termasuk ujian pengesanan kanser berulang iaitu mammogram dan/atau ultrasound dan ujian lain yang berkenaan . Utarakan apa-apa permasalahan samada dari segi emosi atau fizikal kepada doktor sewaktu klinik susulan. Elakkan mengambil supplemen yang tidak berdaftar dan mungkin membahayakan nyawa kita. Teruskan menjalani kehidupan yang aktif dengan bersenam, makan dengan seimbang dan menjaga kalori dalam diet seharian selain berhenti merokok atau mengambil alkohol. Minda yang positif dan semangat juang yang tinggi serta sokongan padu daripada pasangan, ahli keluarga, kawan-kawan dan rakan sepejabat sangat membantu pesakit sembuh daripada kanser TNBC ini.




DR MASTURA MD YUSOF

CONSULTANT ONCOLOGIST

PHKL, SJMC



Artikel ini dihasilkan oleh panel editor dan merupakan hakcipta Klinik Onkologi Maya. Informasi di dalam blog ini tidak bermaksud dan bukan untuk menggantikan perundingan klinikal mana-mana pesakit kanser di dalam Malaysia dan di luar negara. Ia hanyalah untuk penggunaan individu sahaja dan tidak dibenarkan untuk diubah, dimodifikasi mahupun dicetak semula untuk sebaran tanpa kebenaran dari kami.

KlinikOnkologiMaya

©2020 by Klinik Onkologi Maya. Proudly created with Wix.com